Tadabbur Quran 30 Juzuk : Kompas Juzuk 16 oleh Ustaz Syaari Abdul Rahman

Hari ni mommy eez minta off jadi supir kanak2 ribena pagi ni dekat Incik Boss sebab nak bagi sleep mode dekat kepala mommy eez. Sejak masuk bulan puasa ni, mommy eez tidur tak sampai 5 jam sebab sibuk uruskan makan dan buku2 sekolah budak2 ni. Patutnya dah settle minggu lepas tapi 1 minggu tu stuck dekat hospital, maka memang delay la semua benda.


Takpelah kita redha je benda dah jadi. Yang penting kakak Raihan dah sembuh dan sihat insha Allah. Mommy eez doakan urusan kita semua dipermudah oleh Allah SWT dan dilancar kerja2 seharian. Aaaameeen.


Mari kita mulakan nota Juzuk 16... Bismillahirrahmanirrahim.


RINGKASAN NOTA JUZUK 16

disampaikan oleh

Ustaz Syaari Abdul Rahman dari Tadabbur Centre


- Juzuk 16 mengandungi 3 surah iaitu:

  • Surah Al-Kahfi (ayat 75-110)

  • Surah Maryam (ayat 1-98)

  • Surah Taha (ayat 1-135)


- Juzuk 16 ini bermula di bahagian akhir surah Al-Kahfi yang menyambung kisah Nabi Musa AS bersama Nabi Khidir AS serta kisah Zulkarnain yang bertemu dengan Yakjuj dan Makjuj.

 

- Bermula dari surah Al-Isra', Al-Kahfi sehingga ke surah Maryam banyak memaparkan kisah perjalanan hidup individu2 di bawah yang Allah SWT sebutkan di dalam Al-Quran:

  • Surah Al-Isra' - perjalanan Nabi Muhammad SAW dari Masjidil Haram dan singgah ke Masjidil Aqsa sebelum diangkat ke langit bertemu dengan Allah SWT (peristiwa Isra' dan Mi'raj).

  • Surah Al-Kahfi - perjalanan kisah Ashabul Kahfi, Nabi Musa AS bersama Nabi Khidir AS dan Zulqarnain.
  • Surah Maryam - perjalanan hidup Maryam yang dikurniakan rahmat oleh Allah SWT untuk melahirkan seorang anak tanpa bapa iaitu Nabi Isa AS. Nabi Isa AS merupakan Nabi terakhir bagi Bani Israel dan akan muncul semula pada akhir zaman bagi membantu umat Islam memperjuangkan pemerintahan Islam di seluruh dunia.


- Surah Maryam menekankan konsep pendidikan berteraskan agama di dalam institusi kekeluargaan. Dapat dilihat di bahagian awal surah ini, mengisahkan tentang Nabi Zakaria AS yang memohon kepada Allah SWT untuk dikurniakan seorang anak sedangkan Nabi Zakaria AS sudah lanjut usia. Sudah bertahun2 lamanya Nabi Zakaria AS menantikan cahaya mata bagi menyambung legasinya untuk menyebarkan dakwah kebenaran yang ada di dalam kitab Taurat kepada Bani Israel.

Melalui doa Nabi Zakaria AS dalam surah Maryam ini mengajarkan kita adab2 berdoa supaya doa menjadi mustajab. Caranya:

  • Haruslah berdoa ketika kita bangun dari tidur pada 1/3 malam. Ini bagi menunjukkan betapa tingginya komitmen kita dalam mengadukan hajat kita kepada Allah SWT sementara makhluk2 lain sedang tidur.

  • Haruslah bertawassul dengan menyatakan rekod2 perkara baik yang telah kita lakukan dengan ikhlas untuk agama Islam bagi menyokong doa kita. Nabi Zakaria AS menyatakan yang beliau tidak pernah jemu berdoa dan yakin Allah SWT akan memperkenankan doanya.

  • Nyatakan sebab permohonan doa kita ada kaitannya dengan agama. Contohnya, Nabi Zakaria AS mahukan anak supaya dapat meneruskan penyebaran dakwah agama Islam terhadap Bani Israel.

Dari sini kita dapat lihat, Allah SWT membawakan tema kekeluargaan dengan kisah seorang bapa (Nabi Zakaria AS) yang mahukan anak kemudian disambung pula dengan kisah seorang ibu (Maryam) yang melahirkan seorang anak lelaki atas rahmat dan kehendak Allah SWT.

 

- Kisah seterusnya yang dirakam dalam surah Maryam ialah, apabila Maryam diuji dengan kedatangan seorang lelaki yang sangat tampan yang sebenarnya ialah Malaikat. Jika nak dibandingkan dengan situasi hari ni, anak2 perempuan kita belum tentu dapat menghindarkan diri dari hawa nafsu apabila melihat seorang lelaki yang tampan namun tidak bagi Maryam. Maryam yang telah dididik dengan pegangan agama yang kuat oleh ibu bapanya berkata berdasarkan pada ayat 18 surah ini, "Sesungguhnya aku berlindung kepada Allah (Ar-Rahman) daripada gangguanmu kalaulah engkau seorang yang bertaqwa".


- Terdapat juga kisah Nabi Ibrahim AS yang berdakwah kepada ayahnya, seorang pembuat dan penyembah berhala yang akhirnya menyebabkan Nabi Ibrahim AS dihalau oleh ayahnya. Selepas puluhan tahun berlalu, Nabi Ibrahim AS dikurniakan anak bernama Nabi Ismail AS, Nabi Ishak AS dan Nabi Yaakub AS.

Kemudian, Nabi Ismail AS menyambung lagi kisah bertemakan kekeluargaan dengan menekankan bab solat dan zakat.


- Kisah Nabi Idris AS dalam surah Maryam menegaskan apa yang perlu kita wariskan pada anak2 kita iaitu bukan harta mahupun pangkat/kedudukan tetapi perkara tauhid iaitu hanya menyembah Allah SWT Maha Esa. 


- Surah Taha merupakan surah yang berjaya menambat hati Saidina Umar Al-Khattab untuk menerima Islam.


- Tema surah Taha ialah bagaimana kita nak mendamaikan jiwa kita dengan Al-Quran. Ini dipaparkan dalam kisah Saidina Umar Al-Khattab dan juga kisah Nabi Musa AS. Di awalan surah ini pada ayat 17-35, menceritakan kisah Nabi Musa AS yang didekati oleh Allah SWT ketika beliau sedang tenggelam dalam khusyuk bermunajat di bawah Gunung Tursina sehinggakan terlupa anak dan isterinya. Setiap pertanyaan Allah SWT, dijawab dengan panjang lebar oleh Nabi Musa AS. Kita harus mengambil contoh yang baik ini ketika berdoa di mana, kita perlu memanjangkan permintaan doa kita kepada Allah SWT dengan menerangkan secara teliti. Begitu juga di dalam solat, kita perlu perbanyakkan solat2 sunat selain dari solat wajib seperti yang kita lihat dalam bulan Ramadan ini kita dituntut menunaikan solat terawih dari 8 ke 20 rakaat dan disempurnakan dengan solat sunat witir. 

Maka, kesimpulannya ialah lebih lama kita meluangkan masa bersama Allah SWT, lebih Allah SWT suka dan akan limpahkan lebih banyak kasih sayangNya kepada hamba2Nya.


- Kita dapat lihat juga bagaimana keadaan Nabi Zakaria AS dan juga Nabi Musa AS apabila membuat permintaan kepada Allah SWT dalam surah Maryam dan surah Taha. Mereka berdua berada di dalam keadaan berdiri pada ketika itu. Ini menunjukkan perkaitan antara solat (berdiri) dan doa. Takkan lengkap sesuatu doa jika kita tidak melakukan solat.

Allahu Akbar.. Masya Allah... cantik sungguh Allah SWT mengajarkan kita di sebalik isi tersirat dalam ayat2nya.


- Pada akhir surah Taha, Allah SWT memberi amaran kepada Nabi Adam AS supaya tidak keluar dari syurga kerana syurga adalah tempat yang penuh kedamaian dan ketenangan. Jika Nabi Adam AS ingkar, beliau akan kembali lapar dan tidak sempurna dalam berpakaian (bertelanjang). Namun, akhirnya Nabi Adam AS tewas dengan bisikan Iblis dan dicampakkan ke bumi bersama isterinya, Hawa.

Itu sebabnya, kita hidup di dunia ini sentiasa diuji dengan kelaparan, kesedihan, kegelisahan dan macam2 lagi dugaan kerana Allah SWT sudahpun menetapkan keadaan hidup manusia sebegitu di dunia. Namun, bagi mereka yang yakin dengan kalamullah (Al-Quran), pasti Allah SWT akan kembalikan mereka ke dalam ketenangan dan kedamaian abadi di dalam syurga kelak, insha Allah. 


Alhamdulillah tamat sudah nota ringkasan Juzuk 16 ini. Terima kasih bagi yang sudi membaca nota ni untuk setiap juzuk. Semoga kita selalu istiqamah dalam mempelajari Al-Quran dan dampingilah Al-Quran setiap masa insha Allah.


Lavvv,

Mommy EEZ

www.kiddieoasis.com.my

No comments:

Post a Comment

Popular Posts