Hari ni dah masuk hari yang ke-12 berpuasa pada bulan Ramadan 2024. Badan mommy eez ada sikit lemau isk isk isk~ mungkin kurang air. Asyik bersin dan batuk. Harapnya tak berjangkit demam dari kakak Raihan yang baru baik dari Influenza A.
Bukan senang nak siapkan ringkasan nota ni ye sebab selain dari fakta yang dikongsikan di dalam video, mommy eez akan double check pada ayat2 Al-Quran yang dinyatakan supaya tiada kesalahan rujukan insha Allah.
Jom kita mulai~ Bismillahirrahmanirrahim...
RINGKASAN JUZUK 14
disampaikan oleh
Ustaz Syahmi Syazeril dari Tadabbur Centre
- Juzuk 14 ini mengandungi 2 surah penuh iaitu surah Al-Hijr (ayat 1-99) dan surah An-Nahl (ayat 1-128)
- Surah Al-Hijr ini merumuskan pertembungan di antara golongan2 pendusta dan penentang dengan Nabi2 yang diutuskan oleh Allah SWT. Situasi pendustaan ini diceritakan bermula dari Nabi Adam AS yang ditentang oleh Iblis (yang tak mahu sujud/tunduk hormat kepada Nabi Adam AS) sehingga ke kisah Nabi Muhammad SAW.
- Surah Al-Hijr ini terdiri daripada ayat2 Makkiyah dan diturunkan semasa konflik pergelokan penentangan terhadap Nabi Muhammad SAW di Mekah berada di kemuncak. Pembantaian secara fizikal dan boikot terhadap Nabi Muhammad SAW giat dijalankan pada masa itu. Nabi Muhammad SAW berada dalam keadaan yang sangat letih dalam melayani kerenah orang2 kafir Quraisy di Mekah.
- Maka, Allah SWT menurunkan surah Al-Hijr ini sebagai motivasi buat Nabi Muhammad SAW untuk kekal kuat dalam menyebarkan dakwahnya dan abaikan segala kerenah orang2 kafir Quraisy yang menyusahkan Baginda. Allah SWT menghadirkan 4 kisah Nabi2 terdahulu di dalam surah ini sebagai galakan dan semangat buat Nabi Muhammad SAW iaitu kisah:
- Nabi Ibrahim AS
- Nabi Luth AS
- Nabi Soleh AS
- Nabi Shuaib AS
- Pengajaran yang Allah SWT ingin sampaikan kepada Nabi Muhammad SAW dalam surah Al-Hijr ini ialah; ujian yang dihadapi oleh Nabi Muhammad SAW pada masa itu tidak seberat ujian 4 orang Nabi2 yang disebutkan di atas.
- Selain itu, Allah SWT membangkitkan tentang keagungan Al-Quran di awalan surah Al-Hijr ini. Kemudian, disambung pula dengan cerita2 bagaimana orang2 kafir Quraisy memberikan alasan mengapa mereka tidak mahu menerima dakwah Nabi Muhammad SAW. Alasan2 mereka adalah seperti:
- Nabi Muhammad SAW hanyalah manusia biasa seperti mereka dan tiada sebab untuk mereka ikut dakwah Baginda
- Mereka menuduh Nabi Muhammad SAW seorang yang gila
Lalu Allah SWT memberikan peringatan kepada orang2 kafir Quraisy ini bahawa tidakkah mereka melihat pembalasan yang telah Allah SWT turunkan kepada kaum2 yang terdahulu kerana enggan mengikut ajaran Nabi2 pada masa itu. Meskipun mereka telah menyaksikan pelbagai mukjizat Nabi Muhammad SAW di depan mata mereka sendiri, namun mereka tetap kufur kepada Allah SWT.
- Allah SWT memberitahu dalam surah Al-Hijr bahawa Al-Quran akan sentiasa terpelihara sehingga Hari Kiamat.
- Allah SWT juga menggambarkan kepada kita yang Iblis akan senantiasa menyerang dan menyesatkan manusia dari jalan Allah SWT. Maka, Allah SWT menjanjikan perlindungan kepada orang2 yang beriman sekalipun ujian dan fitnah Iblis datang menyerang tanpa henti. Akhirnya, balasan bagi mereka2 yang beriman ialah syurga yang tenang dan mendamaikan.
- Pada ayat 51 sehingga ayat 60 surah Al-Hijr ini memaparkan kisah Nabi Ibrahim AS yang didatangi oleh beberapa tetamu untuk memberi khabar gembira tentang zuriatnya. Kemudian, disambung pula dengan kisah Nabi Luth AS yang menceritakan bagaimana Nabi Luth AS diselamatkan oleh Allah SWT daripada azab malapetaka yang menimpa kaumnya yang melibatkan penduduk2 Aikah (Ashabal Aikah) dan penduduk2 di Al-Hijr (Ashabal Hijr).
- Nama surah An-Nahl diambil dari ayat 68 surah ini yang menceritakan tentang sarang lebah. Surah An-Nahl ini secara keseluruhannya mengisahkan tentang bagaimana Allah SWT menguruskan perjalanan alam ini dengan menundukkan alam bagi memberi manfaat kepada sekalian manusia. Manusia pula menguruskan manfaat yang didapati dengan mengunakan jiwa khalifah yang telah Allah SWT tetapkan. Akan tetapi masih ada manusia yang masih kufur dan Allah SWT mempersoalkan manusia2 yang enggan bersyukur ini dengan nikmat2 yang telah dikurniakan oleh Allah SWT.
- Di bahagian awal surah An-Nahl diceritakan orang2 kafir Quraisy mencabar Nabi Muhammad SAW untuk mendatangkan azab dari Allah SWT secepat mungkin. Tegar (berani) sungguh orang2 kafir Quraisy ini membuat cabaran sebegitu. Lalu Allah SWT menjawab cabaran mereka dengan memberitahu bukan Nabi Muhammad SAW yang membuat keputusan bila datangnya Hari Kiamat, tetapi Dialah Tuhan yang menentukan bila terjadinya azab (Hari Kiamat) itu nanti. Dari situ, fahamilah kita bahawa Allah SWT ialah Tuhan yang Maha Berkuasa dan Maha Penentu segalanya.
- Allah SWT juga menceritakan dalam surah An-Nahl tentang bahayanya menyekutukan Allah SWT dan juga bahaya berlaku syirik serta kesan2nya di dalam kehidupan di dunia dan di akhirat.
- Allah SWT ada menegur dalam surah An-Nahl tentang sikap manusia yang suka menyalahkan takdir Allah SWT apabila berlaku sesuatu yang tidak mereka ingini. Sepatutnya, manusia harus beriman kepada Rukun Iman yang ke-6 iaitu beriman kepada Qada' dan Qadar. Jangan mempersoalkan apa yang Allah SWT dah tentukan ke atas mereka. Jika 1 Rukun Iman tidak diyakini, robohlah segala Rukun Iman yang lain dan cacatlah keseluruhan iman seseorang itu.
- Selain itu, surah An-Nahl membicarakan sebab mengapa Allah SWT menangguhkan azab seksaan bagi orang2 kafir Quraisy sedangkan Allah SWT mampu untuk mendatangkan azabNya secepat mungkin. Allah SWT juga memberitahu jenis2 ancaman azab yang disediakan bagi orang2 kafir Quraisy ini yang kufur kepada Allah SWT.
- Sebagai penutup surah An-Nahl, Allah SWT menerangkan bahawa seluruh alam ini semuanya tunduk kepadaNya termasuk makhluk2 yang berakal mahupun yang tidak berakal. Mengapakah manusia yang berakal masih tidak mahu menggunakan akalnya yang waras untuk menyedari tentang kekuasaan Allah SWT dan beriman denganNya?
- Pada ayat 98 surah An-Nahl;
Allah SWT menyatakan apabila kita mahu memulakan membaca Al-Quran, mintalah perlindungan daripadaNya dari sebarang gangguan syaitan2 yang direjam. Ini kerana iblis/syaitan akan membuatkan kita berasa malas, tak suka dan lalai semasa membaca Al-Quran.
Kita disarankan membaca ta'awudz seperti di bawah:
Moga2 dengan kita selalu membaca ta'awudz ini pada setiap permulaan bacaan Al-Quran, kita dipelihara oleh Allah SWT dan didatangkan perasaan tenang dan kasihNya melalui Al-Quran nur Kareem insha Allah.
Alhamdulillah selesai sudah ringkasan nota Juzuk 14 ni. Semoga hati2 kita dapat dilembutkan sebagai permulaan dalam mengenal apa yang terkandung di dalam Al-Quran ini.
Mommy eez dengan rendah diri ingin mewakafkan segala pahala dari post tadabbur al-quran di blog ni buat arwah Ayah dan Along mommy eez yang sudah pun meninggalkan kami sekeluarga pada tahun 2020. Semoga bermanfaat buat semua dan saham pahala yang berterusan buat mereka berdua atas izin Allah SWT.
Lavvv,
Mommy EEZ
www.kiddieoasis.com.my
No comments:
Post a Comment