Showing posts with label Tadabbur Quran. Show all posts
Showing posts with label Tadabbur Quran. Show all posts

Tadabbur Quran 30 Juzuk : Kompas Juzuk 9 oleh Ustaz Affuan

Rasa nak membebel dekat diri sendiri... Mommy eez ni sejenis buat kerja memang terkedek2 termasuk la nak siapkan nota ringkasan setiap juzuk ni. Takpelah.. mommy eez cuba sedaya mampu untuk siapkan insha Allah


Semoga apa yang mommy eez usahakan ni serba sikit dapat berkongsi pahala buat semua orang yang mommy eez sayang insha Allah.


Jom kita mulakan dengan nama Allah yang Maha Penyayang lagi Maha Pemurah...


RINGKASAN JUZUK 9

disampaikan oleh

Ustaz Affuan dari Tadabbur Centre


 

- Juzuk 9 ini mengandungi 2 surah iaitu Surah Al-A'raf (ayat 88-206) dan Surah Al-Anfal (ayat 1-40)


- Ustaz Affuan mengingatkan kita bahawa bulan Ramadan ialah bulan di mana turunnya Al-Quran nur Kareem. Hidup di bawah payung Al-Quran ini adalah satu nikmat. Nikmat ini tidak dapat diketahui kecuali mereka yang pernah merasai saja yang tahu akan rasa nikmat tersebut.

 

- Al-A'raf membawa maksud tempat tertinggi iaitu tempat yang tinggi antara syurga dan neraka. Surah ini terdiri daripada ayat2 Makkiyah yang terpanjang di dalam Al-Quran


- Dalam sebahagian surah Al-A'raf ini menceritakan tentang sejarah manusia yang bermula dengan para Nabi menyebarkan dakwah kebenaran tetapi ditentang oleh kaum2 mereka. Kebanyakannya mereka memang mengetahui akan kebenaran yang dibawa oleh para Nabi tetapi mereka menolak dengan penuh kesombongan. Bukan itu saja, malah mereka memperolok2an Nabi dan juga membunuh para Nabi.


- Dalam surah Al-A'raf ada menceritakan tentang kisah Nabi Syuib AS dan kaumnya yang tidak mahu beriman kepada Allah SWT. Lalu, Nabi Syuib AS berdoa kepada Allah SWT untuk menimpakan azab kepada mereka dengan menimpakan gempa bumi yang kuat dan akhirnya kaum Nabi Syuib dihapuskan. 

 

- Selain itu, ada juga kisah tentang Nabi Musa AS yang diuji sejak lahir lagi, di mana Nabi Musa AS menerima ancaman bunuh. Pada ketika itu, Firaun mendapat khabar bahawa terdapat seorang lelaki dari di kalangan Bani Israel yang akan membunuhnya. Maka, diperintahkan semua bayi lelaki dari keturunan Bani Israel dibunuh. Namun, atas izin Allah SWT, Nabi Musa AS terselamat malah dibesarkan sendiri oleh Firaun di Mesir. 

Perkataan 'Musa' telah diulang2 sebanyak 136 kali di dalam Al-Quran dan merupakan antara nama Nabi yang paling banyak disebut di dalam Al-Quran. Kisah Nabi Musa AS ini boleh dikatakan agak terperinci diceritakan di dalam Al-Quran.

Nabi Musa AS ditimpakan ujian untuk menghadapi ahli sihir yang bukan 'kaleng2' hebat ilmu sihirnya. Boleh dikatakan ilmu sihir mereka berada di tahap yang tertinggi. Apabila Firaun mengarahkan ahli2 sihir ini bertarung dengan Nabi Musa AS, Nabi Musa AS pun melemparkan tongkatnya ke tengah2 di hadapan para ahli sihir lalu menghapuskan semua sihir2 yang ada di situ. Akhirnya, ahli2 sihir ini tunduk dan mengakui bahawa mereka beriman kepada Tuhan Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS kerana mereka mengetahui kuasa yang datang dari Nabi Musa AS bukanlah sihir tetapi kekuasaan dan kebenaran dari Allah SWT.

Firaun sangat terkejut dengan berita itu, namun dia tetap berkeras tidak mahu menerima dakwah Nabi Musa AS. Lalu, Allah SWT timpakan kemarau yang panjang ke atas negeri Firaun, hujan yang lebat serta serangan belalang, katak, kutu dan darah. Sehinggalah satu tahap di mana para penduduk negeri Firaun tidak mampu lagi bertahan, maka mereka meminta Nabi Musa AS berdoa kepada Allah SWT supaya mengangkat azab itu dari negeri mereka dan percaya bahawa Allah SWT itulah Tuhan yang sebenar yang layak disembah. 

Namun, apabila Allah SWT mengangkat azab itu daripada mereka, mereka pun kembali tidak beriman dan menganggap bahawa kejadian itu disebabkan Nabi Musa AS yang membawa sial. Penindasan yang berterusan terhadap Nabi Musa AS dan juga Bani Israel telah melorongkan mereka untuk berpindah keluar menuju ke Palestin. Semasa kejadian itu, mereka dikejar oleh Firaun dan tenteranya, lalu Allah SWT menyelamatkan Nabi Musa AS dan kaumnya Bani Israel dengan menenggelamkan Firaun dan tenteranya ke dalam laut setelah mereka melintas lautan yang terbelah menggunakan tongkat Nabi Musa AS.

Ujian Nabi Musa AS, tidak terhenti setakat itu. Setelah mereka terselamat dari Firaun, Nabi Musa AS diuji dengan kaumnya sendiri, Bani Israel di mana mereka mula menampakkan sikap mereka yang sebenar. Orang2 Bani Israel mula 'demanding' dan mengemukakan pelbagai permintaan kepada Nabi Musa AS. Walaupun mereka tahu yang Nabi Musa AS membawa kebenaran wahyu daripada Allah SWT, tapi mereka tetap memperolok2an Nabi Musa AS dan tidak mahu beriman kepada Allah SWT.


- Kisah Nabi Muhammad SAW menghadapi tentangan dari orang2 kafir juga ada diceritakan di dalam surah Al-A'raf ini. Pelbagai cabaran Nabi Muhammad SAW hadapi seperti disekat untuk bergerak di dalam kawasan Mekah, diboikot, dicederakan semasa sampai ke Thaif dan lain-lain dugaan, lalu Allah SWT menurunkan surah ini sebagai TAZKIYAH (memujuk/membersihkan jiwa) buat Nabi Muhammad SAW tentang perjuangan Nabi2 terdahulu. Jadi, kisah2 tersebut memberikan Nabi Muhammad SAW semangat yang tinggi untuk terus berdakwah kerana kaum2 yang ingkar kepada Allah SWT telah diberi amaran dan azab oleh Allah SWT.


- Surah Al-Anfal yang bermaksud harta rampasan perang terdiri daripada ayat2 Madaniyyah dan diturunkan selepas berlakunya Perang Badar dan disusuli dengan Perang Uhud.

Allah SWT memberitahu di dalam surah ini bahawa sesungguhnya orang2 yang beriman haruslah berperang dengan niat kerana Allah SWT dan Rasul, bukannya kerana harta yang mereka dapat dari sesudah peperangan itu.


Alhamdulillah itu saja ringkasan nota untuk Juzuk 9 ni. Mommy eez nak nukilkan sedikit pandangan mommy eez tentang bagaimana kaum2 terdahulu diazab dan diseksa secara terussssss apabila mereka ingkar beriman dan tak mahu mengikut ajaran Nabi2 yang terdahulu. Sedangkan, sekarang ni kita boleh lihat di Palestin contohnya, orang2 Zionis laknatullah ni secara sewenang2nya membuat kerosakan, pembunuhan (genocide) dan menindas orang2 Palestin tanpa batasan. Mommy eez ada juga tertanya2 bilakah azab Allah SWT akan tiba buat orang2 Zionis ni yang sangat2 membenci Islam.


Sebenarnya, janji Allah SWT itu pasti. Nikmat dan keseronokan orang2 Zionis (dan seangkatan mereka) di dunia ni hanyalah sementara. Selagi mana mereka membuat dosa2 besar itu, balasan mereka tetap Neraka Jahannam lah tempatnya. Namun, atas doa Nabi kita yang tercinta Nabi Muhammad SAW di mana Baginda berdoa supaya diberikan MASA buat mereka ini supaya dapat bertaubat dan kembali kepada Islam. Mungkin bukan mereka, tapi anak cucu mereka mungkin akan meramaikan lagi umat Nabi Muhammad SAW. Tengok betapa ramai yang dah mula kenal dan masuk Islam secara berbondong2 (siap ada group tadabbur Quran dalam TikTok oleh Megan Rice - boleh search di Tiktok). Itu semua hikmah yang terjadi disebabkan peperangan kali ni yang kita tak pernah terfikir akan berlaku atas izin Allah SWT. 


Semoga bermanfaat nota kali ni untuk semua insha Allah.


Lavvv,

Mommy EEZ

www.kiddieoasis.com.my

Tadabbur Quran 30 Juzuk : Kompas Juzuk 8 oleh Ustaz Syahmi Syazeril

Assalamualaikum semua. 

 

Hari ni dah masuk 2 Ramadan, harapnya semangat masih kental untuk meneruskan menulis nota dan sebarkan sebanyak mana info2 tentang Al-Quran. Apa yang mommy eez tulis di sini mungkin dalam 3-5% je kandungan keterangan yang ada dalam Al-Quran. Selebihnya banyak lagi yang mommy eez tak tahu dan masih lagi kena belajar. Kalau korang ada apa2 maklumat tambahan, boleh lah kongsi juga di ruangan komen hokey.


Jom, kita mulakan dengan membaca Ummul Kitab (surah Al-Fatihah) bukan saja untuk diri kita sendiri, malah untuk semua orang yang kita sayang sama ada yang masih hidup ataupun yang telah pergi meninggalkan kita.


Al-Fatihah


RINGKASAN JUZUK 8

disampaikan oleh

Ustaz Syahmi Syazeril dari Tadabbur Centre


- Juzuk 8 ini mengandungi 2 surah iaitu Surah Al-An'am (ayat 111-165) dan Surah Al-A'raf (ayat 1-87)


- Dalam surah Al-An'am, Allah SWT memberikan amaran kepada orang kafir Quraisy yang terus-menerus menyerang Nabi Muhammad SAW atas dakwah Baginda. Allah SWT mahu orang2 kafir ini berhenti dari menidakkan kebenaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW iaitu Al-Quran. Justeru, Allah SWT menguatkan semangat Nabi Muhammad SAW dengan memberikan motivasi melalui wahyu supaya Baginda tidak takut untuk meneruskan usaha dakwah sekalipun tentangan hebat yang bertali arus diterima dari orang kafir Quraisy.


- Terdapat kalimah 'Qulhuwa' disebut berulang2 di dalam surah Al-An'am yang bermaksud 'Katakanlah dia (wahai Muhammad)' . Perkataan ini menunjukkan transisi perjalanan dakwah Nabi Muhammad SAW dari fasa defensive (bertahan) kepada fasa offensive (menyerang).


- Surah Al-A'raf ini dinamakan berdasarkan pada ayat 46-47, iaitu di mana Allah SWT menceritakan terdapat sebilangan orang lelaki berada di tengah2 antara syurga dan neraka. Apabila mereka melihat syurga, mereka memberikan salam, 'Salamuna'laikum'. Apabila mereka melihat neraka, mereka berdoa supaya janganlah mereka bersama2 dengan orang2 yang zalim. Mereka berada di dalam keadaan dilema kerana tidak tahu nak menghala ke arah yang mana satu. Lalu, Allah SWT meminta para lelaki terbabit untuk membuat keputusan dengan cepat kerana hasutan2 syaitan/iblis takkan berhenti untuk mereka lebih memilih neraka berbanding syurga.


- Dalam 10 ayat terawal surah Al-A'raf ini mengingatkan kita supaya sentiasa beriman kepada wahyu dan Rasul. Dalam masa yang sama, kita perlu kenang kembali apa yang telah terjadi kepada kaum2 terdahulu yang Allah SWT telah timpakan azab kepada mereka sebagai pengajaran buat kita semua. Hanya mereka yang benar2 menggunakan akal saja yang sedar akan realiti kebenaran ini.


- Pada ayat2 seterusnya di dalam surah Al-Araf, Allah SWT memaparkan kisah bagaimana Iblis laknatullah bersungguh2 menyesatkan Nabi Adam AS dan Hawa. Allah SWT ingin menunjukkan bukti kepada kita supaya kita sedar bahawa Iblis/syaitan ini adalah musuh yang nyata bagi kita semua.


- Allah SWT juga ada menceritakan tentang pertembungan orang2 yang patuh kepada Allah SWT dengan orang2 yang mengingkariNya sehingga pergelutan ini berlanjutan sehingga Hari Kiamat pada ayat 25-53 surah Al-A'raf. Cerita ini dipaparkan melalui kerenah orang2 kafir Quraisy yang sentiasa menolak wahyu Allah SWT.


- Wahyu Allah SWT ini umpama air yang menghidupkan tanah yang tandus seperti yang dinyatakan dalam ayat 57 surah Al-A'raf.

 


Ibarat hati kita ini tandus dari cahaya, jadi wahyu ini datang bagi menghidupkan/menyuburkan hati dan diberikan cahaya ketenangan untuk kehidupan kita. Begitulah bagaimana Allah SWT mengangkat darjat wahyu/Al-Quran ini sangat tinggi dan penting dalam hidup kita.


- Allah SWT juga ada menceritakan kemusnahan orang2 terdahulu seperti kehancuran kaum Nabi Nuh AS di dalam juzuk 8 ini.


- Maka, kesimpulan perkaitan antara surah Al-An'am dengan surah Al'Araf ialah mengenai kepentingan beriman kepada wahyu Allah SWT. Janganlah sesekali kita menolak Al-Quran dalam hidup kita. Bila kita berpegang pada Al-Quran, pasti kita berada dalam jalan yang lurus seperti di dalam surah Al-An'am. Barangsiapa yang menolak Al-Quran, tidaklah mereka mengambil pelajaran daripada orang2 yang terdahulu yang ditimpa azab siksa dari Allah SWT seperti di dalam surah Al-A'raf.


- Terdapat petikan dari Doa Iftitah yang kita baca dalam solat diambil dari ayat 162-164 surah Al-An'am:


Inilah janji kita kepada Allah SWT yang telah dibuat sebelum kita wujud di dunia ini lagi dan wajiblah kita mentaatinya.


Alhamdulillah tamat sudah ringkasan nota Juzuk 8. Jumpa dalam nota yang seterusnya pula di post yang akan datang insha Allah~~~


Lavvv,

Mommy EEZ

www.kiddieoasis.com.my

Tadabbur Quran 30 Juzuk : Kompas Juzuk 7 oleh Ustaz Afifi Akram

Pending lama betul nak sambung nota Tadabbur Quran 30 Juzuk ni 😂 Makan bertahun2. Takpelah yang penting semangat tu masih belum hilang selagi badan dikandung hayat gittew!

 

Hokey, jom kita terus saja ke nota Juzuk 7 dan sebelum itu harapnya dapatlah para pembaca semua menitipkan sedikit doa dan bacaan surah Al-Fatihah buat arwah kakak dan ayah mommy eez yang telah 4 tahun meninggalkan kami sekeluarga di sini. Semoga mereka semua sentiasa dilindungi dan diberkati Allah SWT selalu. Aaameeen.

 

RINGKASAN JUZUK 7

disampaikan oleh

Ustaz Akram Afifi dari Tadabbur Centre


 - Permulaan ringkasan Juzuk 7 ini dimulai dengan pembukaan hadith dari Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda, 

 

"Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan, keinsafan dan kesyukuran, maka Allah SWT akan ampunkan dosa2nya yang telah lalu". (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

 

Ada sebahagian riwayat lain mengatakan bahawa Allah SWT juga akan mengampunkan dosa2 yang akan datang bagi orang2 yang berpuasa di bulan Ramadan.

 

- Sebahagian tanda bukti kita menjadi orang yang bertaqwa kepada Allah SWT ialah dengan membaca Al-Quran. 

 

- Di dalam Juzuk 7 ini, mengandungi sebahagian Surah Al-Maidah (ayat 83-120) dan Surah Al-An'am (ayat 1-10). Surah Al-An'am menekankan isu akidah dan keimanan serta merupakan ayat2 Makkiyah. Ia juga menceritakan tentang akidah orang2 kafir yang menyekutukan Allah SWT.


- Surah Al-An'am yang bermaksud binatang ternakan ini diturunkan kerana orang2 kafir membahagikan hasil ternakan dan tumbuhan mereka untuk Allah SWT dan juga berhala2 mereka. Ini dicatatkan di dalam ayat 136, surah Al-An'am.


- Surah Al-An'am ini diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW sekaligus pada 1 malam bersama2 dengan 70,000 para Malaikat.


- Isi kandungan Surah Al-An'am ada menceritakan bagaimana Allah SWT memberikan motivasi kepada Nabi Muhammad SAW supaya kekal meneruskan kerja2 dakwah kepada orang2 Quraisy Jahiliyyah di Mekah sekalipun diseksa, dipulau, dihina dan pelbagai cercaan yang Nabi Muhammad terima ketika itu. 


- Apabila diperhatikan pada ayat 74-79 surah Al-An'am, Allah SWT menceritakan di dalam ayat2 itu bagaimana Nabi Ibrahim AS mencari2 Tuhan yang selayaknya disembah. Ayah Nabi Ibrahim AS sendiri ialah pembuat berhala dan Nabi Ibrahim mempersoalkan kelakuan ayahnya dan kaumnya yang sesat.




 

Kita akan dapat memahami bagaimana Nabi Ibrahim AS memerhati objek2 di langit dan menyimpulkan bahawa semua ciptaan Allah SWT di langit dan di bumi ini wujud hanyalah dengan kuasa Allah SWT. Lalu, Nabi Ibrahim AS memberitahu kaumnya bahawa berhala2 yang mereka sembah itu bukanlah tuhan yang sebenar dan Tuhan yang sebenar yang selayaknya disembah ialah Allah SWT.

 

- Maka, Surah Al-An'am ini diturunkan bagi memperbetulkan akidah orang2 kafir yang tidak percaya kepada Allah SWT. Ini juga bagi membuka mata hati mereka untuk memerhatikan alam ini supaya dapat merasakan kekuasaan Allah SWT yang menguruskan alam ini.


Berakhirlah nota ringkasan Juzuk 7 yang telah diterangkan di dalam video di atas. Semoga bermanfaat buat semua. Mana2 info yang kurang tepat, haraplah diperbetulkan. Kita sama2 belajar insha Allah.


Lavvv,

Mommy EEZ

www.kiddieoasis.com.my

Selamat Menyambut Ramadan 2024

Diumumkan ketibaan bulan yang dinantikan bagi seluruh umat Islam di seluruh dunia!

 

Ahlan wa Sahlan ya Ramadan Kareem 💖

Jom sama2 kita baca niat puasa untuk sebulan dan harian di bawah ni:

 


 
Alhamdulillah semoga kita semua selamat menuju dan berjuang untuk mengejar sebanyak2 ladang pahala yang Allah SWT dah sediakan untuk kita nanti di bulan Ramadan ni. Mommy eez tak berapa prepare sangat kali ni sebab ada beberapa insiden yang berlaku pada mommy eez. Tapi, harapnya mommy eez cepat bangkit dan meneruskan untuk menyebarkan seberapa banyak ilmu yang ada sepanjang bulan puasa ni. 
 
 Mommy eez plan untuk sambung buat ringkasan tadabbur per juzuk. Dulu dah buat sampai Juzuk 8, insha Allah harap dapat habiskan sampai Juzuk 30. 
Doakan ye 😊

 

Mommy eez baca balik post tahun lepas berkaitan dengan harapan pada bulan puasa. Seronok plak baca sebab dapat remind balik apa yang patut mommy eez rasa dan didik hati ni. Tak semua kita rancang kita dapat. Redha dengan segala ketentuan Allah SWT. Yang penting dongibap, kipidap dan terussssskan berjalan sehingga ke mana saja kita mampu. Ni link post lama, kot korang nak baca juga:

 

selamat-datang-ramadan-kareem-2023

 

Link ringkasan Tadabbur ni pun mommy eez tengah usaha siapkan ada di 

 

Page Tadabbur Al-Quran 

(di bahagian Header Bar dekat bawah main photo blog ni) 

 

Semoga bermanfaat buat semua dan semoga ianya menjadi saham pahala yang berpanjangan buat mommy eez dan famili insha Allah.

 

Lavvv,

Mommy EEZ

www.kiddieoasis.com.my

 

p/s: Korang nak dapatkan bacaan buku2 Islamik sempena bulan puasa ni pun boleh usha2 dekat website official Kiddie Oasis ataupun tekan je link Shopee dan Lazada dekat sebelah bar kanan blog ni hokey 😁

My #QuranTime 1.0 : Halaman 6 Surah Al-Baqarah Ayat 30-37

Aik...


Kenapa throwback nota My #QuranTime musim pertama? Sebabnya mommy eez tak sempat khatam lagi nota My #QuranTime musim pertama dulu muahahaha~~~ betapa laid back nye mommy eez ni. Dia bila semua benda pun kau nak buat macam ni lah jadinya. Nota My #Quran edisi ke-2 siap dah beratus2 episod dah, mommy eez masih lagi terkedek2 nak belajar. Last post untuk nota halaman ke-5 untuk My #QuranTime edisi 1.0 ialah pada tahun 2021. 2 tahun selepas tu baru nak sambung. Dahsyat betul laaaahh dia punya pending tu hahahaha~~~


Takpe. Biar lambat asalkan berterusan. Moga Allah SWT terima usaha mommy eez untuk belajar tadabbur al-Quran dan berkongsi pahala buat seluruh keluarga mommy eez terutama untuk arwah Along dan arwah Ayah mommy eez insha Allah. Aaameeen.


Jom kita start dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...


Episod 8 ini disampaikan oleh:

Ustaz Fazrul Ismail

Ustaz Tirmizi Hj. Ali


- Sinopsis bagi episod kali ni ialah:


Dalam episod ni akan menyentuh tentang kisah Nabi Adam dan Hawa (Eve) di mana mengikut kepercayaan agama lain, perkataan 'evil' itu datang dari perkataan 'eve'. 

Propaganda barat memang suka memutarbelitkan fakta yang sebenar. Apa salah Hawa ataupun kaum wanita untuk dikaitkan dengan 'evil'???


- Ayat 30: 

Allah SWT menyatakan dalam ayat ini bahawa Dia mahu menjadikan seorang khalifah (yang berfungsi sebagai pemimpin) di atas muka bumi ini bagi menggantikan makhluk/pemimpin yang terdahulu (sebelum Nabi Adam AS diciptakan). Sudah tentu kejadian ini berlaku semasa Allah SWT ingin menciptakan Nabi Adam AS; rujuk perkataan ( وَإِذْ) yang membawa maksud perkara yang sudah terjadi. Namun, pada waktu itu malaikat bertanya kepada Allah SWT, adakah benar Allah SWT mahukan manusia untuk menjadi pemimpin di bumi ini sedangkan manusia ni saling membuat kerosakan dan berbunuhan sesamanya. Ini menunjukkan bahawa mungkin terdapat makhluk sebelum manusia yang pernah mendiami bumi dan membuat kerosakan. Ada sesetengah pendapat ulama, makhluk yang terdahulu itu boleh jadi sama ada:

  • manusia (wujud Adam sebelum Adam)
  • ataupun jin.  

 

Soalan yang malaikat ajukan pada Allah SWT ini bukanlah bermaksud untuk mencabar keputusan Allah SWT, tapi lebih kepada perasaan ingin tahu. Mengapa Allah SWT ingin menciptakan manusia, sedangkan malaikat sudah ada dan selalu bertasbih memuji dan mensucikanNya? Namun, Allah SWT menjawab persoalan malaikat bahawa Dia lebih tahu apa yang malaikat tidak ketahui. Allah SWT mengetahui suatu rahsia di sebalik penciptaan manusia. Apakah rahsia itu? Ianya akan diceritakan dalam ayat seterusnya.

Rahsia ini melibatkan bagaimana ada wujud manusia yang boleh bertindak bukan seperti sangkaan malaikat. Maksudnya, malaikat sudah sedia maklum yang manusia berpotensi untuk melakukan kemusnahan dan kerosakan di atas bumi ini berdasarkan pengalaman lampau. Namun, apa yang malaikat tidak tahu ialah ada di kalangan manusia yang mampu untuk patuh dan mengikut suruhan Allah SWT berdasarkan ilmu pengetahuan yang Allah SWT kurniakan kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. 


- Ayat 31:

 

Lalu dalam ayat ini, Allah SWT mengajarkan ilmu kepada Nabi Adam AS yang malaikat sendiri tidak tahu akan ilmu tersebut. Menurut perbincangan para ulama, ilmu yang diajarkan oleh Allah SWT terus kepada Nabi Adam ini ialah terminologi/istilah kata nama bagi semua bahasa untuk semua ilmu yang ada di dalam dunia ini. Itulah rahsia yang tidak diketahui oleh malaikat. 

Ilmu tersebut ada pada setiap diri manusia, namun kita haruslah belajar dan mengkaji kerana ilmu itu tidak datang dengan sendirinya.

 

- Ayat 32:

Setelah malaikat melihat kebolehan Nabi Adam AS, maka malaikat pun menjawab seperti di dalam ayat ke-32 ini dengan mengakui kehebatan dan kebijaksanaan Allah SWT. Perkataan ( سُبْحَـٰنَكَ ) ini merujuk kepada maksud 'terapung' ataupun melangkau. Maka, malaikat menyebut ( سُبْحَـٰنَكَ ) bermaksud ilmu Allah SWT ini melangkau melebihi segala2nya. 

 

- Ayat 33:

Lagi sekali Allah SWT menegaskan dalam ayat ini bahawa Dia Maha Mengetahui segala yang ghaib/rahsia di langit dan di bumi serta apa saja yang hambanya nyatakan dan sembunyikan di dalam hati mahupun terang2an. 

Oleh itu, kita harus pastikan apa saja perkataan yang keluar dari mulut kita adalah selari dengan apa yang ada di dalam hati kita kerana Allah SWT itu Maha Mengetahui. Dengan erti kata lain, kita perlulah bersikap jujur dalam percakapan kita seharian.

 

- Perkataan pilihan bagi episod ini ialah:

 

Perkataan di atas ialah kata terbitan dari perkataan ( قَالَ ). Maksud perkataan di atas bukan sekadar perkataan yang dicakapkan (berkata), tetapi perkataan ini haruslah diamalkan menurut konsep dari Al-Quran. Apatah lagi, perkataan ini datangnya dari Allah SWT dan perkataan ini menjadi sumber ilmu bagi manusia. Itu sebab, bila kita berkata2/bercakap, perbuatan itu membina kesungguhan dalam hati kita. Maka, bila kita membaca Al-Quran, hati kita dikuatkan dan diteguhkan lagi dengan perkataan yang baik2. Dari situlah, segala perbuatan yang baik2 akan lahir dari hati yang baik dan disebarkan kepada ahli keluarga kita dan orang lain. 

 

- Ayat 34:

Apabila Nabi Adam AS dikurniakan ilmu, ini merupakan ujian buat para malaikat dan iblis kerana Allah SWT memerintahkan supaya malaikat dan Iblis memberikan penghormatan kepada Nabi Adam AS. Malaikat seperti yang kita maklum adalah makhluk yang sangat patuh kepada Allah SWT, maka malaikat lulus dengan cemerlang ujian tersebut dengan tunduk sujud memberikan penghormatan kepada Nabi Adam AS. Namun, perkara yang bertentangan terjadi kepada Iblis di mana Iblis enggan tunduk ( أَبَىٰ ) kepada Nabi Adam AS kerana merasakan dirinya lebih besar (takabbur/sombong) dan lebih 'senior' / lebih baik dari Nabi Adam yang 'junior'. Selain itu, Iblis berasa bangga yang dia asalnya dari api, manakala Nabi Adam AS berasal dari tanah lumpur. Maka, disebabkan Iblis enggan tunduk kepada perintah Allah SWT, lalu Iblis pun tergolong dalam golongan kafir.
 
 
- Ayat 35:
 
 
Selepas Iblis tidak melepasi ujian yang Allah SWT berikan, diberikan ujian pula kepada Nabi Adam AS. Allah SWT memberikan kebebasan kepada Nabi Adam AS dan isterinya, Hawa untuk tinggal di dalam syurga dan makan apa saja makanan yang mereka sukai, tetapi tidak dibenarkan sama sekali untuk dekati satu pohon ini. Jika mereka ingkar, mereka akan tergolong di kalangan orang2 yang zalim. 
 
Malangnya, Nabi Adam AS dan Hawa tidak lulus ujian tersebut kerana terpengaruh dengan pujukan syaitan seperti yang dinyatakan di dalam ayat ke-36.
 
 
-  Ayat 36:
 
Terdapat dakwaan dari agama Kristian yang menyatakan bahawa semua manusia pada hari ini dihukum atas sebab kejahatan yang dilakukan oleh Hawa yang menggoda Nabi Adam AS untuk ingkar dengan perintah Allah SWT. 'Eve' lah puncanya mengapa manusia terpaksa dibuang ke dunia dan menjalani hidup yang sukar di atas dunia ini. Namun, berdasarkan ayat ke-36 ini, tidak benarlah dakwaan terbabit kerana sumber kejahatan yang menyebabkan Nabi Adam AS dan Hawa dihukum sehingga terkeluar dari syurga adalah berpunca dari syaitanirrajim. 
 
Allah SWT menyatakan di sini, sebagai hukuman, apabila mereka berdua diturunkan ke bumi, sebahagian daripada mereka akan menjadi musuh kepada sebahagian yang lain. Terdapat 3 sudut pandangan tentang 'musuh' di sini, iaitu:
 
1. Lelaki bermusuhan dengan perempuan (contoh seperti kaum lelaki mempersoalkan kewujuan Kementerian Hal Ehwal Wanita)

2. Perempuan bermusuhan dengan lelaki (contoh seperti gerakan feminism)

3. Iblis bermusuhan dengan manusia dengan melaga-lagakan kaum lelaki dengan kaum perempuan (contoh seperti mengganggu hubungan suami isteri)

Oleh itu, kita harus membuktikan bahawa kita tidak mudah terpengaruh dengan Iblis dan syaitan untuk membuat kerosakan di bumi ini dan sekaligus berusaha menjadi pemimpin terbaik yang patuh dengan perintah Allah SWT.


- Ayat 37:
 
 
Setelah Nabi Adam AS gagal melepasi ujian, Allah SWT mengajarkan Nabi Adam kata2 taubat lalu Nabi Adam AS pun bertaubat. Allah SWT pun menerima taubatnya dan mengampunkan dosa Nabi Adam AS atas kesilapannya itu.

Di sini kita dapat lihat, terdapat 3 potensi bagi seorang manusia:
 
1. Kita mampu belajar dan mengajarkan ilmu kepada orang lain.

2. Kita diuji dan ada masanya membuat kesilapan. Sekalipun kesilapan itu adalah sesuatu yang negatif, namun ianya boleh dijadikan sebagai pengajaran dan meningkatkan lagi ilmu yang sedia ada pada diri kita.
 
3. Kita diberikan keampunan oleh Allah SWT atas kesilapan yang telah dilakukan.

Point ke-3 ini yang membezakan antara kita manusia dengan Iblis kerana Iblis dilaknat oleh Allah SWT sehingga Hari Kiamat, manakala kita masih lagi diberikan peluang untuk bertaubat selagi masih hidup di atas muka bumi ini. Nabi Adam AS apabila melakukan kesilapan, dia terus bertaubat tanpa berlengah. Jadi, kita harus ikut contoh yang ditunjukkan oleh Nabi Adam AS ini dalam bertaubat. Bertaubatlah setiap hari kerana kita tak pernah lari dari melakukan dosa dan kesilapan.


- Resolusi bagi episod kali ni:
 
 
 

- Hukum tajwid kali ini menyentuh tentang tahap/tingkatan bacaan dalam Al-Quran iaitu maratib/kelajuan bacaan.

Ada 3 tahap iaitu:

  • At-tahqiq - bacaan yang paling lambat dan perlahan
  • At-tadwir - bacaan yang sederhana
  • Al-hadr - bacaan yang pantas

Episod kali ini menerangkan tahap kelajuan bacaan yang pertama iaitu At-tahqiq.

 
Bacaan at-tahqiq tidak boleh terlalu perlahan sehingga kedengaran seperti melengah2kan bacaan. Contoh seperti bacaan anak2 yang baru nak belajar mengaji yang selalunya mengikut lagu adalah tidak dibenarkan. Namun, sekalipun kita berasa susah nak membaca Al-Quran dan bacaan pun merangkak2, Allah SWT tetap memberikan ganjaran seperti yang dinyatakan di dalam hadith ini:
 

 
 Maksud 2 ganjaran dalam hadith ini ialah:
  • Ganjaran pertama - pahala membaca Al-Quran
  • Ganjaran kedua - pahala kerana menghadapi kesusahan dalam membaca Al-Quran
 
 
Alhamdulillah selesai sudah nota Episod 6 dari My #QuranTime 1.0 ni.

 
- Pengajaran yang mommy eez dapat dari episod kali ini ialah:
 
1. Jangan pernah berhenti belajar terutama belajar tadabbur Al-Quran. Bila dah belajar kena sebarkan ilmu yang kita dah dapat. Jangan simpan untuk diri sendiri saja. Ini yang mommy eez tengah buat sekarang insha Allah. Kalau ada kesilapan dalam mana2 nota mommy eez, silalah komen di post ya.
 
2. Jangan pandang rendah pada mana2 makhluk Allah SWT. Setiap makhluk yang Allah SWT jadikan ada hikmah di sebalik kejadiannya dan kita tidak layak langsung untuk mempersoalkan apa yang Allah SWT dah tentukan.
 
3. Sikap Iblis yang suka membanding2kan, suka pandang rendah dan rasa bangga diri/bongkak wajib dijauhi. 
 
4. Tanamkan dalam diri ni yang dosa kita umpama buih2 seluas lautan. Bertaubatlah dan minta ampunlah kepada Allah SWT setiap hari untuk memupuk rasa rendah diri dan rasa kebergantungan hidup kita dengan Allah SWT. Kita manusia tak pernah lari dari dosa sama ada kita sedar atau tidak sedar. 
 
5. Jangan saling bermusuhan kerana bermusuhan itu adalah pengaruh dari syaitanirrajim. Kalau bermusuh pun, apa yang kita dapat? Sakit hati, hati tak tenang, rasa marah yang tak bertepi dan macam2 lagi. Buat penat badan, buang tenaga dan emosi je nanti. 


Itu saja nota yang mommy eez mampu kongsikan pada kali ni. Jika ada sebarang kekurangan, boleh tegur-menegur, insha Allah mommy eez usahakan untuk buat semakan #kitasamasamabelajar . Link video ada disertakan di bawah ye:
 
 
 
 
Sambungan nota seterusnya boleh klik dekat link ni ya ---> Episod 9 


Semoga Allah SWT memelihara hati dan tutur kata kita dengan penuh kebaikan dan rahmat. Aaameeen.



Lavvv,

Mommy Eez
 


My #QuranTime 2.0 Episod 14 - Ayat 28-29 Surah Al-Baqarah (Halaman 5)

 Assalamualaikum semua.


Last post mommy eez untuk My #QuranTime ni ialah pada Januari 2023??? Uwaaaa lama betul tak sambung tadabbur quran ni. Apakah yang sudah merasuk mommy eez untuk meninggalkan My #QuranTime ni buat sekian lama. Sibuk sangat dengan duniawi kah!? Maafkan hambaMu yang sangat senang terpedaya dengan hiburan dunia ni ya Allah..


Mommy eez sibuk dengan cuti sekolah anak2 pada bulan Februari, Mac pulak bulan puasa (sibuk melayan siri Jannah, Home at Last oleh Imam Omar Sulaiman), kemudian disambung pula pada bulan April masuk raya plak. Bermula bulan May ni barulah dapat fokus semula untuk belajar. Mommy eez sejenis mengutamakan famili dulu baru diri sendiri, maka inilah yang terjadi. Wuwuwu~


Jom, tanpa melengahkankan masa2 yang berlalu bak air paip yang deras mengalir, kita start buat nota episod 14 My #QuranTime edisi ke-2:


Episod 14 ini disampaikan oleh:


Ustaz Fazrul Ismail

Ustaz Tirmizi Ali



- Sinopsis bagi episod kali ni ialah:



- Pada ayat ke-28 Surah Al-Baqarah ini, Allah SWT mempersoalkan bagaimana seseorang manusia boleh ada perasaan kufur dan tidak bersyukur sedangkan mereka pada asalnya tidak punya apa2.


Manusia ini asalnya dalam keadaan mati (berada di alam rahim), kemudian dihidupkan di dunia melalui proses kelahiran. Kemudian dimatikan dan dihidupkan semula pada Hari Akhirat. Allah SWT menggunakan perkataan يُحْيِيكُمْ untuk menunjukkan bahawa kehidupan yang kedua adalah lebih panjang dan kekal berbanding kehidupan pertama.

Apabila manusia dikembalikan kepada Allah SWT, bermaksud roh dan amal yang kita lakukan di dunia (dalam kehidupan pertama) akan dipersembahkan kepada Allah SWT seterusnya Allah SWT akan memberikan balasan mengikut aturan keadilanNya. Jasad fizikal akan hancur di dalam tanah. 

Ada juga manusia yang percaya kepada Al-Quran saja tetapi tidak percaya kepada Nabi dan mereka ini menjadi anti-sunnah/anti-hadith. Sedangkan di dalam Surah At-Tawbah membincangkan tentang keimanan kepada Nabi. Agak pelik bila ada golongan yang mengakui seperti ini dan mereka akhirnya tergolong di dalam golongan fasiq.

Maka, pengajaran pada ayat ini ialah Allah SWT mahu memberikan peringatan kepada kita supaya kita sentiasa bertaubat dan kembali kepada Allah SWT dalam keadaan suci, bersih dan berada dalam rahmatNya.


- Perkataan pilihan ada pada ayat ke-28 ini:


Perkataan تُرْجَعُونَ ini membawa maksud bahawa kita seharusnya menyiapkan diri dengan pelbagai bekalan amal kebaikan yang akan dibawa apabila kita kembali menghadap Allah SWT.


- Pada ayat ke-29 Surah Al-Baqarah ini menunjukkan bahawa Allah SWT lah Pencipta seluruh alam ini merangkumi langit dan bumi dan Maha Mengetahui segala apa yang Dia ciptakan.


Allah SWT menciptakan segala yang ada di antara langit dan bumi ini dengan tujuan:

  • memberi manfaat dan kegunaan buat umat manusia
  • supaya manusia sedar akan kekuasaan dan kehebatan Allah SWT (mengikut pendapat Imam Al-Qurtubi)


Tujuan lain Allah SWT jadikan perkara2 yang tak baik atau tak disenangi seperti ular berbisa, makanan yang haram dimakan, minuman yang memabukkan dan sebagainya adalah kerana supaya kita berhati2 dalam memilih apa yang baik dan buruk di dunia ini. Bila kita mampu menjaga diri kita dari mendekati perkara2 yang tak sepatutnya ini, maka kita dapat kembali kepada Allah SWT dalam keadaan yang diredhai olehNya insha Allah.


Apabila Allah SWT mengatakan Dia Maha Mengetahui bahawasanya ilmu pengetahuan Allah SWT tersangatlah luas. Kita hanya mampu melihat bintang yang berkelip di atas langit itu pada lapisan langit pertama saja dan kita manusia tidak mampu melihat selebihnya dengan mata kasar. Sedangkan, Allah SWT menciptakan 7 lapisan langit. Maka, setiap inci ciptaanNya adalah di bawah pengetahuanNya. 

Oleh itu, kita harus sedar keterbatasan manusia dalam ilmu pengetahuan dan tidak boleh dibandingkan dengan Pencipta alam ini sendiri.


- Hukum tajwid dalam episod ini;


Hukum Ikhfa' Hakiki bermaksud sembunyikan bunyi makhraj ن di sisi huruf Ikhfa'. Terdapat 2 kalimah yang ada hukum Ikhfa' Hakiki ini iaitu:
  • ن mati bertemu dengan ت
  • tanwin ( ـً ) bertemu dengan ف 

Seterusnya, kita perlu berhati2 dalam menyebut huruf ث



- Segmen hafazan tertumpu pada ayat ke-28;



- Resolusi bagi episod kali ni ialah:


Kita seharusnya selalu sedar diri atas segala nikmat yang Allah SWT kurniakan kepada kita dan jangan mudah lupa diri. Kita juga kena selalu beringat untuk persiapkan bekalan amal untuk diri kita apabila sampai masanya untuk bertemu dengan Allah SWT.


Hokey itu saja nota dari Episod 14 My #QuranTime edisi 2.0 ini. Korang boleh tonton video di sini untuk faham lebih mendalam:




Kalau nak baca nota MQT edisi 1.0 boleh refer pada link di bawah ni ye:



Semoga kita berjumpa lagi dalam nota seterusnya, Assalamualaikum.


Lavvv,


Mommy EEZ

www.kiddieoasis.com.my

My #QuranTime 2.0 Episod 13 - Ayat 26-27 Surah Al-Baqarah (Halaman 5)

Assalamualaikum semua,


Bukan senang nak menulis ye sekarang disebabkan putaran masa yang super laju umpama air terjun yang mengalir. Terleka sikit je dah habis 1 jam. 1 jam tu dah macam 15min je sekarang kan. Korang rasa sama tak macam mommy eez rasa?


Baru2 ni mommy eez dan famili pergi melawat Nasyrul Quran Putrajaya. Seronok juga lah sebab dapat tengok macam mana Al-Quran dicetak di sini. Boleh baca post pasal Nasyrul Quran Putrajaya di sini.


Nasyrul Quran Complex Putrajaya


Semoga kita semua dapat tanamkan rasa cinta pada Al-Quran dalam apa jua cara sekalipun. Ikutkan nafsu hati ni, nak je beli Al-Quran terjemahan dari pelbagai penerbit buku sebab kandungan terjemahannya berbeza2 dan menarik. Ada yang masukkan sekali tafsir Ibnu Katsir, sirah nabawiyah dan siap ada QR code lagi tau untuk paparan peta dan sebagainya. Moden betul Al-Quran terjemahan sekarang. Tak pelah mommy eez pilih untuk belajar MQT dulu bak kata Ustaz Fazrul Ismail, MQT ni lebih kurang macam Al-Quran for dummies gittew. Mommy eez pun bukannya ada background pendidikan Islam. Sekolah agama pun tak pergi masa kecil2 dulu. Wuwuwu~~~ 


Jom, tanpa melengahkan masa, mommy eez nak sambung belajar MQT 2.0 untuk 2 ayat seterusnya dalam Surah Al-Baqarah. Jom kita mulakan dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.


Episod 13 ini disampaikan oleh:

Ustaz Fazrul Ismail

Ustaz Tirmizi Ali


- Jom kita tengok sinopsis bagi episod kali ni:



- Pada ayat ke-26 ini, Allah SWT membawakan perumpamaan untuk membezakan orang2 yang boleh masuk ke syurga ataupun tidak. 



Perkataan يَسْتَحْىِ  bermaksud Allah SWT tidak malu atau tidak takut untuk membuat perumpamaan yang melibatkan بَعُوضَةًۭ (nyamuk). Orang2 musyrik memandang remeh atas perumpamaan yang Allah SWT sebutkan di dalam ayat ini kerana nyamuk adalah serangga yang kecil dan hina. Sekalipun hina, makhluk kecil bernama nyamuk ni mampu menggoncangkan dunia dengan penyakit denggi yang dibawa ataupun membawa manfaat bagi mereka yang berniaga ubat nyamuk mahupun kelambu. Perkara ini tak dapat dilihat oleh orang2 musyrik.

Terdapat 2 respons yang Allah SWT nyatakan di sini dari orang beriman dan orang kafir pada ayat ini:

  • Respon pertama: Orang2 beriman faham dan mengakui perumpamaan itu benar dari Allah SWT. Mereka tahu yang Allah SWT tidak akan buat sesuatu perkara yang sia2 dan ingin memberi pelajaran kepada orang2 beriman sekalipun melibatkan makhluk sekecil2 nyamuk. Ini sebagai tanda kasih sayang Allah SWT kepada orang2 beriman dengan membawa kebenaran di dalam Al-Quran
  • Respon kedua: Orang2 kafir mahupun munafik memandang remeh dengan perumpamaan yang Allah SWT berikan dan tertanya2 apakah maksud di sebalik perumpamaan itu. Bagi mereka sebagai Tuhan, Allah SWT sepatutnya bercakap perkara2 yang besar seperti alam semesta dan tak menyentuh langsung perkara yang kecil2 seperti nyamuk. Mereka ini terlalu fokus terhadap kebendaan sedangkan Allah SWT menyentuh perkara kecil untuk memberikan pelajaran. 

Dengan perumpamaan ini, ramai yang Allah SWT sesatkan terutamanya orang2 kafir dan munafik kerana mereka tak faham maksud sebenar perumpamaan ini. Namun, ada juga yang mendapat petunjuk/hidayah bagi orang2 beriman dari perumpamaan itu dan seterusnya menjadi asas untuk melakukan amal soleh dalam kehidupan seharian.

Oleh itu, bagi mereka yang sesat (orang kafir dan munafik), mereka tergolong di dalam golongan orang2 yang fasiq. Orang2 fasiq ini ialah orang2 yang derhaka kepada Allah SWT, melanggar perintahNya serta menggelarkan orang2 beriman ini bodoh dan berfikiran cetek. Sedangkan orang2 fasiq ini sendiri yang bodoh seperti yang dinyatakan di dalam ayat ke-13 dan 14 Surah Al-Baqarah serta mereka juga tak faham dengan perumpamaan yang Allah SWT berikan dalam ayat ke-26 ni. 

Pengajarannya, jangan sekali2 memandang rendah pada ayat2 Allah SWT kerana ilmu kita sangat terhad maka, kita harus akui sekalipun ada sesetengah ayat diulang2 dalam Al-Quran, pasti ada hikmah dan pelajaran buat kita semua.


Perkataan pilihan kali ni dipilih dari ayat ini:



Perkataan ini yang membawa maksud memukul kerana Allah SWT bawakan perumpamaan ini supaya dapat mengetuk/menjentik hati2 kita supaya kita belajar sesuatu dari ayat ini. 

Selain itu, kita sedia maklum nyamuk ni makhluk kotor yang menyedut darah. Menurut Ibnu Katsir, Allah SWT menyebut makhluk nyamuk dalam ayat ini kerana Allah SWT ingin tunjukkan bahawa orang2 kafir ini sukakan sesuatu yang kotor/tak baik berbanding hidayah Allah SWT.


- Pada ayat ke-27 pula, Allah SWT menerangkan bagaimana seseorang itu tidak mendapat hidayah dari perumpamaan Allah SWT dan menjadi orang yang fasiq.


Dalam ayat ini, Allah SWT memberitahu ciri2 orang2 fasiq iaitu:
  • Mereka selalu memecah belahkan ( يَنقُضُونَ ) perjanjian besar mereka dengan Allah SWT selepas perjanjian ( مِيثَـٰقِهِ ) dimeterai semasa alam roh. Perjanjian itu ialah semua roh telah bersyahadah kepada Allah SWT sebelum dimasukkan ke alam dunia. Namun, apabila berada di dunia, mereka lari jauh dari fitrah yang sebenar. 
  • Mereka memandang remeh terhadap perjanjian tersebut lalu memutuskan ( وَيَقْطَعُونَ ) perjanjian silaturahim dengan percakapan yang tak baik sesama saudara mereka
  • Mereka selalu melakukan kerosakan ( وَيُفْسِدُونَ ) di bumi contohnya seperti mencipta polisi2 yang menyusahkan malah mencuri hasil pendapatan orang ramai melalui rasuah.

Maka, orang2 fasiq ini termasuk dalam golongan orang2 yang rugi.


- Segmen tajwid, kita mulakan dengan hukum Mad Silah Towilah:



Hukum Mad Silah Towilah ialah Ha Dhomir/kata ganti nama (  ) yang berbaris bawah (kasrah) atau depan (dhammah) yang bertemu dengan hamzah ( ء ). Hukum bacaannya ialah 4 ke 5 harakat.


- Seterusnya;


Huruf ف dibunyikan dari dalam dengan menekan gigi kacip pada perut bibir. 


- Hafazan;



- Resolusi bagi kedua2 ayat2 ini:



Alhamdulillah settle lagi satu nota Episod 13 untuk MQT 2.0. Semoga bermanfaat buat semua ye. Maaflah kalau ayat tunggang langgang sebab mommy eez tak ada basic penulisan yang kreatif. Dah alang2, mommy eez nak study pasal MQT ni, mommy eez harap dapat juga kongsi ilmu yang sama pada korang semua insha Allah. Dari nak spend time untuk tonton video dekat bawah ni selama hampir 1 jam, mungkin boleh jimat masa hanya dengan membaca nota ni kan wallahualam.




Untuk nota yang sebelum ni dalam MQT 1.0 ada di bawah ni ye:




Insha Allah ada rezeki, berjumpa lagi dalam post yang akan datang.


Lavvv,

Mommy EEZ

Popular Posts