My #QuranTime 1.0 : Halaman 6 Surah Al-Baqarah Ayat 30-37

Aik...


Kenapa throwback nota My #QuranTime musim pertama? Sebabnya mommy eez tak sempat khatam lagi nota My #QuranTime musim pertama dulu muahahaha~~~ betapa laid back nye mommy eez ni. Dia bila semua benda pun kau nak buat macam ni lah jadinya. Nota My #Quran edisi ke-2 siap dah beratus2 episod dah, mommy eez masih lagi terkedek2 nak belajar. Last post untuk nota halaman ke-5 untuk My #QuranTime edisi 1.0 ialah pada tahun 2021. 2 tahun selepas tu baru nak sambung. Dahsyat betul laaaahh dia punya pending tu hahahaha~~~


Takpe. Biar lambat asalkan berterusan. Moga Allah SWT terima usaha mommy eez untuk belajar tadabbur al-Quran dan berkongsi pahala buat seluruh keluarga mommy eez terutama untuk arwah Along dan arwah Ayah mommy eez insha Allah. Aaameeen.


Jom kita start dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...


Episod 8 ini disampaikan oleh:

Ustaz Fazrul Ismail

Ustaz Tirmizi Hj. Ali


- Sinopsis bagi episod kali ni ialah:


Dalam episod ni akan menyentuh tentang kisah Nabi Adam dan Hawa (Eve) di mana mengikut kepercayaan agama lain, perkataan 'evil' itu datang dari perkataan 'eve'. 

Propaganda barat memang suka memutarbelitkan fakta yang sebenar. Apa salah Hawa ataupun kaum wanita untuk dikaitkan dengan 'evil'???


- Ayat 30: 

Allah SWT menyatakan dalam ayat ini bahawa Dia mahu menjadikan seorang khalifah (yang berfungsi sebagai pemimpin) di atas muka bumi ini bagi menggantikan makhluk/pemimpin yang terdahulu (sebelum Nabi Adam AS diciptakan). Sudah tentu kejadian ini berlaku semasa Allah SWT ingin menciptakan Nabi Adam AS; rujuk perkataan ( وَإِذْ) yang membawa maksud perkara yang sudah terjadi. Namun, pada waktu itu malaikat bertanya kepada Allah SWT, adakah benar Allah SWT mahukan manusia untuk menjadi pemimpin di bumi ini sedangkan manusia ni saling membuat kerosakan dan berbunuhan sesamanya. Ini menunjukkan bahawa mungkin terdapat makhluk sebelum manusia yang pernah mendiami bumi dan membuat kerosakan. Ada sesetengah pendapat ulama, makhluk yang terdahulu itu boleh jadi sama ada:

  • manusia (wujud Adam sebelum Adam)
  • ataupun jin.  

 

Soalan yang malaikat ajukan pada Allah SWT ini bukanlah bermaksud untuk mencabar keputusan Allah SWT, tapi lebih kepada perasaan ingin tahu. Mengapa Allah SWT ingin menciptakan manusia, sedangkan malaikat sudah ada dan selalu bertasbih memuji dan mensucikanNya? Namun, Allah SWT menjawab persoalan malaikat bahawa Dia lebih tahu apa yang malaikat tidak ketahui. Allah SWT mengetahui suatu rahsia di sebalik penciptaan manusia. Apakah rahsia itu? Ianya akan diceritakan dalam ayat seterusnya.

Rahsia ini melibatkan bagaimana ada wujud manusia yang boleh bertindak bukan seperti sangkaan malaikat. Maksudnya, malaikat sudah sedia maklum yang manusia berpotensi untuk melakukan kemusnahan dan kerosakan di atas bumi ini berdasarkan pengalaman lampau. Namun, apa yang malaikat tidak tahu ialah ada di kalangan manusia yang mampu untuk patuh dan mengikut suruhan Allah SWT berdasarkan ilmu pengetahuan yang Allah SWT kurniakan kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. 


- Ayat 31:

 

Lalu dalam ayat ini, Allah SWT mengajarkan ilmu kepada Nabi Adam AS yang malaikat sendiri tidak tahu akan ilmu tersebut. Menurut perbincangan para ulama, ilmu yang diajarkan oleh Allah SWT terus kepada Nabi Adam ini ialah terminologi/istilah kata nama bagi semua bahasa untuk semua ilmu yang ada di dalam dunia ini. Itulah rahsia yang tidak diketahui oleh malaikat. 

Ilmu tersebut ada pada setiap diri manusia, namun kita haruslah belajar dan mengkaji kerana ilmu itu tidak datang dengan sendirinya.

 

- Ayat 32:

Setelah malaikat melihat kebolehan Nabi Adam AS, maka malaikat pun menjawab seperti di dalam ayat ke-32 ini dengan mengakui kehebatan dan kebijaksanaan Allah SWT. Perkataan ( سُبْحَـٰنَكَ ) ini merujuk kepada maksud 'terapung' ataupun melangkau. Maka, malaikat menyebut ( سُبْحَـٰنَكَ ) bermaksud ilmu Allah SWT ini melangkau melebihi segala2nya. 

 

- Ayat 33:

Lagi sekali Allah SWT menegaskan dalam ayat ini bahawa Dia Maha Mengetahui segala yang ghaib/rahsia di langit dan di bumi serta apa saja yang hambanya nyatakan dan sembunyikan di dalam hati mahupun terang2an. 

Oleh itu, kita harus pastikan apa saja perkataan yang keluar dari mulut kita adalah selari dengan apa yang ada di dalam hati kita kerana Allah SWT itu Maha Mengetahui. Dengan erti kata lain, kita perlulah bersikap jujur dalam percakapan kita seharian.

 

- Perkataan pilihan bagi episod ini ialah:

 

Perkataan di atas ialah kata terbitan dari perkataan ( قَالَ ). Maksud perkataan di atas bukan sekadar perkataan yang dicakapkan (berkata), tetapi perkataan ini haruslah diamalkan menurut konsep dari Al-Quran. Apatah lagi, perkataan ini datangnya dari Allah SWT dan perkataan ini menjadi sumber ilmu bagi manusia. Itu sebab, bila kita berkata2/bercakap, perbuatan itu membina kesungguhan dalam hati kita. Maka, bila kita membaca Al-Quran, hati kita dikuatkan dan diteguhkan lagi dengan perkataan yang baik2. Dari situlah, segala perbuatan yang baik2 akan lahir dari hati yang baik dan disebarkan kepada ahli keluarga kita dan orang lain. 

 

- Ayat 34:

Apabila Nabi Adam AS dikurniakan ilmu, ini merupakan ujian buat para malaikat dan iblis kerana Allah SWT memerintahkan supaya malaikat dan Iblis memberikan penghormatan kepada Nabi Adam AS. Malaikat seperti yang kita maklum adalah makhluk yang sangat patuh kepada Allah SWT, maka malaikat lulus dengan cemerlang ujian tersebut dengan tunduk sujud memberikan penghormatan kepada Nabi Adam AS. Namun, perkara yang bertentangan terjadi kepada Iblis di mana Iblis enggan tunduk ( أَبَىٰ ) kepada Nabi Adam AS kerana merasakan dirinya lebih besar (takabbur/sombong) dan lebih 'senior' / lebih baik dari Nabi Adam yang 'junior'. Selain itu, Iblis berasa bangga yang dia asalnya dari api, manakala Nabi Adam AS berasal dari tanah lumpur. Maka, disebabkan Iblis enggan tunduk kepada perintah Allah SWT, lalu Iblis pun tergolong dalam golongan kafir.
 
 
- Ayat 35:
 
 
Selepas Iblis tidak melepasi ujian yang Allah SWT berikan, diberikan ujian pula kepada Nabi Adam AS. Allah SWT memberikan kebebasan kepada Nabi Adam AS dan isterinya, Hawa untuk tinggal di dalam syurga dan makan apa saja makanan yang mereka sukai, tetapi tidak dibenarkan sama sekali untuk dekati satu pohon ini. Jika mereka ingkar, mereka akan tergolong di kalangan orang2 yang zalim. 
 
Malangnya, Nabi Adam AS dan Hawa tidak lulus ujian tersebut kerana terpengaruh dengan pujukan syaitan seperti yang dinyatakan di dalam ayat ke-36.
 
 
-  Ayat 36:
 
Terdapat dakwaan dari agama Kristian yang menyatakan bahawa semua manusia pada hari ini dihukum atas sebab kejahatan yang dilakukan oleh Hawa yang menggoda Nabi Adam AS untuk ingkar dengan perintah Allah SWT. 'Eve' lah puncanya mengapa manusia terpaksa dibuang ke dunia dan menjalani hidup yang sukar di atas dunia ini. Namun, berdasarkan ayat ke-36 ini, tidak benarlah dakwaan terbabit kerana sumber kejahatan yang menyebabkan Nabi Adam AS dan Hawa dihukum sehingga terkeluar dari syurga adalah berpunca dari syaitanirrajim. 
 
Allah SWT menyatakan di sini, sebagai hukuman, apabila mereka berdua diturunkan ke bumi, sebahagian daripada mereka akan menjadi musuh kepada sebahagian yang lain. Terdapat 3 sudut pandangan tentang 'musuh' di sini, iaitu:
 
1. Lelaki bermusuhan dengan perempuan (contoh seperti kaum lelaki mempersoalkan kewujuan Kementerian Hal Ehwal Wanita)

2. Perempuan bermusuhan dengan lelaki (contoh seperti gerakan feminism)

3. Iblis bermusuhan dengan manusia dengan melaga-lagakan kaum lelaki dengan kaum perempuan (contoh seperti mengganggu hubungan suami isteri)

Oleh itu, kita harus membuktikan bahawa kita tidak mudah terpengaruh dengan Iblis dan syaitan untuk membuat kerosakan di bumi ini dan sekaligus berusaha menjadi pemimpin terbaik yang patuh dengan perintah Allah SWT.


- Ayat 37:
 
 
Setelah Nabi Adam AS gagal melepasi ujian, Allah SWT mengajarkan Nabi Adam kata2 taubat lalu Nabi Adam AS pun bertaubat. Allah SWT pun menerima taubatnya dan mengampunkan dosa Nabi Adam AS atas kesilapannya itu.

Di sini kita dapat lihat, terdapat 3 potensi bagi seorang manusia:
 
1. Kita mampu belajar dan mengajarkan ilmu kepada orang lain.

2. Kita diuji dan ada masanya membuat kesilapan. Sekalipun kesilapan itu adalah sesuatu yang negatif, namun ianya boleh dijadikan sebagai pengajaran dan meningkatkan lagi ilmu yang sedia ada pada diri kita.
 
3. Kita diberikan keampunan oleh Allah SWT atas kesilapan yang telah dilakukan.

Point ke-3 ini yang membezakan antara kita manusia dengan Iblis kerana Iblis dilaknat oleh Allah SWT sehingga Hari Kiamat, manakala kita masih lagi diberikan peluang untuk bertaubat selagi masih hidup di atas muka bumi ini. Nabi Adam AS apabila melakukan kesilapan, dia terus bertaubat tanpa berlengah. Jadi, kita harus ikut contoh yang ditunjukkan oleh Nabi Adam AS ini dalam bertaubat. Bertaubatlah setiap hari kerana kita tak pernah lari dari melakukan dosa dan kesilapan.


- Resolusi bagi episod kali ni:
 
 
 

- Hukum tajwid kali ini menyentuh tentang tahap/tingkatan bacaan dalam Al-Quran iaitu maratib/kelajuan bacaan.

Ada 3 tahap iaitu:

  • At-tahqiq - bacaan yang paling lambat dan perlahan
  • At-tadwir - bacaan yang sederhana
  • Al-hadr - bacaan yang pantas

Episod kali ini menerangkan tahap kelajuan bacaan yang pertama iaitu At-tahqiq.

 
Bacaan at-tahqiq tidak boleh terlalu perlahan sehingga kedengaran seperti melengah2kan bacaan. Contoh seperti bacaan anak2 yang baru nak belajar mengaji yang selalunya mengikut lagu adalah tidak dibenarkan. Namun, sekalipun kita berasa susah nak membaca Al-Quran dan bacaan pun merangkak2, Allah SWT tetap memberikan ganjaran seperti yang dinyatakan di dalam hadith ini:
 

 
 Maksud 2 ganjaran dalam hadith ini ialah:
  • Ganjaran pertama - pahala membaca Al-Quran
  • Ganjaran kedua - pahala kerana menghadapi kesusahan dalam membaca Al-Quran
 
 
Alhamdulillah selesai sudah nota Episod 6 dari My #QuranTime 1.0 ni.

 
- Pengajaran yang mommy eez dapat dari episod kali ini ialah:
 
1. Jangan pernah berhenti belajar terutama belajar tadabbur Al-Quran. Bila dah belajar kena sebarkan ilmu yang kita dah dapat. Jangan simpan untuk diri sendiri saja. Ini yang mommy eez tengah buat sekarang insha Allah. Kalau ada kesilapan dalam mana2 nota mommy eez, silalah komen di post ya.
 
2. Jangan pandang rendah pada mana2 makhluk Allah SWT. Setiap makhluk yang Allah SWT jadikan ada hikmah di sebalik kejadiannya dan kita tidak layak langsung untuk mempersoalkan apa yang Allah SWT dah tentukan.
 
3. Sikap Iblis yang suka membanding2kan, suka pandang rendah dan rasa bangga diri/bongkak wajib dijauhi. 
 
4. Tanamkan dalam diri ni yang dosa kita umpama buih2 seluas lautan. Bertaubatlah dan minta ampunlah kepada Allah SWT setiap hari untuk memupuk rasa rendah diri dan rasa kebergantungan hidup kita dengan Allah SWT. Kita manusia tak pernah lari dari dosa sama ada kita sedar atau tidak sedar. 
 
5. Jangan saling bermusuhan kerana bermusuhan itu adalah pengaruh dari syaitanirrajim. Kalau bermusuh pun, apa yang kita dapat? Sakit hati, hati tak tenang, rasa marah yang tak bertepi dan macam2 lagi. Buat penat badan, buang tenaga dan emosi je nanti. 


Itu saja nota yang mommy eez mampu kongsikan pada kali ni. Jika ada sebarang kekurangan, boleh tegur-menegur, insha Allah mommy eez usahakan untuk buat semakan #kitasamasamabelajar . Link video ada disertakan di bawah ye:
 
 
 
 
Sambungan nota seterusnya boleh klik dekat link ni ya ---> Episod 9 


Semoga Allah SWT memelihara hati dan tutur kata kita dengan penuh kebaikan dan rahmat. Aaameeen.



Lavvv,

Mommy Eez
 


No comments:

Post a Comment

Popular Posts