Malam ni malam yang ke-23 Ramadan dan malam ganjil gaisss~~~ walaupun sebenarnya ada kemungkinan malam al-qadr tu boleh jatuh pada malam genap juga tapi seeloknya kita pulun habis untuk 10 malam terakhir Ramadan ni. Dah lah setahun sekali je. Itupun belum tentu kita dapat sampai ke Ramadan tahun depan atau tidak. Jadi, kita gunakan masa yang ada sebaik mungkin insha Allah.
Sebelum mula, mommy eez nak sentuh sikit isu baru2 ni pasal perkataan 'kafir' yang mana Menteri Pendidikan Malaysia kita, Puan Fadhlina Sidek mengeluarkan kenyataan yang beliau mengharamkan anak2nya menyebut perkataan kafir di rumah. Mommy eez berharap sangat beliau mengambil pelajaran daripada apa yang berlaku sebelum ni dan ini bukan kali pertama beliau membuat pernyataan yang agak kontroversi tetapi sudah beberapa kali. Tambah2 zaman sekarang yang penuh fitnah dan orang cepat melompat/melatah bila sentuh bab2 agama tanpa mengetahui perkara sebenar terjadi.
Mommy eez sendiri tak tengok pun video asal yang diucapkan oleh beliau tapi mommy eez nak berkongsi tentang erti perkataan kafir dalam Al-Quran. Kalau ada yang pernah membaca nota My #QuranTime atau follow siri TV/Youtube My #QuranTime pasti tahu maksud kafir dalam Al-quran yang sinonim dengan 'hati yang mati'. Boleh refer nota mommy eez juga tentang penjelasan 'hati yang mati':
My #QuranTime 1.0 : Halaman 3 Surah Al-Baqarah Ayat 6-16
Mengikut penerangan Ustaz Fazrul Ismail (pentadabbur tegar My #QuranTime) kita tidak boleh sewenang2nya melabel orang yang bukan Islam (non-muslim) sebagai kafir selagi mana mereka tidak melawan dan menghina agama Islam. Ini kerana kita tidak tahu mungkin pada masa depan orang 'non-Muslim' akan terbuka hati untuk menerima Islam. Wallahu'alam. Perkataan kafir ini sesuai bagi mereka yang hatinya benar2 mati dan jahat contoh seperti Abu Jahal dan Abu Lahab. Tapi tidak salah menggunakan perkataan kafir kerana ianya memang disebutkan dalam Al-Quran. Perkataan kafir itu agak sensitif dan tak semua orang boleh faham bila masa sesuai untuk menggunaan perkataan itu. Cuma mommy eez berharap, Menteri Pendidikan ni cuba elakkan dari membuat kenyataan yang agak kontroversial sekalipun ianya dipotong pendek sebab makin ramai yang tak puas hati dengan beliau terutama isu sekolah (mommy eez lah salah seorang dari yang tak puas hati tu. Hahahaha~) Tapi isu perkataan kafir ni, mommy eez faham maksud beliau cuma keadaan tidak sesuai dan ramai yang mengambil kesempatan atas kenyataan beliau. Sampaikan Dr. Maza dan beberapa figura Islamik lain semua agak melompat/melatah dan memberi pandangan yang agak extreme bila melihat isu ni. Suka mommy eez tengok penjelasan Dr. Kamilin Jamilin ni:
Penjelasan Dr. Kamilin Jamilin tentang isu perkataan kafir
Hokey done membebel, kita teruskan dengan nota Juzuk 22. Bismillahirrahmanirrahim...
RINGKASAN NOTA JUZUK 22
disampaikan oleh
Ustaz Syahmi Syazeril dari Tadabbur Centre
- Juzuk 22 mengandungi 4 surah:
Surah Al-Ahzab (ayat 31-73)
Surah Saba' (ayat 1-54)
Surah Fathir (ayat 1-45)
Surah Yasiin (ayat 1-27)
- Di bahagian akhir surah Al-Ahzab, Allah SWT mengutarakan tentang para isteri Nabi Muhammad SAW untuk patuh dan memelihara syariat Islam yang telah diturunkan oleh Allah SWT. Ini bertujuan dapat menjaga maruah dan nama baik Nabi Muhammad SAW selaku Rasul Allah serta menjaga nasab keturunan Baginda.
- Dalam surah Al-Ahzab ini juga Allah SWT menjawab persoalan para sahabat tentang perkahwinan Nabi Muhammad SAW dengan Zainab.
- Pada ayat 49 surah Al-Ahzab membincangkan perihal hukum talak.
- Surah Al-Ahzab diakhiri dengan perintah Allah SWT untuk para sahabat Nabi menjauhi sikap2 orang2 munafik dan orang2 kafir. Perintah ini dipaparkan melalui pengajaran yang terdapat dari kisah Nabi Musa AS dan kaumnya, Bani Israel.
- Surah Saba' terdiri daripada ayat2 Makkiyah dan diberi nama bersempena negeri Saba'. Negeri ini terletak berhampiran dengan kota Mekah dan penduduknya dikurniakan kekayaan yang melimpah ruah serta negeri yang makmur. Namun, setelah generasi Nabi Sulaiman AS dan Malikatus Saba' (Ratu Balqis) berlalu, penduduk negeri Saba' kembali kufur kepada Allah SWT. Lalu, Allah SWT memusnahkan kaum Saba' disebabkan keingkaran mereka untuk kekal beriman kepada Allah SWT.
- Allah SWT juga menjawab segala dakwaan orang2 kafir Quraisy yang mendustakan Nabi Muhammad SAW dan Hari Kiamat dalam surah Saba'.
- Allah SWT mengingatkan umat manusia bahawa semua rezeki yang mereka dapat tidak kira dari langit mahupun dari bumi semuanya atas izin dan kuasa Allah SWT. Allah SWT menunjukkan dalam surah Saba' ini terdapat 2 kelompok manusia yang Allah SWT kurniakan kemewahan tetapi respons mereka berbeza atas kemewahan itu:
Kelompok pertama ialah kaum Nabi Daud AS dan Nabi Sulaiman AS yang mana kemewahan yang mereka dapat dari Allah SWT tidak membuatkan mereka kufur nikmat.
Kelompok kedua ialah penduduk di negeri Saba' yang juga menerima kemewahan seperti kelompok pertama tetapi kemewahan itu membuatkan mereka hanyut dan menolak ajaran dari Rasul ketika itu. Malah pada ayat 45 surah Saba' menyatakan kekayaan yang mereka terima hanya 1/10 dari kekayaan umat terdahulu tetapi mereka masih ingkar untuk beriman kepada Allah SWT.
- Surah Saba' diakhiri dengan kisah orang2 kafir Quraisy yang meneruskan kebiadaban mereka dengan mendustakan Hari Kiamat. Maka boleh dilihat perkaitan di antara pengakhiran surah Al-Ahzab dan surah Saba' ialah Allah SWT meminta para sahabat Nabi untuk menjauhi sikap orang munafik dan kafir yang terus-menerus mendustakan Hari Kiamat.
- Surah Fathir membawa maksud menciptakan dan perkataan tersebut ada pada ayat pertama surah ini. Menurut kitab tafsir Al-Biqa'i, Allah SWT sangat kreatif dalam menciptakan sesuatu kejadian terutama penciptaan syurga dan neraka yang ghaib bagi kita.
Allah SWT menjelaskan syurga adalah kediaman orang2 yang beriman kepadaNya buat selama2nya. Secara logik mengikut hukum dunia, jika kita menetap di satu tempat untuk tempoh yang sangat lama, kita akan berasa bosan. Namun, Allah SWT telah menjanjikan syurga itu penuh dengan kepelbagaian dan keunikan yang akan membuatkan kita tak jemu, seronok dan selalu kagum dengan apa yang ada di dalam syurga.
Penciptaan neraka pula, sesuai Allah SWT jadikan buat hamba2Nya yang kufur, tak beriman malah menyekutukanNya. Logiknya jika di dunia, bila kita selalu sakit di tempat yang sama, pada satu tahap kita akan rasa 'numb' (disebabkan imuniti) atau dengan kata lain alah bisa tegal biasa. Berbeza jauh keadaannya di neraka, Allah SWT menjadikan kesakitan bagi orang yang berada di dalam neraka selama2nya itu berpanjangan dan berulang2. Contohnya apabila seseorang itu dibakar di dalam neraka, kulit2 yang luruh/tanggal itu akan digantikan dengan kulit yang baru. Maka kesakitan yang kali pertama dibakar itu akan berbeza dengan kesakitan untuk kali kedua dibakar. Begitulah proses seterusnya berulang2 sehingga manusia diazab dengan penuh seksa tanpa Allah SWT pedulikan rintihan dan jeritan mereka.
- Pada pengakhiran surah Fathir, Allah SWT memberikan semangat kepada Nabi Muhammad SAW dengan memberi amaran kepada orang2 kafir Quraisy bahawa apa jua perancangan mereka untuk menghentikan dakwah ataupun membunuh Baginda tidak akan pernah berjaya. Malah perbuatan mereka akan membawa kemudaratan dan merugikan diri mereka sendiri.
- Pada permulaan surah Yasiin, Allah SWT ingin menunjukkan keagungan Al-Quran. Perkara ini ada disebutkan pada juzuk sebelumnya (Juzuk 21) yang mana kebanyakan surah yang bermula dengan huruf2 muqhoto'ah (huruf2 potong) akan menceritakan tentang keagungan Al-Quran pada ayat2 seterusnya. Contoh surah lain yang mempunyai huruf2 muqhoto'ah pada ayat pertama adalah seperti surah Al-Baqarah dan surah Taha.
- Terdapat 3 fasa arah petunjuk yang akan disampaikan oleh Allah SWT kepada manusia berdasarkan ayat 9 surah Yasiin iaitu dari:
Fasa pertama dari atas
simbolik kepada ketinggian wahyu atau petunjuk melalui wahyu (Al-Quran)
Fasa kedua dari belakang
simbolik kepada petunjuk daripada peristiwa2 sejarah. Perkara ini kita boleh dilihat pada ayat 13 surah ini yang mengisahkan tentang 3 orang Rasul yang cuba berdakwah kepada Ashabul Qaryah. Akan tetapi, Ashabul Qaryah ini mendustakan kesemua Rasul tersebut serta mengancam untuk membunuh ketiga2 Rasul itu jika mereka tidak menghentikan dakwah mereka (rujuk ayat 18).
Kemudian, datanglah seorang pemuda yang beriman berlari2 dari hujung kota menuju ke Ashabul Qaryah dan menasihati supaya mengikuti dakwah 3 orang Rasul itu. Akhirnya, pemuda tersebut mati syahid dalam keadaan beliau bersungguh2 untuk menyebarkan dakwahnya kepada Ashabul Qaryah. Pemuda tersebut dikurniakan syurga oleh Allah SWT disebabkan usahanya tetapi beliau berasa kesal dengan sikap Ashabul Qaryah yang tidak mengetahui akan ganjaran syurga jika menerima dakwah dari 3 orang Rasul itu. Ini dirakamkan pada ayat 26 surah ini dan menunjukkan betapa sayangnya pemuda terbabit pada Ashabul Qaryah kerana masa hidupnya beliau gigih berusaha nak menyelamatkan mereka sehinggakan selepas beliau mati syahid dan masuk ke dalam syurga pun masih menyebut2 tentang Ashabul Qaryah.
Fasa ketiga dari depan
simbolik kepada petunjuk yang kita lihat melalui kejadian alam
Alhamdulillah berakhir sudah ringkasan nota Juzuk 22. Semoga bermanfaat hendaknya buat semua insha Allah.
Lavvv,
Mommy EEZ
No comments:
Post a Comment