Minggu ni last week untuk kita buat persiapan raya dan masa yang sama nak pulun ibadah untuk mengejar malam al-qadr. Sebenarnya mommy eez pun tak tau nak membebel apa hari ni sebab to-do list tu macam berderet2 kena buat tapi tak tahu nak buat mana satu. Rasa macam semua benda labeled as top priority 😂 .
Baik kita terussss sambung nota Juzuk 23 untuk hari ni~~~...
RINGKASAN JUZUK 23
disampaikan oleh
Ustaz Syaari Abdul Rahman
- Juzuk 23 mengandungi 4 surah:
- Surah Yasiin (ayat 28-83)
- Surah As-Saffat (ayat 1-182)
- Surah Sad (ayat 1-88)
- Surah Az-Zumar (ayat 1-31)
- Allah SWT tidak mahu membiarkan Nabi Muhammad SAW berdakwah seorang diri dalam memperjuangkan Islam. Maka Surah Yasiin diturunkan bagi memberi motivasi kepada para sahabat Nabi untuk melakukan kerja2 dakwah bersama2 dengan Nabi Muhammad SAW. Tema surah Yasiin ini lebih kepada perjuangan dakwah Islam supaya lebih ramai umat manusia dapat diselamatkan dari api neraka dan menghidupkan kembali hati2 mereka untuk kembali taat kepada Allah SWT.
Allah SWT tidak memandang berapa ramai orang yang berjaya memeluk agama Islam disebabkan dakwah oleh para sahabat Nabi, tetapi Allah SWT menitikberatkan usaha dan ikhtiar yang dilakukan oleh para sahabat Nabi dalam kerja2 dakwah itu. Galakan berdakwah ini Allah SWT nyatakan pada ayat 20 surah Yasiin dengan membawa cerita tentang seorang pemuda yang menyampaikan dakwah kepada Ashabul Qaryah. Ganjaran bagi pemuda itu setelah mati syahid adalah syurga (rujuk ringkasan nota Juzuk 22 untuk cerita lanjut tentang Ashabul Qaryah).
Allah SWT menyambung tentang betapa indahnya keadaan di syurga pada ayat 55 surah Yasiin. Penduduk di syurga berada dalam keadaan sibuk dan leka menikmati kesenangan sama seperti sibuknya ketika manusia (pemuda tadi) melakukan kebaikan (melakukan kerja2 dakwah) semasa di dunia.
Betapa terkesannya para sahabat Nabi dengan kisah pemuda bersama Ashabul Qaryah ini kerana pemuda itu tadi hanyalah seorang diri berdakwah kepada Ashabul Qaryah. Bukan saja berseorangan, malah pemuda itu menunjukkan semangat yang tinggi kerana berlari2 dari hujung kota bagi mendapatkan Ashabul Qaryah dan bersungguh2 menasihati mereka untuk mengikuti 3 orang Rasul. Sedangkan para sahabat Nabi terdiri daripada beberapa orang yang sepatutnya lebih bersemangat untuk membantu Nabi Muhammad SAW dalam berdakwah.
Maka, kita harus mengambil pelajaran yang mana, kita wajib menjalankan tanggungjawab kita untuk berdakwah kepada mereka yang bukan Islam seperti yang dinyatakan dalam ayat 17 dan ayat 70 surah Yasiin. Kita perlu tahu bahawa Allah SWT lah yang akan menentukan siapa yang mendapat hidayah dan dihidupkan hati2 mereka (rujuk ayat 12 surah Yasiin) hasil dari usaha kita berdakwah itu. Jika kita tak mulakan berdakwah, bagaimana orang lain ingin mengenal Islam dan mahu kembali kepada fitrah Islam itu?
- Surah As-Saffat membawa maksud makhluk Allah SWT yang berbaris2 dalam keadaan sedia untuk menunaikan solat. Gambaran yang sama juga digunakan seperti Malaikat yang berbaris2 yang setia menunggu perintah dari Allah SWT.
Selain daripada Malaikat, terdapat juga golongan2 Al-Muhsinin (orang yang melakukan kebaikan benar2 ikhlas kerana Allah SWT) seperti Nabi2 yang dinyatakan dalam surah ini dan mereka sangat taat dalam mematuhi perintah Allah SWT. Salah seorang Nabi yang disebut dalam surah ini ialah Nabi Ibrahim AS. Nabi Ibrahim AS sanggup menghadapi ayahnya (penyembah berhala) seorang diri (sama seperti keadaan pemuda yang disebut dalam surah Yasiin tadi). Baginda memecahkan patung berhala dengan tangan kanannya sehingga membuatkan kaum Baginda mulai berfikir akan Tuhan yang sebenar.
- Terdapat kisah tentang pengorbanan Nabi Ismail AS oleh ayahnya, Nabi Ibrahim AS dalam surah As-Saffat. Bagi menunjukkan ketaatan yang tidak berbelah bahagi oleh Nabi Ibrahim AS yang disimpulkan pada ayat 1 surah ini, Nabi Ismail AS nyaris dijadikan sebagai korban atas perintah Allah SWT. Oleh itu, tema bagi surah As-Saffat ini adalah tentang ketaatan mutlak kepada Allah SWT.
- Kisah Nabi Yunus AS adalah kisah yang terpanjang dalam surah As-Saffat. Nabi Yunus AS sangat2 kecewa dan marah kerana kaumnya tidak mahu beriman setelah bertahun2 diberi dakwah ke atas mereka. Lalu Nabi Yunus AS pergi meninggalkan kaumnya dan cuba mencari kaum lain yang lebih layak untuk menerima dakwah Baginda. Tindakan Nabi Yunus AS ini tidak diizinkan oleh Allah SWT, maka Allah SWT memberi teguran kepada Nabi Yunus AS dengan mengarahkan ikan Nun menelan Baginda. Nabi Yunus AS menyangkakan apabila Baginda pergi meninggalkan kaumnya, Baginda sedang berijtihad (berusaha bersungguh2 dalam melakukan ketaatan) tetapi Allah SWT lebih Maha Mengetahui.
- Segala kisah2 Nabi yang dipaparkan dalam surah As-Saffat ini haruslah dijadikan sebagai role model bukan saja untuk para sahabat Nabi, tetapi buat kita juga yang berada pada zaman kini.
- Surah Sad menjelaskan tentang punca2 kaum yang menolak dakwah para sahabat nabi dan juga Rasul. Salah 1 puncanya ialah kaum2 yang enggan beriman ni bangga dengan kemuliaan dan kekayaan yang diwarisi dari keturunan nenek moyang mereka. Mereka tidak mahu mengambil pelajaran dari kisah Nabi2 yang disebutkan dalam surah ini iaitu; Nabi Daud AS, Nabi Sulaiman AS dan Nabi Ayyub AS. Mereka sepatutnya melihat perbandingan bagaimana Nabi2 ini walaupun dikurniakan kemewahan dan kekuasaan oleh Allah SWT, tetapi tetap sujud dan taat kepada Allah SWT.
Kisah Nabi Daud AS
Baginda diuji dengan kehadiran 2 orang pemilik kambing yang mana sebahagian para ulama menganggap 2 orang terbabit merupakan Malaikat yang dihantar untuk menguji Baginda. Baginda dilantik menjadi hakim bagi satu perbalahan di antara pemilik 99 ekor kambing dengan pemilik 1 ekor kambing. Namun, Baginda hanya mendengar cerita dari 1 belah pihak saja iaitu pemilik 1 ekor kambing tanpa memberi peluang kepada pemilik 99 ekor kambing membela diri. Tiba2 kedua2 pemilik kambing itu hilang dan Nabi Daud AS tersedar akan kesilapannya lalu melakukan sujud kepada Allah SWT.
Kisah Nabi Sulaiman AS
Nabi Sulaiman AS mempunyai sebuah kerajaan yang besar dan Baginda berkemampuan untuk berkomunikasi dengan haiwan dan jin. Baginda diuji dengan kenderaan kuda yang sangat mewah (kuda bersayap) sehinggakan Baginda lalai dan terlena tanpa mengingati Allah SWT. Lalu Nabi Sulaiman AS memohon ampun (doa Baginda pada ayat 35 surah Sad) dan sujud kepada Allah SWT atas kelalaiannya dan sikap ini menjadikan Baginda orang yang bersyukur. Oleh sebab itu, Allah SWT tambahkan lagi nikmat kepada Baginda dengan menundukkan angin dan syaitan untuknya.
- Kisah Nabi Ayyub AS
- Nabi Ayyub AS dikurniakan harta yang banyak dan anak2 yang ramai. Namun, Baginda diuji dengan kehilangan kesemua nikmat2 itu dalam sekelip mata. Bukan itu saja Nabi Ayyub AS ditimpa dengan penyakit kronik sehingga mengganggu perjalanan dakwah dan ibadah Baginda. Doa Nabi Ayyub AS mengajarkan kita untuk bersangka baik pada Allah SWT walaupun dalam keadaan sakit dan ini dirakam pada ayat 83 surah Al-Anbiya'. Baginda diuji dan bersabar selama 17 tahun maka Allah SWT kembalikan semula harta kekayaan dan anak2 Baginda sebagai ganjaran atas kesabaran Baginda sepanjang diuji.
- Surah Az-Zumar bermaksud segerombolan manusia dan terdiri daripada ayat2 Makkiyah yang menekankan pengukuhan akidah dan tauhid ke atas Nabi dan para sahabat2 Nabi. Pada ayat 1 surah Az-Zumar Allah SWT menyatakan Al-Quran diturunkan dengan membawa kebenaran dariNya dan sembahlah Dia dengan menjadi hamba yang sebenarnya. Ayat ini menunjukkan prinsip tauhid kepada Allah SWT.
- Pada ayat 3 surah Az-Zumar, Allah SWT memberi amaran supaya tidak melakukan syirik dan menyembah selain dariNya. Orang2 kafir ini menjadikan patung2 berhala ini sebagai perantara antara mereka dan Tuhan sedangkan dalam Islam kita boleh saja berdoa terus kepada Allah SWT tanpa ada perantara.
- Ayat2 seterusnya dalam surah Az-Zumar memaparkan sifat2 dan bukti kekuasaan Allah SWT yang Maha Hebat dalam menciptakan bumi, alam, langit, manusia dan sebagainya. Allah SWT Maha Berkuasa mengadakan sesuatu daripada kosong/tiada apa2. Allah SWT Maha Menjadikan sesuatu tanpa sia2 dan menggalakkan kita berfikir akan tujuan penciptaan tersebut
- Pada ayat 8 surah Az-Zumar, Allah SWT menerangkan sifat manusia yang hanya mengingatiNya ketika susah saja. Bila manusia ini disentuh dengan sedikit kesusahan, barulah terkial2 nak mencari Allah SWT. Tetapi bila mana Allah SWT mengangkat kesusahan itu dari manusia, mereka kembali lupa untuk berdoa kepada Allah SWT seperti mana yang mereka buat semasa sedang susah.
- Pada ayat 9 surah Az-Zumar, Allah SWT menggalakkan kita untuk bangun malam menunaikan solat sunat. Allah SWT suka melihat hamba2 yang sujud menyembahNya di waktu tengah malam dan mengadu/merintih segala hal kepadaNya.
- Seterusnya pada ayat 18 surah Az-Zumar, Allah SWT menceritakan bagaimana kita nak menjadi orang yang selalu mendapat hidayah daripada Allah SWT iaitu dengan mendengar bersungguh2 dan menuruti apa yang diperintahkan oleh Allah SWT.
Alhamdulillah tamat sudah ringkasan nota bagi Juzuk 23. Semoga kita dapat beberapa pengajaran daripada kisah2 Nabi yang terdapat dalam Juzuk 23 ni. Terutamanya bila kita diuji, kita selalu menyalahkan takdir atau bersangka buruk kepada Allah SWT. Sedangkan segala ujian dan musibah yang melanda itu boleh jadi hikmah kebaikan buat kita tanpa kita ketahui. Kata kuncinya ialah sabar dan jangan putus harap pada Allah SWT.
Sekian saja, Insha Allah jumpa lagi dalam ringkasan nota Juzuk 24 nanti.
Lavvv,
Mommy EEZ