Semalam mommy eez meronda di sekitar Shah Alam dalam misi mencari baju dan tudung raya. Tapi, akhirnya balik dengan membawa 2 tudung bawal comel yang harganya RM20 jumlahnya. Hahaha~ mommy eez punya lah tak reti decide sebab tak tahu nak pilih yang mana 1 sebab apa yang dicari langsung tak jumpa. Tudung tu mommy eez beli utk kanak2 ribena bagi memecahkan perasaan bersalah sebab puas ronda berjam2 lamanya tapi tak dapat apa yang dihajati. Frust sungguh.
Nak beli baju raya, cutting dah cantik tapi pendek. Susah betul nak cari baju kurung yang labuhnya sampai lutut. Kalau ada pun, cutting pula tak kena. Tudung pula bila dah suka pendek pula. Kain jarang plak tu. Nak cari labuh sikit tapi jenis kain plak tak kena. Mana laaa reti nak bergaya lilit2 ni laaaaa hadoi!!! Padan muka sendiri fussy 😅
Mommy eez tak nak sentuh bab harga sebab part tu sangat sensitif bagi peniaga. Kita faham sebab waktu sekarang ramai yang sedang struggle. Kuasa membeli sangat kurang. Sewa tapak dan sewa kedai kemain mahal ribu riban harganya tapi untung makin menipis disebabkan harga modal yang makin berlipat kali ganda mahal. Customer nak murah saja so peniaga dah tersepit. Bagi harga kayangan, dikatanya tekan harga. Sedangkan untung dari harga kayangan tu lah nak buat belanja makan harian bagi peniaga dan famili dia. Tapi, peniaga pun bila dah bagi harga kayangan, service dan produk pun kena level kayangan lah juga kan.
Hokey panjang mommy eez membebel hari ni. Abaikan bad vibes di atas. Jom kita membersihkan hati dengan belajar tadabbur Juzuk 19. Ayuh kita mula~~~
RINGKASAN JUZUK 19
disampaikan oleh
Ustaz Hafizul Faiz dari Tadabbur Centre
- Juzuk 19 ini mengandungi 3 surah:
Surah Al-Furqan (ayat 21-77)
Surah Asy-Syua'ra' (ayat 1-227)
Surah An-Naml (ayat 1-55)
- Tema bagi juzuk 19 ini adalah tentang tauhid.
- Secara keseluruhan juzuk ini berkisarkan tentang tahap penentangan orang2 kafir terhadap Nabi2 semakin meningkat. Orang2 kafir ini mengalami 'group delusion' yang mana apa saja dakwaan atau pernyataan mereka yang terang2 salah tapi sangat disokong di kalangan mereka sendiri. Pemikiran mereka sempit dan hati mereka terpagar dari nak melihat kebenaran yang dibawa oleh Nabi2. Sekalipun kebenaran itu sudah terang2 jelas di depan mata mereka, mereka masih mahu melawan dan menegakkan pendirian mereka yang tidak bersandarkan realiti. Perkara ini dirakamkan dalam surah Al-Furqan.
Allah SWT telah menjanjikan azab bagi mereka yang enggan beriman dan dapat dilihat bagaimana Allah SWT membinasakan kaum2 yang terdahulu. Bezanya hari ni, orang2 kafir mendapat penangguhan dari balasan Allah SWT atas doa Nabi Muhammad SAW. Penangguhan itu boleh jadi sesuatu yang baik kerana masih ada masa lagi untuk bertaubat dan kembali ke jalan kebenaran. Boleh jadi juga penangguhan itu sesuatu yang tak baik bila lebih lama orang2 kafir ini degil tak mahu beriman, maka lebih banyak azab yang mereka akan tanggung di Hari Kiamat nanti.
- Surah Asy-Syu'ara' bermaksud para penyair atau orang2 yang berpuisi. Allah SWT menurunkan surah ini ditujukan kepada para penyair dan Allah SWT ingin menunjukkan betapa pentingnya institusi kesusasteraan pada zaman Nabi Muhammad SAW.
Allah SWT tidak melarang bagi mereka untuk berpuisi, berkarya dalam penulisan dan sebagainya supaya golongan2 ini tidak berasa tersisih dari Islam. Agama Islam mengiktiraf dan menerima baik golongan2 sastera ini untuk mencipta syair/karya asalkan tidak ke tahap syirik dan tidak melebihi batas2 tauhid.
Pada zaman Nabi Muhammad SAW, para penyair yang kafir berusaha sedaya upaya untuk mencabar ketulenan bahasa Al-Quran. Al-Quran mempunyai nilai Bahasa Arab yang tinggi sehingga tiada siapa yang dapat membuat ayat yang setara dengannya. Pastinya tiada manusia yang mampu membuat ayat2 setara kerana ayat2 Al-Quran adalah bahasa wahyu/kalam Allah SWT.
Para penyair ini merupakan pakar2 bahasa dan mereka tahu akan keindahan dan ketulenan ayat2 Al-Quran tetapi mereka degil untuk mengakuinya. Jika mereka ini beriman dengan Allah SWT, pasti mereka lah orang yang terbaik dalam menafsir ayat2 Al-Quran dan paling mengenali Al-Quran kerana setiap ayat ada maksud dan jiwanya yang tersendiri.
Malangnya, para penyair ini memilih kekufuran dan cuba memanipulasikan ayat2 Al-Quran itu bagi kepentingan mereka dan menyerang agama Islam.
- Terdapat seorang sahabat Nabi Muhammad SAW bernama Hassan bin Tsabit RA yang sangat mahir dalam bersyair. Baginda sangat suka mendengarkan syair yang dibacakan oleh Hassan bin Tsabit RA sehinggakan bila beliau berhenti, Baginda memintanya menyambung bersyair lagi.
Nabi Muhammad SAW tidak dikurniakan bakat dalam bersyair dan ini sesuatu yang wajar kerana, jika Baginda seorang penyair sudah pasti bertambah sukar bagi orang2 kafir mempercayai bahawa Al-Quran adalah wahyu Allah SWT.
Dalam Masjid Nabawi terdapat 2 mimbar. 1 mimbar untuk Baginda memberi khutbah dan 1 lagi mimbar Baginda sediakan untuk Hassan bin Tsabit RA membacakan syairnya kepada orang2 Islam sebagai hiburan dan peniup semangat dalam berjihad. Syair2 Hassan bin Tsabit juga digunakan untuk melawan syair para penyair di kalangan orang kafir Quraisy.
Ayat2 dalam surah Asy-Syu'ara' ini sangat menikam para penyair orang2 kafir ini kerana kedegilan mereka mencabar ayat2 Allah SWT dan tidak mahu menerima kebenaran.
- Allah SWT menceritakan dalam surah An-Naml bahawa ayat2 Al-Quran tidak hanya membincangkan perkara2 yang serius seperti hukum-hakam, kejadian alam, balasan orang2 kafir dan sebagainya tetapi juga memaparkan perkara2 yang membahagiakan.
Terdapat kisah Nabi Hud AS dalam surah ini yang mana Nabi Hud AS mengajarkan kaumnya tentang kepentingan taqwa dan bersyukur. Ini berkait rapat dengan bulan Ramadan yang biasanya dikenali sebagai bulan penuh kesyukuran.
Allah SWT menyatakan jika hambaNya bersyukur, pasti Allah SWT akan tambahkan lagi nikmat kepada mereka. Namun, jika hambaNya tidak tahu bersyukur, pasti mereka tidak akan pernah berasa cukup dan selalu merungut akan nikmat yang Allah SWT kurniakan pada mereka.
- Ustaz Hafizul berpesan supaya menggunakan ruang masa di dalam bulan Ramadan ini untuk refleksi diri. Kita harus belajar menahan hawa nafsu dan bersyukur atas segala nikmat yang Allah SWT beri kepada kita. Ini bagi melatih diri kita untuk mendapat ketenangan dalam hati sekaligus mendapat keredhaan Allah SWT. Perkara ini ditekankan dalam kisah Nabi Hud AS dan Nabi Shuaib AS.
- Allah SWT menyatakan dalam surah An-Naml bahawa segala perancangan orang2 kafir ini tidaklah sempurna kerana perancangan Allah SWT lebih hebat dan Allah Maha Merencana.
Alhamdulillah itu saja ringkasan nota untuk Juzuk 19. Tinggal 10 hari saja lagi bulan Ramadan bakal berakhir, maka manfaatkan masa yang ada untuk lebih banyak beribadah dan membaca Al-Quran insha Allah. Semoga kita direzekikan untuk bertemu dengan malam al-qadr dan dapat beribadah dengan penuh khusyuk pada malam itu. Aaaameeen.
Lavvv,
Mommy EEZ