Hari ni mommy eez tertengok 1 video yang sangat3 disturbing. Video pasal penduduk Palestin yang tak bersalah sedang berjalan2 di Khan Younis (selatan Gaza) ditembak mati menggunakan drone Israel Zionis (Laknatullah). Bukan seorang dua ye. Lebih dari 5 orang. Ya Allah, sedih, sadis, perit dan sakit hati menengokkannya. Sejak dari 7 Oktober 2023 sampai sekarang, kita semua disajikan dengan video2 kejam yang si Laknatullah ni buat pada orang2 Palestin.
Jangan ingat kita sebagai orang Islam di Malaysia ni tak terlibat ye dengan peperangan ni. Bagi mommy eez, tak mustahil apa yang mereka buat pada orang2 Palestin akan sampai waktunya mereka akan buat pada kita juga. Kekejaman yang dipaparkan pada kita sekarang ni, ada kemungkinan itulah kesengsaraan yang kita bakal hadapi bila Dajjal muncul nanti. Wallahua'lam. Hasbunallah wani'mal wakeel...
Mommy eez sambung lagi nota ringkasan Juzuk 13 dan harapnya serba sikit kita tahu apa yang terkandung dalam Al-Quran ni insha Allah.
RINGKASAN JUZUK 13
disampaikan oleh
Dr. Azrul Azlan dari Tadabbur Centre
- Juzuk ini mengandungi 3 surah:
Surah Yusuf (ayat 53-111)
Surah Ar-Ra'd (ayat 1-43)
Surah Ibrahim (ayat 1-52)
- Seperti yang dinyatakan di dalam Juzuk 12, kisah Nabi Yusuf AS ini merupakan kisah yang terbaik (Ahsanul Qasas - sebaik2 kisah) untuk orang2 yang berfikir (ulul albab) dan pengakhiran ceritanya juga baik. Walaupun Nabi Yusuf AS diuji dengan pelbagai dugaan seperti:
dibuang ke dalam perigi oleh abang2nya kerana perasaan hasad dengki
berpisah dari ayahnya Nabi Yaakub AS sehingga buta kedua2 mata Nabi Yaakub AS kerana menangis di atas kehilangan Nabi Yusuf AS
dibawa oleh pedagang2 dan dijual di Mesir
diuji dengan Zulaikha (isteri Al-Aziz, seorang gabenor Mesir) lalu dipenjara
dipenjara selama beberapa tahun sebelum dibebaskan oleh Raja Mesir
Namun akhirnya Allah SWT mengangkat darjat Nabi Yusuf AS menjadi pembesar iaitu Menteri Kewangan di Mesir. Begitu juga dengan adik-beradik Nabi Yusuf AS yang pada awalnya terpedaya dengan bisikan Iblis, tetapi akhirnya bertaubat dan kembali ke jalan yang benar.
- Di bahagian awal surah Yusuf ini menceritakan kisah mimpi Nabi Yusuf AS yang melihat 11 bintang, matahari serta bulan yang mana kesemuanya tunduk memberi hormat kepadanya. Kemudian secara halusnya Allah SWT mengakhiri kisah ini di bahagian akhir surah Yusuf dengan mengaitkan mimpi2 tadi dengan perkara2 yang benar2 terjadi dalam hidup Nabi Yusuf AS. Nabi Yusuf AS juga diberikan kelebihan dalam ilmu tafsiran mimpi.
- Surah Yusuf ini diturunkan sebagai motivasi kepada Nabi Muhammad SAW ketika Baginda berada di Mekah dan mendapat tentangan hebat dari orang2 kafir Quraisy. Dapat kita lihat persamaan kisah di antara 2 Nabi ini iaitu:
- Orang2 kafir Quraisy berasa dengki dengan Nabi Muhammad SAW kerana mereka tidak mahu Baginda menjadi pemimpin masyarakat di Mekah dan khuatir lebih ramai lagi yang akan masuk Islam. Ujian yang Nabi Muhammad SAW hadapi itu lebih kurang sama kisahnya dengan adik-beradik Nabi Yusuf AS yang dengki melihat kelebihan yang ada pada Nabi Yusuf AS.
- Nabi Muhammad SAW juga diusir dan membawa diri ke Madinah manakala Nabi Yusuf AS juga diusir dari rumahnya dan dibawa ke Mesir.
- Nabi Muhammad SAW ditawarkan beberapa wanita dan harta supaya dapat menghentikan dakwah Baginda. Begitu juga dengan Nabi Yusuf AS yang diuji dengan godaan dari Zulaikha, isteri Al-Aziz yang kaya-raya.
- Surah Yusuf ini menekankan tema sabar, iman dan taqwa. Oleh itu, jika kita berasa tertekan dan gelisah, bacalah surah Yusuf agar kita mendapat kekuatan dan mengambil iktibar dengan apa yang terjadi pada Nabi Yusuf AS.
- Kita tidak mampu mengubah takdir yang Allah SWT tentukan buat kita, tapi Allah SWT membuka peluang untuk kita MENGUBAH takdir yang dah ditetapkan. Maksudnya di sini, bila kita mengubah cara kita melihat takdir Allah SWT dengan positif, kita mampu mengubah keadaan kita.
Sebagai contoh, kita ditakdirkan untuk diberhentikan kerja secara tiba2. Kita jadi tertekan dan hilang arah tuju. Kita rasa apa yang terjadi ini adalah kezaliman yang Allah SWT beri pada kita. Namun, jika kita tukar persepsi kezaliman itu kepada hikmah, kita sebenarnya ada 2 pilihan;
- sama ada nak terus rasa tertekan dan sedih sepanjang masa tanpa bangkit berjuang atau
- terus berusaha mencari kerja lain yang lebih baik dan lebih diberkati Allah SWT.
Jika Allah SWT izinkan kita berjaya, percayalah kita akan jadi manusia yang lebih baik, lebih bersyukur dan lebih kuat bila menghadapi ujian2 akan datang. Kita dapat merasakan manisnya kesabaran dan menghargai penat lelah kita dalam berusaha. Tapi ada kalanya bila kita memilih untuk berusaha namun Allah SWT takdirkan hidup kita masih lagi tak berjaya, usaha kita itu takkan dikira sia2 kerana Allah SWT tetap mengurniakan pahala atas usaha kita itu. Malah, ada hikmah di sebalik mengapa Allah SWT tidak mengizinkan kita untuk berjaya pada sekian2 masa. Mungkin dengan kejayaan itu akan membawa kita kepada kufur nikmat, sombong dan riak serta lain2 sifat mazmumah. Allah SWT itu Maha Penyayang lagi Maha Melindungi segala makhlukNya dan Dia tahu apa yang TERBAIK untuk hamba2Nya.
Kita tidak sedar ujian yang datang mungkin Allah SWT ingin menaikkan lagi potensi diri/kebolehan yang kita tidak sedar ada pada diri kita. Wallahualam.
Kita harus menukar persepsi hidup dengan menjadikan setiap ujian itu adalah nikmat. Setiap derita itu adalah harapan. Setiap luka itu boleh berubah menjadi kegembiraan. Itulah lumrah hidup orang beriman yang bahagia dan yakin hidupnya sentiasa dibimbing oleh Allah SWT.
- Surah Ar-Ra'd yang bermaksud guruh membicarakan tentang kuasa Allah SWT. Kita tahu bunyi guruh sangat kuat berdentum2 namun hakikatnya ianya sedang berzikir kepada Allah SWT. Perkataan guruh ini membawa 2 erti:
- Bunyi guruh yang kuat bisa menggerunkan/menakutkan hati kita
- Dari bunyi guruh itu juga menjadi petanda bahawa hujan akan turun (khabar gembira) yang akan menyirami tanaman2 para petani
- Surah Ar-Ra'd juga berkisarkan tentang kebenaran dan kebatilan. Perkara kebenaran yang sekalipun pahit untuk ditelan tetapi bisa memberikan sumber kekuatan jiwa kepada mereka yang yakin terhadap kebenaran itu. Contohnya seperti kebenaran wahyu yang para Nabi sampaikan susah untuk diterima oleh kaum2nya kerana bertentangan dengan adat kebiasaan mereka.
Perkara kebatilan pula sebenarnya sumber yang melemahkan jiwa dan penuh dengan kepalsuan. Contohnya seperti:
- maksiat yang berleluasa tapi dianggap biasa
- peniaga yang menipu dalam hal timbangan berat dan harga barang dagangnya supaya dapat lebih banyak untung namun tiada keberkatan di dalam urusannya
- orang2 zalim yang melampaui batas dengan menganiaya dan menyeksa orang lain demi memuaskan hawa nafsu
- orang2 yang mempunyai pangkat tetapi merompak harta orang2 awam dengan menyalahgunakan kuasa dan jawatan yang dipegang
- Pada ayat 28 surah Ar-Ra'd, Allah SWT menjelaskan cara membersihkan hati kita ialah dengan selalu berzikir mengingatiNya. Berzikir membuatkan hati pastii menjadi tenang. Ketenangan hati ni tidak terhad kepada orang beriman saja, malah ada sebahagian orang2 kafir yang bila diperdengarkan dengan ayat2 Al-Quran, hati mereka juga berasa tenang.
- Pada ayat 37 surah Ar-Ra'd pula, Allah SWT juga menekankan kepentingan Bahasa Arab kerana ianya merupakan bahasa Al-Quran. Kita harus belajar Bahasa Arab jika kita mahu memahami isi kandungan Al-Quran dengan lebih mendalam kerana setiap bait perkataan dalam ayat Al-Quran ada maksud2 tertentu. Sekalipun ianya melibatkan imbuhan ataupun pertambahan huruf, boleh membawa tafsiran yang berbeza. Begitulah Allah SWT yang Maha Teliti dalam segala hal.
- Surah Ibrahim dinamakan sempena nama bapa segala Nabi iaitu Nabi Ibrahim AS. Surah ini menekankan tentang Al-Quran bermula dari awalan surah dan juga pengakhiran surah Ibrahim. Al-Quran diturunkan bagi mengeluarkan manusia dari kegelapan dan menuju ke cahaya keimanan.
- Terdapat doa2 yang disebut oleh Nabi Ibrahim AS di dalam surah Ibrahim ini yang boleh kita amalkan:
- Doa berkaitan tentang iman dan akidah pada ayat 35
- Doa berkaitan dengan solat pada ayat 37
- Doa tentang Allah SWT yang Maha Mengetahui segala yang tersembunyi pada ayat 38
Kesimpulan bagi ketiga2 surah ini ialah Allah SWT mahu kita belajar tentang erti sabar, iman dan taqwa kepadaNya dalam apa jua keadaan sama ada diuji mahupun senang.
Alhamdulillah selesai sudah ringkasan nota Juzuk 13 ni. Nota ni agak lama mommy eez susun isinya dan berharap dapat memberi kefahaman bagi mereka yang masih mencari2 isi yang terkandung di dalam Al-Quran nur Kareem ni insha Allah.
Lavvv,
Mommy EEZ
www.kiddieoasis.com.my