Tadabbur Quran 30 Juzuk : Kompas Juzuk 15 oleh Ustaz Affuan

Anak2 mommy eez ni bila dah sampai hari Ahad, masing2 dah mula monyok sebab esoknya kena pergi sekolah. Dah cuti punyalah lama sebab kakak Raihan sakit dan adik pun join cuti sekali masih tak cukup. Well, what to do kanak2 ribena... Life must go on. Mencari ilmu itu sebahagian dari ibadah. Tanpa ilmu, kita sesat. Tanpa ilmu kita tak mungkin boleh survive untuk hidup di dunia dan di akhirat. Carilah ilmu sehingga ke nafas terakhir...


Hokey, mommy eez kena stop membebel dan teruskan dengan ringkasan nota Juzuk 15. Bismillahirrahmanirrahim...


RINGKASAN NOTA JUZUK 15

disampaikan oleh

Ustaz Affuan dari Tadabbur Centre


- Juzuk 15 ini mengandungi 2 surah iaitu surah Al-Isra' (ayat 1-111) dan surah Al-Kahfi (ayat 1-74).


- Surah Al-Isra' diberi nama bersempena ayat 1 surah ini yang merujuk kepada perkataan Asra'.

 

- Surah Al-Isra' terdiri daripada ayat2 Makkiyah yang diturunkan sebelum hijrah Nabi Muhammad SAW ke Madinah. Dalam surah ini menceritakan peristiwa Isra' dan Mi'raj yang dilalui oleh Nabi Muhammad SAW sebagai hadiah dari Allah SWT atas ujian2 hebat yang dilalui oleh Baginda ketika berdakwah serta kehilangan insan2 tersayang iaitu isterinya, Siti Khadijah dan bapa saudaranya Abu Talib.


- Menurut Ibn Jarir Al-Tabari dalam tafsir Jami' al-Bayan 'an Ta'wil ay Al-Quran, sesungguhnya kandungan ayat dalam surah Al-Isra' ini adalah gambaran secara keseluruhan isi kandungan yang terdapat di dalam kitab Taurat. 


- Perkaitan di antara surah surah An-Nahl dan surah Al-Isra' adalah:

  • Dalam surah An-Nahl, Allah SWT menyuruh Nabi Muhammad SAW bersabar atas segala dugaan yang dihadapinya manakala dalam surah Al-Isra', Allah SWT memberikan hadiah buat Nabi Muhammad SAW dengan mengangkat Baginda ke Sidratul Muntaha untuk berjumpa dengan Allah SWT dalam peristiwa Isra' dan Mi'raj.
 
  • Allah SWT menceritakan bahawa manusia telah dikurniakan pelbagai nikmat yang melimpah-ruah dalam kedua2 surah An-Nahl dan surah Al-Isra'.
 
  • Dalam surah An-Nahl diutarakan bagaimana manusia menggunakan segala nikmat yang Allah SWT kurniakan kepada mereka manakala dalam surah Al-Isra' diterangkan lebih terperinci bagaimana manusia menggunakan nikmat2 itu untuk menjalani kehidupan dari segi sosial, urusan bermuamalat, soal hukum-hakam e.g. zina, talak, berjual beli dan lain2.

 

-  Ada 4 perkara penting yang dibincangkan di dalam surah Al-Isra':

  • Memperkukuhkan akidah orang Islam pada ayat pertama surah ini.
  • Membicarakan kepercayaan kepada nabi dan ianya merupakan salah satu Rukun Iman yang wajib diyakini. 
  • Menjawab sangkaan2 yang tidak baik terhadap agama Islam.
  • Membincangkan tentang cara hidup orang Islam mengikut syariat yang Allah SWT dah tetapkan.

 

- Ayat 2 dan 3 dalam surah Al-Isra' menceritakan kisah Nabi Musa AS dikurniakan kitab Taurat oleh Allah SWT. Ayat2 ini diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW selepas berlakunya peristiwa Isra' dan Mi'raj (ayat 1). Ayat2 ini merupakan bukti kebenaran menunjukkan bahawa Nabi Muhammad SAW benar2 melalui peristiwa Isra' dan Mi'raj itu dan diceritakan kepada sahabat2 Nabi dan orang2 kafir Quraisy.

 

- Dalam peristiwa Isra', Nabi Muhammad SAW menuju ke Masjidil Al-Aqsa di Palestin dari Masjidil Haram menaiki Buraq. Kemudian ketika peristiwa Mi'raj, Nabi Muhammad SAW diangkat ke Sidratul Muntaha untuk berjumpa dengan Allah SWT dari Masjidil Al-Aqsa. 


Nabi Muhammad SAW melalui 7 lapisan langit dan bertemu dengan para Nabi seperti yang digambarkan di atas. Namun, Nabi Muhammad SAW paling kerap berjumpa dengan Nabi Musa AS sebanyak 10 kali semasa peristiwa Mi'raj. Ini menunjukkan tanda significant yang perlu kita fikir mengapa Nabi Muhammad SAW lebih banyak berjumpa dengan Nabi Musa AS dan kisah mereka berdua juga banyak ditekankan dalam surah Al-Isra' ini. Ada pendapat mengatakan, ujian2 yang dihadapi oleh Nabi Musa AS lebih kurang sama dengan apa yang dilalui oleh Nabi Muhammad SAW.

 

- Pada ayat 4-8 surah Al-Isra', mengisahkan sikap Bani Israel yang banyak mendapat nikmat dari Allah SWT tetapi akhirnya mereka sombong dan kufur kepada Allah SWT. Mereka degil dan enggan beriman kepada Allah SWT.

 

- Seterusnya pada ayat 9-11 surah Al-Isra', memaparkan tujuan dan fungsi Al-Quran.

 

- Manakala pada ayat 18-21 surah Al-Isra' menceritakan balasan orang2 yang hanya memikirkan tentang hal2 dunia semata2 tanpa memikirkan hal2 akhirat.

 

-  Pada ayat 22-30 surah Al-Isra' membicarakan tentang hubungan dengan Allah SWT, hubungan sesama manusia seperti hubungan dengan ibu bapa, kaum kerabat, orang miskin dan orang yang bermusafir.

 

- Kita dapat melihat betapa Allah SWT itu Maha Halus (Al-Lathif) dalam kalimah2nya seperti pada ayat 23 surah Al-Isra'. Pada ayat ini, Allah SWT memerintahkan supaya kita melayani ibu bapa kita dengan perasaan rendah diri dan kasih sayang. Umpama seperti seekor burung yang merendahkan sayapnya demi memberi perlindungan kepada anak2nya serta menggesel2kan sayapnya pada badan anak2nya sebagai tanda kasih sayang. Dua elemen penting yang Allah SWT ingin tekankan di sini ialah kita wajiblah memberi perlindungan dan kasih sayang kepada ibu bapa kita.

 

- Pada ayat 31-39 surah Al-Isra', Allah SWT menjelaskan tentang sistem undang2 kehidupan manusia yang tersusun seperti:

  • Jangan membunuh anak2 kamu kerana takutkan kemiskinan
  • Jangan dekati zina
  • Jangan membunuh diri
  • Jangan menyalah gunakan harta anak yatim
  • Jangan menetapkan sesuatu perkara tanpa kamu ada ilmu pengetahuan ke atasnya
  • Jangan berjalan di atas muka bumi Allah SWT dengan sifat sombong
  • Jangan sesekali syirik kepada Allah SWT

- Kisah mengenai Nabi Adam AS, para Malaikat dan Iblis ada juga disebut di dalam surah Al-Isra'. 

 

- Selain itu, cerita perihal solat difardukan (semasa peristiwa Mi'raj) dan solat merupakan perkara pertama yang akan dihisab pada Hari Kiamat ada juga dinyatakan dalam surah Al-Isra'.


- Terdapat 9 mukjizat yang diberikan Allah SWT kepada Nabi Musa AS:

  • Dilindungi Allah SWT ketika hanyut di dalam peti semasa Nabi Musa AS masih bayi.
  • Menyembuhkan penyakit belang yang dihidapi oleh puteri Firaun. Dari situlah Nabi Musa AS diambil menjadi anak angkat Firaun.
  • Berbicara terus dengan Allah SWT tanpa pengantara (ayat 30, surah 
  • Al-Qasas)
  • Mendapat tongkat ajaib dari syurga
  • Tangan yang memancarkan cahaya (ayat 22-23 surah Taha)
  • Tongkat Nabi Musa AS mampu menelan sihir dengan bertukar menjadi ular
  • Tongkat Nabi Musa AS membelah Laut Merah
  • Menghukum Firaun dengan hujan lebat dan wabak penyakit (ayat 133, surah Al-Qasas)
  • Memusnahkan harta milik Firaun menjadi batu (ayat 88, surah Yunus)


- Surah Al-Kahfi bermula dengan tahmid manakala surah Al-Isra' bermula dengan tasbih.


- Surah Al-Kahfi terdiri daripada ayat2 Makkiyah dan menceritakan tentang kisah Ashabul Kahfi (penghuni gua) iaitu pemuda2 yang lari dari negerinya disebabkan raja yang zalim kerana ingin menjaga keimanan mereka terhadap Allah SWT. Pemuda2 ini melarikan diri ke dalam gua dan ditidurkan oleh Allah SWT selama 309 tahun. 


- Pada ayat 32-44 surah Al-Kahfi mengisahkan 2 pemilik kebun yang diuji dengan harta kekayaan di mana salah seorang pemilik kebun itu dikurniakan kebun yang subur tetapi tidak bersyukur kepada Allah SWT malah angkuh dengan harta yang ada.


- Selain itu, terdapat kisah Nabi Musa AS bertemu dengan Nabi Khidir AS di titik pertemuan antara dua laut. Nabi Musa AS diuji dengan peristiwa2 yang dilaluinya bersama Nabi Khidir AS dan ianya mengajarkan Nabi Musa AS erti kesabaran.


- Sebagai penutup, Ustaz Affuan berpesan supaya apabila kita membaca Al-Quran, bukanlah setakat membacanya saja tetapi perlu mendalami maksud ayat2 Al-Quran seperti mentadabbur, memahami asbabun nuzul (sebab2 turunnya ayat) dan sebagainya. Ini kerana Nabi Muhammad SAW ada bersabda, "mereka yang mahir dalam mengaji, mentafsir dan mentadabbur Al-Quran, mereka akan dikumpulkan bersama2 dengan para Nabi di Hari Akhirat kelak" (Hadith Riwayat Al-Bukhari). 

Bagi mereka yang tidak lancar membaca Al-Quran, terdapat 2 ganjaran pahala yang menanti mereka; pahala berusaha untuk melancarkan bacaan dan pahala membaca Al-Quran itu sendiri (Hadith Riwayat Al-Bukhari).


Alhamdulillah tamat sudah nota ringkasan Juzuk 15 ni. Semoga kita sentiasa direzekikan oleh Allah SWT untuk membaca dan faham Al-Quran setiap masa tak kira di mana saja kita berada insha Allah.


Lavvv,

Mommy EEZ

www.kiddieoasis.com.my

Tadabbur Quran 30 Juzuk : Kompas Juzuk 14 oleh Ustaz Syahmi Syazeril

Hari ni dah masuk hari yang ke-12 berpuasa pada bulan Ramadan 2024. Badan mommy eez ada sikit lemau isk isk isk~ mungkin kurang air. Asyik bersin dan batuk. Harapnya tak berjangkit demam dari kakak Raihan yang baru baik dari Influenza A.

 

Bukan senang nak siapkan ringkasan nota ni ye sebab selain dari fakta yang dikongsikan di dalam video, mommy eez akan double check pada ayat2 Al-Quran yang dinyatakan supaya tiada kesalahan rujukan insha Allah.

 

Jom kita mulai~ Bismillahirrahmanirrahim...

 

RINGKASAN JUZUK 14

disampaikan oleh

Ustaz Syahmi Syazeril dari Tadabbur Centre


  - Juzuk 14 ini mengandungi 2 surah penuh iaitu surah Al-Hijr (ayat 1-99) dan surah An-Nahl (ayat 1-128)

 

- Surah Al-Hijr ini merumuskan pertembungan di antara golongan2 pendusta dan penentang dengan Nabi2 yang diutuskan oleh Allah SWT. Situasi pendustaan ini diceritakan bermula dari Nabi Adam AS yang ditentang oleh Iblis (yang tak mahu sujud/tunduk hormat kepada Nabi Adam AS) sehingga ke kisah Nabi Muhammad SAW.

 

- Surah Al-Hijr ini terdiri daripada ayat2 Makkiyah dan diturunkan semasa konflik pergelokan penentangan terhadap Nabi Muhammad SAW di Mekah berada di kemuncak. Pembantaian secara fizikal dan boikot terhadap Nabi Muhammad SAW giat dijalankan pada masa itu. Nabi Muhammad SAW berada dalam keadaan yang sangat letih dalam melayani kerenah orang2 kafir Quraisy di Mekah.

 

- Maka, Allah SWT menurunkan surah Al-Hijr ini sebagai motivasi buat Nabi Muhammad SAW untuk kekal kuat dalam menyebarkan dakwahnya dan abaikan segala kerenah orang2 kafir Quraisy yang menyusahkan Baginda. Allah SWT menghadirkan 4 kisah Nabi2 terdahulu di dalam surah ini sebagai galakan dan semangat buat Nabi Muhammad SAW iaitu kisah:

  • Nabi Ibrahim AS
  • Nabi Luth AS
  • Nabi Soleh AS
  • Nabi Shuaib AS


- Pengajaran yang Allah SWT ingin sampaikan kepada Nabi Muhammad SAW dalam surah Al-Hijr ini ialah; ujian yang dihadapi oleh Nabi Muhammad SAW pada masa itu tidak seberat ujian 4 orang Nabi2 yang disebutkan di atas. 

 

- Selain itu, Allah SWT membangkitkan tentang keagungan Al-Quran di awalan surah Al-Hijr ini. Kemudian, disambung pula dengan cerita2 bagaimana orang2 kafir Quraisy memberikan alasan mengapa mereka tidak mahu menerima dakwah Nabi Muhammad SAW. Alasan2 mereka adalah seperti:

  • Nabi Muhammad SAW hanyalah manusia biasa seperti mereka dan tiada sebab untuk mereka ikut dakwah Baginda
  • Mereka menuduh Nabi Muhammad SAW seorang yang gila

Lalu Allah SWT memberikan peringatan kepada orang2 kafir Quraisy ini bahawa tidakkah mereka melihat pembalasan yang telah Allah SWT turunkan kepada kaum2 yang terdahulu kerana enggan mengikut ajaran Nabi2 pada masa itu. Meskipun mereka telah menyaksikan pelbagai mukjizat Nabi Muhammad SAW di depan mata mereka sendiri, namun mereka tetap kufur kepada Allah SWT.


- Allah SWT memberitahu dalam surah Al-Hijr bahawa Al-Quran akan sentiasa terpelihara sehingga Hari Kiamat.


- Allah SWT juga menggambarkan kepada kita yang Iblis akan senantiasa menyerang dan menyesatkan manusia dari jalan Allah SWT. Maka, Allah SWT menjanjikan perlindungan kepada orang2 yang beriman sekalipun ujian dan fitnah Iblis datang menyerang tanpa henti. Akhirnya, balasan bagi mereka2 yang beriman ialah syurga yang tenang dan mendamaikan.


- Pada ayat 51 sehingga ayat 60 surah Al-Hijr ini memaparkan kisah Nabi Ibrahim AS yang didatangi oleh beberapa tetamu untuk memberi khabar gembira tentang zuriatnya. Kemudian, disambung pula dengan kisah Nabi Luth AS yang menceritakan bagaimana Nabi Luth AS diselamatkan oleh Allah SWT daripada azab malapetaka yang menimpa kaumnya yang melibatkan penduduk2 Aikah (Ashabal Aikah) dan penduduk2 di Al-Hijr (Ashabal Hijr).


-  Nama surah An-Nahl diambil dari ayat 68 surah ini yang menceritakan tentang sarang lebah. Surah An-Nahl ini secara keseluruhannya mengisahkan tentang bagaimana Allah SWT menguruskan perjalanan alam ini dengan menundukkan alam bagi memberi manfaat kepada sekalian manusia. Manusia pula menguruskan manfaat yang didapati dengan mengunakan jiwa khalifah yang telah Allah SWT tetapkan. Akan tetapi masih ada manusia yang masih kufur dan Allah SWT mempersoalkan manusia2 yang enggan bersyukur ini dengan nikmat2 yang telah dikurniakan oleh Allah SWT.

 

- Di bahagian awal surah An-Nahl diceritakan orang2 kafir Quraisy mencabar Nabi Muhammad SAW untuk mendatangkan azab dari Allah SWT secepat mungkin. Tegar (berani) sungguh orang2 kafir Quraisy ini membuat cabaran sebegitu. Lalu Allah SWT menjawab cabaran mereka dengan memberitahu bukan Nabi Muhammad SAW yang membuat keputusan bila datangnya Hari Kiamat, tetapi Dialah Tuhan yang menentukan bila terjadinya azab (Hari Kiamat) itu nanti. Dari situ, fahamilah kita bahawa Allah SWT ialah Tuhan yang Maha Berkuasa dan Maha Penentu segalanya.

 

- Allah SWT juga menceritakan dalam surah An-Nahl tentang bahayanya menyekutukan Allah SWT dan juga bahaya berlaku syirik serta kesan2nya di dalam kehidupan di dunia dan di akhirat.

 

-  Allah SWT ada menegur dalam surah An-Nahl tentang sikap manusia yang suka menyalahkan takdir Allah SWT apabila berlaku sesuatu yang tidak mereka ingini. Sepatutnya, manusia harus beriman kepada Rukun Iman yang ke-6 iaitu beriman kepada Qada' dan Qadar. Jangan mempersoalkan apa yang Allah SWT dah tentukan ke atas mereka. Jika 1 Rukun Iman tidak diyakini, robohlah segala Rukun Iman yang lain dan cacatlah keseluruhan iman seseorang itu.

 

- Selain itu, surah An-Nahl membicarakan sebab mengapa Allah SWT menangguhkan azab seksaan bagi orang2 kafir Quraisy sedangkan Allah SWT mampu untuk mendatangkan azabNya secepat mungkin. Allah SWT juga memberitahu jenis2 ancaman azab yang disediakan bagi orang2 kafir Quraisy ini yang kufur kepada Allah SWT.

 

- Sebagai penutup surah An-Nahl, Allah SWT menerangkan bahawa seluruh alam ini semuanya tunduk kepadaNya termasuk makhluk2 yang berakal mahupun yang tidak berakal. Mengapakah manusia yang berakal masih tidak mahu menggunakan akalnya yang waras untuk menyedari tentang kekuasaan Allah SWT dan beriman denganNya?

 

- Pada ayat 98 surah An-Nahl;

 

Allah SWT menyatakan apabila kita mahu memulakan membaca Al-Quran, mintalah perlindungan daripadaNya dari sebarang gangguan syaitan2 yang direjam. Ini kerana iblis/syaitan akan membuatkan kita berasa malas, tak suka dan lalai semasa membaca Al-Quran.

Kita disarankan membaca ta'awudz seperti di bawah:

Moga2 dengan kita selalu membaca ta'awudz ini pada setiap permulaan bacaan Al-Quran, kita dipelihara oleh Allah SWT dan didatangkan perasaan tenang dan kasihNya melalui Al-Quran nur Kareem insha Allah.

 

Alhamdulillah selesai sudah ringkasan nota Juzuk 14 ni. Semoga hati2 kita dapat dilembutkan sebagai permulaan dalam mengenal apa yang terkandung di dalam Al-Quran ini.

 

Mommy eez dengan rendah diri ingin mewakafkan segala pahala dari post tadabbur al-quran di blog ni buat arwah Ayah dan Along mommy eez yang sudah pun meninggalkan kami sekeluarga pada tahun 2020. Semoga bermanfaat buat semua dan saham pahala yang berterusan buat mereka berdua atas izin Allah SWT.

 

Lavvv,

Mommy EEZ

www.kiddieoasis.com.my

Tadabbur Quran 30 Juzuk : Kompas Juzuk 13 oleh Dr. Azrul Azlan

Hari ni mommy eez tertengok 1 video yang sangat3 disturbing. Video pasal penduduk Palestin yang tak bersalah sedang berjalan2 di Khan Younis (selatan Gaza) ditembak mati menggunakan drone Israel Zionis (Laknatullah). Bukan seorang dua ye. Lebih dari 5 orang. Ya Allah, sedih, sadis, perit dan sakit hati menengokkannya. Sejak dari 7 Oktober 2023 sampai sekarang, kita semua disajikan dengan video2 kejam yang si Laknatullah ni buat pada orang2 Palestin. 


Jangan ingat kita sebagai orang Islam di Malaysia ni tak terlibat ye dengan peperangan ni. Bagi mommy eez, tak mustahil apa yang mereka buat pada orang2 Palestin akan sampai waktunya mereka akan buat pada kita juga. Kekejaman yang dipaparkan pada kita sekarang ni, ada kemungkinan itulah kesengsaraan yang kita bakal hadapi bila Dajjal muncul nanti. Wallahua'lam. Hasbunallah wani'mal wakeel...


Mommy eez sambung lagi nota ringkasan Juzuk 13 dan harapnya serba sikit kita tahu apa yang terkandung dalam Al-Quran ni insha Allah. 


RINGKASAN JUZUK 13

disampaikan oleh

Dr. Azrul Azlan dari Tadabbur Centre


- Juzuk ini mengandungi 3 surah:

  • Surah Yusuf (ayat 53-111)

  • Surah Ar-Ra'd (ayat 1-43)

  • Surah Ibrahim (ayat 1-52)


- Seperti yang dinyatakan di dalam Juzuk 12, kisah Nabi Yusuf AS ini merupakan kisah yang terbaik (Ahsanul Qasas - sebaik2 kisah) untuk orang2 yang berfikir (ulul albab) dan pengakhiran ceritanya juga baik. Walaupun Nabi Yusuf AS diuji dengan pelbagai dugaan seperti:

  • dibuang ke dalam perigi oleh abang2nya kerana perasaan hasad dengki

  • berpisah dari ayahnya Nabi Yaakub AS sehingga buta kedua2 mata Nabi Yaakub AS kerana menangis di atas kehilangan Nabi Yusuf AS

  • dibawa oleh pedagang2 dan dijual di Mesir

  • diuji dengan Zulaikha (isteri Al-Aziz, seorang gabenor Mesir) lalu dipenjara

  • dipenjara selama beberapa tahun sebelum dibebaskan oleh Raja Mesir

Namun akhirnya Allah SWT mengangkat darjat Nabi Yusuf AS menjadi pembesar iaitu Menteri Kewangan di Mesir. Begitu juga dengan adik-beradik Nabi Yusuf AS yang pada awalnya terpedaya dengan bisikan Iblis, tetapi akhirnya bertaubat dan kembali ke jalan yang benar. 


- Di bahagian awal surah Yusuf ini menceritakan kisah mimpi Nabi Yusuf AS yang melihat 11 bintang, matahari serta bulan yang mana kesemuanya tunduk memberi hormat kepadanya. Kemudian secara halusnya Allah SWT mengakhiri kisah ini di bahagian akhir surah Yusuf dengan mengaitkan mimpi2 tadi dengan perkara2 yang benar2 terjadi dalam hidup Nabi Yusuf AS. Nabi Yusuf AS juga diberikan kelebihan dalam ilmu tafsiran mimpi. 


- Surah Yusuf ini diturunkan sebagai motivasi kepada Nabi Muhammad SAW ketika Baginda berada di Mekah dan mendapat tentangan hebat dari orang2 kafir Quraisy. Dapat kita lihat persamaan kisah di antara 2 Nabi ini iaitu:

  • Orang2 kafir Quraisy berasa dengki dengan Nabi Muhammad SAW kerana mereka tidak mahu Baginda menjadi pemimpin masyarakat di Mekah dan khuatir lebih ramai lagi yang akan masuk Islam. Ujian yang Nabi Muhammad SAW hadapi itu lebih kurang sama kisahnya dengan adik-beradik Nabi Yusuf AS yang dengki melihat kelebihan yang ada pada Nabi Yusuf AS. 
 
  • Nabi Muhammad SAW juga diusir dan membawa diri ke Madinah manakala Nabi Yusuf AS juga diusir dari rumahnya dan dibawa ke Mesir.
 
  • Nabi Muhammad SAW ditawarkan beberapa wanita dan harta supaya dapat menghentikan dakwah Baginda. Begitu juga dengan Nabi Yusuf AS yang diuji dengan godaan dari Zulaikha, isteri Al-Aziz yang kaya-raya.  

 

- Surah Yusuf ini menekankan tema sabar, iman dan taqwa. Oleh itu, jika kita berasa tertekan dan gelisah, bacalah surah Yusuf agar kita mendapat kekuatan dan mengambil iktibar dengan apa yang terjadi pada Nabi Yusuf AS. 


- Kita tidak mampu mengubah takdir yang Allah SWT tentukan buat kita, tapi Allah SWT membuka peluang untuk kita MENGUBAH takdir yang dah ditetapkan. Maksudnya di sini, bila kita mengubah cara kita melihat takdir Allah SWT dengan positif, kita mampu mengubah keadaan kita. 

Sebagai contoh, kita ditakdirkan untuk diberhentikan kerja secara tiba2. Kita jadi tertekan dan hilang arah tuju. Kita rasa apa yang terjadi ini adalah kezaliman yang Allah SWT beri pada kita. Namun, jika kita tukar persepsi kezaliman itu kepada hikmah, kita sebenarnya ada 2 pilihan; 

  • sama ada nak terus rasa tertekan dan sedih sepanjang masa tanpa bangkit berjuang atau  
  • terus berusaha mencari kerja lain yang lebih baik dan lebih diberkati Allah SWT. 
Kedua2 pilihan ini sudahpun ada corak perjalanannya yang ditentukan oleh Allah SWT.  Jadi, kita mampu memilih jalan mana yang kita mahu dan Allah SWT yang menentukan sama ada kita berjaya ataupun tidak.

Jika Allah SWT izinkan kita berjaya, percayalah kita akan jadi manusia yang lebih baik, lebih bersyukur dan lebih kuat bila menghadapi ujian2 akan datang. Kita dapat merasakan manisnya kesabaran dan menghargai penat lelah kita dalam berusaha. Tapi ada kalanya bila kita memilih untuk berusaha namun Allah SWT takdirkan hidup kita masih lagi tak berjaya, usaha kita itu takkan dikira sia2 kerana Allah SWT tetap mengurniakan pahala atas usaha kita itu. Malah, ada hikmah di sebalik mengapa Allah SWT tidak mengizinkan kita untuk berjaya pada sekian2 masa. Mungkin dengan kejayaan itu akan membawa kita kepada kufur nikmat, sombong dan riak serta lain2 sifat mazmumah. Allah SWT itu Maha Penyayang lagi Maha Melindungi segala makhlukNya dan Dia tahu apa yang TERBAIK untuk hamba2Nya.

Kita tidak sedar ujian yang datang mungkin Allah SWT ingin menaikkan lagi potensi diri/kebolehan yang kita tidak sedar ada pada diri kita. Wallahualam. 

Kita harus menukar persepsi hidup dengan menjadikan setiap ujian itu adalah nikmat. Setiap derita itu adalah harapan. Setiap luka itu boleh berubah menjadi kegembiraan. Itulah lumrah hidup orang beriman yang bahagia dan yakin hidupnya sentiasa dibimbing oleh Allah SWT.


- Surah Ar-Ra'd yang bermaksud guruh membicarakan tentang kuasa Allah SWT. Kita tahu bunyi guruh sangat kuat berdentum2 namun hakikatnya ianya sedang berzikir kepada Allah SWT. Perkataan guruh ini membawa 2 erti:

  • Bunyi guruh yang kuat bisa menggerunkan/menakutkan hati kita
  • Dari bunyi guruh itu juga menjadi petanda bahawa hujan akan turun (khabar gembira) yang akan menyirami tanaman2 para petani

 

- Surah Ar-Ra'd juga berkisarkan tentang kebenaran dan kebatilan. Perkara kebenaran yang sekalipun pahit untuk ditelan tetapi bisa memberikan sumber kekuatan jiwa kepada mereka yang yakin terhadap kebenaran itu. Contohnya seperti kebenaran wahyu yang para Nabi sampaikan susah untuk diterima oleh kaum2nya kerana bertentangan dengan adat kebiasaan mereka.

Perkara kebatilan pula sebenarnya sumber yang melemahkan jiwa dan penuh dengan kepalsuan. Contohnya seperti:

  • maksiat yang berleluasa tapi dianggap biasa
  • peniaga yang menipu dalam hal timbangan berat dan harga barang dagangnya supaya dapat lebih banyak untung namun tiada keberkatan di dalam urusannya
  • orang2 zalim yang melampaui batas dengan menganiaya dan menyeksa orang lain demi memuaskan hawa nafsu
  • orang2 yang mempunyai pangkat tetapi merompak harta orang2 awam dengan menyalahgunakan kuasa dan jawatan yang dipegang
Mereka yang dalam kebatilan ini hanyalah mengejar keseronokan semata2 dan menganggap ianya akan kekal selamanya tetapi itu semua adalah tipu daya iblis/syaitan.


- Pada ayat 28 surah Ar-Ra'd, Allah SWT menjelaskan cara membersihkan hati kita ialah dengan selalu berzikir mengingatiNya. Berzikir membuatkan hati pastii menjadi tenang. Ketenangan hati ni tidak terhad kepada orang beriman saja, malah ada sebahagian orang2 kafir yang bila diperdengarkan dengan ayat2 Al-Quran, hati mereka juga berasa tenang. 


- Pada ayat 37 surah Ar-Ra'd pula, Allah SWT juga menekankan kepentingan Bahasa Arab kerana ianya merupakan bahasa Al-Quran. Kita harus belajar Bahasa Arab jika kita mahu memahami isi kandungan Al-Quran dengan lebih mendalam kerana setiap bait perkataan dalam ayat Al-Quran ada maksud2 tertentu. Sekalipun ianya melibatkan imbuhan ataupun pertambahan huruf, boleh membawa tafsiran yang berbeza. Begitulah Allah SWT yang Maha Teliti dalam segala hal.


- Surah Ibrahim dinamakan sempena nama bapa segala Nabi iaitu Nabi Ibrahim AS. Surah ini menekankan tentang Al-Quran bermula dari awalan surah dan juga pengakhiran surah Ibrahim. Al-Quran diturunkan bagi mengeluarkan manusia dari kegelapan dan menuju ke cahaya keimanan. 


- Terdapat doa2 yang disebut oleh Nabi Ibrahim AS di dalam surah Ibrahim ini yang boleh kita amalkan:

  • Doa berkaitan tentang iman dan akidah pada ayat 35
  • Doa berkaitan dengan solat pada ayat 37
  • Doa tentang Allah SWT yang Maha Mengetahui segala yang tersembunyi pada ayat 38


Kesimpulan bagi ketiga2 surah ini ialah Allah SWT mahu kita belajar tentang erti sabar, iman dan taqwa kepadaNya dalam apa jua keadaan sama ada diuji mahupun senang.

 

Alhamdulillah selesai sudah ringkasan nota Juzuk 13 ni. Nota ni agak lama mommy eez susun isinya dan berharap dapat memberi kefahaman bagi mereka yang masih mencari2 isi yang terkandung di dalam Al-Quran nur Kareem ni insha Allah.


Lavvv,

Mommy EEZ

www.kiddieoasis.com.my

Tadabbur Quran 30 Juzuk : Kompas Juzuk 12 oleh Dr. Azrul Azlan

Alhamdulillah hari ni kakak Raihan dah boleh discaj dari hospital. Cuma, Raihan ni masih lagi tak bermaya dan moody. Memang sangat2 mencabar kesabaran mommy eez tapi nak tak nak kena hadap juga perangai anak seorang ni. 

 

Mommy eez secara jujurnya rasa badan pun dah tak berapa best. Tapi kena kuatkan juga untuk anak2 ni. Wafa dah berapa hari terpaksa dicutikan sekolah buat sementara waktu sebab mommy dan abah memang tengah kabut sikit uruskan kakak Raihan. Semoga Allah SWT permudahkan urusan kami semua aaameeen.

 

Jom kita sambung nota Juzuk 12 plak kali ni.

 

RINGKASAN JUZUK 12

disampaikan oleh

Dr. Azrul Azlan dari Tadabbur Centre


 - Juzuk 12 ini mengandungi 2 surah:

  • Surah Hud (ayat 6-123)
  • Surah Yusuf (ayat 1-52)


- Surah Hud ini mendapat namanya kerana terdapat 5 kali perkataan 'Hud' disebutkan di dalam surah ini. Pada ayat 2 dan 123 surah ini, Allah SWT menyebutkan kepentingan beribadah kepadaNya. Perkataan ibadah di sini memberi manifestasi bahawa manusia diciptakan untuk beribadah kepada Allah SWT. Ini memberi perkaitan dengan ayat 4 surah Al-Fatihah yang membawa maksud 'kepada Engkau (Allah) kami sembah (beribadah) dan kepada Engkau kami meminta pertolongan'. Ini menunjukkan bahawa Allah SWT itu Maha Berkuasa dan Maha Sempurna manakala manusia sebagai hambaNya yang penuh dengan khilaf dan ketidaksempurnaan wajib beribadah kepadaNya.


- Dalam surah Hud ada menyatakan wasiat2 yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW buat para umatnya:

  • Wasiat tentang ISTIQAMAH
    • Istiqamah ini bertujuan untuk mengatasi hilangnya cita2 untuk kembali ke jalan yang benar menuju kepada Allah SWT.
    • Kita perlu ada sifat istiqamah dalam bersangka baik dengan Allah SWT kerana tidak kira apa jua cabaran dan kesukaran hidup yang telah ditentukan oleh Allah SWT, kita haruslah sentiasa bersangka baik
    • Istiqamah juga membantu kita untuk terus memperbaiki diri dengan menjadi orang yang lebih baik pada saban waktu.
  • Wasiat tentang SIKAP TIDAK MELAMPAUI BATAS
    • Sikap yang tidak melampaui batas ialah dengan tidak melakukan kezaliman sesama makhluk termasuk diri sendiri. Perkataan zalim ini merujuk kepada perlakuan dosa oleh seseorang yang tidak mahu mengikut perintah Allah SWT. Sebagai contoh, kita perlu bertegas dalam sesuatu perkara dan menggunakan sikap tegas ini pada cara dan tempat yang betul. Jika terlampau tegas ditakuti akan mengakibatkan perlakuan zalim ke atas manusia lain.
  •  Wasiat tentang MENJAGA SOLAT
    • Pada ayat 114 surah Hud ada disebutkan tentang menjaga solat. Dirikanlah solat pada 2 bahagian iaitu waktu siang (pagi dan petang) dan waktu2 yang menghampiri malam. 
    • Solat ini mampu untuk membantu kita menghapuskan segala kejahatan sama ada dari luar dan dalam diri kita.
  • Wasiat tentang SABAR
    • Kita perlu bersabar dalam membuat perkara2 kebaikan. Ini kerana pada ayat 115 surah Hud ada menyatakan bahawa, "Bersabarlah, Allah SWT tidak akan menghilangkan ganjaran pahala bagi orang2 yang melakukan kebaikan".

 

- Surah Yusuf merupakan surah yang ramai umum ketahui tentang kisah Nabi Yusuf AS dan adik-beradiknya tanpa ada kisah nabi2 yang lain. Allah SWT menyebutkan kisah Nabi Yusuf AS ini ialah kisah yang terbaik kerana terdapat pengajaran bagi orang2 yang berfikir.

 

- 3 fakta menarik tentang Surah Yusuf:

  • merupakan surah yang ke-12 dalam Al-Quran
  • berada dalam juzuk ke-12
  • terkait dengan jumlah bilangan anak2 Nabi Yaakub AS yang juga mempunyai 12 orang iaitu adik-beradik Nabi Yusuf AS termasuk dirinya.

 

-  Apakah perkaitan surah Hud dan surah Yusuf?

  • Surah Hud menceritakan tentang Nabi Ibrahim AS manakala surah Yusuf menceritakan kisah cucu2 Nabi Ibrahim AS
 
  • Surah Hud menceritakan tentang Nabi Nuh AS dan anaknya, manakala surah Yusuf menceritakan tentang Nabi Yaakub AS dan juga anaknya.
    • Anak Nabi Nuh AS menzalimi dirinya sendiri dengan mengingkari arahan ayahnya untuk naik ke atas kapal bagi menyelamatkan diri dari banjir besar. Disebabkan kedegilannya itu, anak Nabi Nuh AS membawa diri ke puncak gunung. Lalu Allah SWT menimpakan azab ke atas anak Nabi Nuh AS. 
    • Anak2 Nabi Yaakub AS pula telah mencampakkan adik mereka Nabi Yusuf AS ke dalam perigi lalu Allah SWT menyelamatkan Nabi Yusuf AS dan membawanya ke Mesir.
 
  • Kedua2 surah ini mengajarkan erti kesabaran dan membicarakan tentang solusi kehidupan supaya kita selalu bergantung harap hanya kepada Allah SWT dalam menghadapi pelbagai ujian hidup ini.

 

- Kesimpulannya, kita harus mengambil iktibar dan pengajaran dalam setiap kisah yang dipaparkan di dalam Al-Quran. Jangan jadi seperti Abu Lahab yang sememangnya sedia tahu tentang kisah Firaun yang diazab oleh Allah SWT tapi masih tidak mahu mengambil teladan dari kisah tersebut. Akhirnya, dia mengulangi kesilapan yang dilakukan oleh Firaun dan dilaknat oleh Allah SWT seperti yang dirakamkan dalam surah Al-Masad.

 

Alhamdulillah sekian saja ringkasan nota untuk Juzuk 12. Selamat menghadam dan mendapat manfaat walaupun secebis insha Allah.

 

Lavvv,

Mommy EEZ

www.kiddieoasis.com.my 

Tadabbur Quran 30 Juzuk : Kompas Juzuk 11 oleh Ustaz Hafizul Faiz

Mommy eez sedang melalui hari2 yang agak mencabar beberapa hari ni. Tulis post ni pun dari dalam wad hospital, menemani kakak Raihan yang dimasukkan ke wad malam tadi disebabkan demam panas yang tinggi. Lepas ambil darah semalam, doktor sahkan Raihan kena Influenza A.

 

Ini dah kali ke-2 dia kena Influenza A. Pertama kali semasa umur Raihan 5 tahun dan mommy eez masa tu tengah sarat mengandung adik Wafa. Masa tu, boleh dikatakan Influenza A ni sangat merbahaya dan boleh membawa maut. Sekarang ni, dah dikira macam demam panas dan selsema biasa saja. Tapi Raihan tak ada selsema pun hanya batuk sikit dan sakit tekak. Agak sengsara juga lah bila terkena Influenza A ni sebab suhu badan masih lagi tinggi walaupun dah makan ubat panadol. Buat hilang selera makan dan badan jadi sangat2 letih. Petang semalam Raihan dah mula muntah2 dan tak boleh nak makan langsung. Akhirnya, kitorang pun surrender dan terus bawa dia ke hospital.


Semoga para pembaca dapat mendoakan kesembuhan anak mommy eez, Wan Nur Raihan dan dapat kembali berpuasa dan kembali ke sekolah seperti biasa. Aaameeen.

 

Sorry, intro panjang plak kali ni. Walaupun dalam fikiran serabut dan hati tak berapa tenang sekalipun, mommy eez tetap akan teruskan nota tadabbur Al-Quran untuk Juzuk 11 ni insha Allah. Jika ada kesilapan, harap dapat tegur ya.


RINGKASAN JUZUK 11

disampaikan oleh

Ustaz Hafizul Faiz dari Tadabbur Centre


 

- sedikit ulangkaji dari surah2 sebelum ini; dipetik dari ayat 180, surah Al-Baqarah ada menerangkan tentang objektif berpuasa. Terdapat hadith yang mengatakan bulan Ramadan adalah bulan melatih kesabaran. Maka, kita harus jadikan bulan puasa ni sebagai bulan penuh ibadah dengan:

  • berdialog dengan Allah SWT di malam hari dan menilai dosa2 yang telah lalu
  • lebih fokus kepada kualiti ibadah berbanding kuantiti
  • mengisi rohani (spiritual) kita dengan mentadabbur Al-Quran
  • elakkan diri dari bercakap perkara2 yang membawa kepada fitnah dan lagha (yang melekakan)
  • mencari jalan untuk bertaubat kepada Allah SWT dengan hati yang jujur dan ikhlas  

 

Pada bulan ini juga, selalunya berlaku fasa pertama untuk kita merubah diri menjadi yang lebih baik. Kita haruslah istiqamah (consistent) dalam taubat yang kita buat dan meletakkan diri kita di kalangan kawan2 yang positif dan disiplin. Pada awalnya mungkin taubat yang kita lakukan belum terkesan di hati. Namun, jika dilakukan berterusan, Allah SWT akan menerima ibadah taubat kita insha Allah.

 

- Juzuk 11 ini mengandungi 3 surah iaitu:

  • Surah At-Taubah (ayat 94-129)
  • Surah Yunus (ayat 1-109)
  • Surah Hud (ayat 1-5)

 

- Pada juzuk 11 ini, ada diutarakan konsep bertaubat dalam Islam yang dipaparkan di pengakhiran surah At-Taubah. Taubat dalam Islam sangat mudah berbanding dengan agama lain. Contoh seperti dalam agama Kristian mahupun Yahudi, mereka memerlukan paderi/rabi untuk bertaubat. Maksudnya di sini, mereka memerlukan orang tengah untuk melakukan taubat. 

Agama Islam menekankan kita untuk meminta taubat secara terus (tanpa pengantara) kepada Allah SWT. Kita hanya perlu melakukan solat taubat, berdoa/mengadu bersungguh2 serta menyerah diri sepenuhnya kepada Allah SWT.

 

- Hadith Riwayat Al-Bukhari ada menceritakan bahawa ada seorang hamba yang sudah bertaubat tetapi masih lagi mengulangi dosa yang sama walaupun dosa yang besar, tetaplah Allah SWT masih mengampunkan hambaNya itu kerana Allah SWT itu Maha Pengampun. 

Dari hadith di atas, kita boleh refleksi diri kita di mana sekalipun kesalahan yang sama berulangkali dilakukan, mintalah keampunan kepada Allah SWT tanpa jemu. Taubat yang dilakukan mestilah jujur dan ikhlas kerana Allah SWT Maha Mengetahui segala isi hati kita. 

Kita perlu sedar bahawa Allah SWT mampu untuk berbuat apa saja kepada hamba2Nya sama ada mahu menghukum kita atau memberi kita pengajaran dalam apa jua keadaan. Jika kita rasa Allah SWT tidak menghukum kita atas dosa2 yang kita lakukan, itu dikira nikmat dari Allah SWT yang Maha Penyayang namun, janganlah kita ambil enteng perkara ini. Kita harus meneruskan jihad melawan hawa nafsu dalam perkara yang melibatkan dosa.

 

- Terdapat kisah tentang Masjid Al-Dhirar yang dipaparkan di dalam surah At-Taubah. Kisah ini menunjukkan pembinaan sebuah masjid bukan berdasarkan agama tetapi berdasarkan politik bagi mengumpul pengikut. Nabi Muhammad SAW dilarang melakukan solat di dalam masjid tersebut.

Pengajaran dari kisah ini ialah tak semestinya banyak masjid di sesuatu kawasan mewakili tingginya kepercayaan agama penduduk2 di situ. Tetapi ianya lebih kepada bagaimana penduduk2 mengimarahkan masjid dan patuhnya mereka melakukan ibadah sebagai seorang muslim beragama Islam.

 

- Di bahagian awal surah Yunus mengisahkan tentang kehebatan kisah kaum Nabi Yunus AS iaitu satu2nya kaum yang dulunya beriman sebelum diturunkan azab ke atas mereka oleh Allah SWT. 


- Surah Yunus ada menceritakan kisah 2 nabi iaitu Nabi Musa AS dan Nabi Nuh AS di mana kisah2 ini diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW semasa peristiwa Thaif. Peristiwa ini berlaku semasa Nabi Muhammad SAW dibuang oleh penduduk Thaif kerana Baginda menyampaikan kebenaran wahyu kepada mereka.

Dalam kedua2 kisah itu, Allah SWT menegaskan kepada Nabi Musa AS dan Nabi Nuh AS supaya terus berdakwah dan bersikap tegas dalam berhadapan dengan kaum2 mereka yang enggan beriman. Malah, Allah SWT melarang mengambil apa2 tawaran dari kaum2 mereka semasa mereka menyebarkan dakwah.


Sekian saja nota ringkasan Juzuk 11 ini. Harapnya bermanfaat buat semua 💓


Lavvv,

Mommy EEZ

www.kiddieoasis.com.my

Popular Posts