Assalamualaikum semua...
Setelah 4 bulan lebih menyepi kali ni mommy eez kembali lagi! Baru2 ni mommy eez ternampak satu post dari Ustaz Abdullah Khairi (UAK) tentang penemuan SUARA DARI PERUT BUMI. Perghhh bila dengar audio ni memang tak boleh tidur malam. Horror tahap melampau. Menurut UAK, suara tu adalah hasil kajian daripada para saintis dari Russia untuk mengetahui bunyi di bahagian dalam bumi, tapi dengan kuasa Allah SWT, terhasillah suatu bunyi yang sangat sangat sangat menggerunkan. Kalau nak tengok lebih lanjut boleh tekan link ni:
JANGAN TENGOK KALAU HATI TAK KENTAL!
Lepas tengok video tu mommy eez pun nekad untuk sambung tulis pasal Tadabbur Quran Juzuk 4... hahaha~~~ padan muka sendiri! Insaffffff terusssss!
Sekalipun suara dari video tu kita tak tahu sama ada sahih atau tidak, hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui. Bagi mommy eez, cukup untuk mengingatkan kembali destinasi akhir kita semua jika hidup ni tak dapat petunjuk/pimpinan dari Allah SWT.
Hokey sebelum kita mula, mommy eez dengan rendah diri meminta para pembaca untuk bacakan surah Al-Fatihah buat kedua2 kesayangan mommy eez, arwah Ayah dan juga arwah Along yang telah meninggal dunia pada 2 tahun lepas (2020). Semoga segala manfaat dan pahala dari post ni sampai kepada mereka berdua insha Allah. Ameeen!
Mari kita mulakan dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...
RINGKASAN JUZUK 4
disampaikan oleh
Ustaz Syaari Abdul Rahman (Tadabbur Centre)
- Juzuk 4 menceritakan bahagian akhir surah Ali-Imran (bermula pada ayat 92) iaitu tentang Peperangan Uhud sehingga ke bahagian awal surah An-Nisa' (ayat 1-23).
- Permulaan surah Ali-Imran mengisahkan tentang keluarga Ali-Imran, iaitu keluarga ibu Nabi Isa A.S, Maryam. Ibu kepada Maryam menginginkan anak lelaki, namun Allah SWT mengujinya dengan mengurniakan anak perempuan. Lalu ibu Maryam menyangka, ianya bukanlah satu perkara yang baik. Namun, Allah SWT memujuknya dengan memberitahu bahawa anak perempuan yang dilahirkan itu bakal menjadi perempuan terbaik di dunia kerana anak perempuan tersebut ialah Maryam, ibu kepada Nabi Isa A.S. Moralnya di sini, Allah SWT mahu kita bersabar dalam menerima segala ketentuan yang telah ditakdirkan olehNya kerana hanya Dia yang mengetahui segala yang terbaik buat kita hambaNya.
- Di penghujung surah Ali-Imran ialah mengenai kisah Peperangan Uhud. Kisah ini merupakan kesinambungan dari surah Al-Baqarah tentang pertembungan antara orang beriman dan orang kafir. Di akhir surah Al-Baqarah ini, orang beriman berdoa supaya diberikan kemenangan dalam peperangan ke atas orang kafir.
- Di dalam surah Ali-Imran juga, ada menceritakan punca kekalahan orang-orang Quraisy dan juga punca kemenangan kaum muslimin dalam Peperangan Badar.
- Walaupun kaum muslimin menang pada peringkat awal semasa Peperangan Uhud, namun mereka kalah pada peringkat kedua. Allah SWT menerangkan punca kekalahan orang muslimin pada ketika itu merupakan satu kebaikan/pengajaran yang positif. Ada 3 pihak yang dipuji oleh Allah SWT di bahagian akhir surah Ali-Imran ini:
- Para sahabat Nabi Muhammad SAW
- Allah SWT memuji para sahabat pada ayat 172 surah Ali-Imran kerana menunjukkan keberanian yang menakjubkan walaupun mereka luka parah semasa Peperangan Uhud, namun mereka tidak berputus asa untuk kembali berperang apabila diarahkan oleh Rasulullah SAW semasa peristiwa Hamra al-Asad.
(Klik link ini untuk penjelasan tentang peristiwa Hamra al-Asad)
- Kumpulan pemanah di atas bukit Uhud yang melakukan kesilapan terlanjur turun dari bukit bagi mengambil harta rampasan perang
- Allah SWT memuliakan mereka kerana mereka bertaubat seperti yang diterangkan di dalam ayat 135 surah Ali-Imran. Mereka merupakan penghuni syurga.
- Mereka yang syahid
- Dinyatakan pada ayat 169 surah Ali-Imran, Allah SWT memperbetulkan fikiran para sahabat tentang orang2 yang mati syahid bahawa para syuhada' akan mendapat balasan syurga dan kemuliaan di sisi Allah SWT. Semasa Peperangan Uhud, Hamzah (bapa saudara Rasulullah SAW) dan Mus'ab bin Umayyah telah mati syahid.
- Surah Ali-Imran ini dimulai dan diakhiri dengan ulil-albab / ulul-albab (orang yang berakal). Perkataan ulul-albab ini disebutkan oleh Allah SWT sebanyak 16 kali di dalam Al-Quran. Hakikat ulul-albab ini adalah orang yang menggunakan akalnya untuk mengenal siapa Allah SWT, bagaimana keagunganNya, bagaimana kebijaksanaanNya, keadilanNya dengan melihat ayat-ayat Allah SWT. Baik ayat kauniyah (ciptaanNya) mahupun Syar'iyah (hukum Allah SWT), sehingga orang yang berakal ini semakin tunduk dan taat kepada Allah SWT.
(Makna Ulul-Albab dalam Al-Quran)
- Pada ayat 200 surah Ali-Imran ada menghuraikan ayat 5 dalam surah Al-Baqarah iaitu keberuntungan orang2 yang beriman kepada Allah SWT.
- Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, "Barangsiapa yang bersahabat dan membaca 2 surah ini (surah Al-Baqarah dan surah Ali-Imran) dengan penuh penghayatan, akan mendapat 2 kawanan burung dan 2 gumpalan awan di Padang Mahsyar kelak".
2 surah ini dipanggil surah Az-Zahrawain yang apabila dibaca akan mendapat syafaat di Padang Mahsyar nanti. Imam Ahmad meriwayatkan dari Abu Umamah, dia berkata;
"Bacalah Al-Quran, kerana ianya akan menjadi syafaat bagi ahlinya pada Hari Kebangkitan. Bacalah kamu az-Zahrawain (dua cahaya), Al-Baqarah dan Ali-Imran, maka kerana sesungguhnya ia mendatangi pada Hari Kiamat seumpama keduanya itu seperti dua awan, dua lindungan atau dua garisan kawanan burung dan akan berhujah ke atas ahlinya pada Hari Kiamat".
Ada juga yang menyebutkan sebagai "az-Zahrawaani" (dua yang cemerlang) kerana kedua-dua surah itu menyingkapkan hal-hal yang disembunyikan oleh para Ahli Kitab, seperti kejadian dan kelahiran Nabi Isa A.S., kedatangan Nabi Muhammad SAW dan sebagainya.
Wallahualam.
Sekian, itu saja ringkasan nota yang mommy eez dapat dari video berdurasi 11:01 minit ini. Jika ada sebarang kesalahan dan pernyataan yang perlu diperbetulkan sila drop di bahagian komen ya.
Sehingga berjumpa lagi di post yang akan datang. Insha Allah.
Lavvv,
Mommy EEZ
No comments:
Post a Comment