Tadabbur Quran 30 Juzuk : Kompas Juzuk 1 oleh Ustaz Syaari Abdul Rahman

 Assalamualaikum semua...


Dah terlambat sangat sebenarnya mommy eez nak up post ni. Dah niat dari awal sebelum Ramadhan tahun ni nak buat sinopsis untuk setiap juzuk dalam Al-Quran berdasarkan video2 dari Tadabbur Centre (walaupun nota my Quran Time pun terkedek2 nak buat 😅 ) Tapi sebab terlampau busy dan planning tak berapa nak menjadi, maka baru sekarang nak buat. Rangka semua dah siap tinggal nak bagi cantik dan post dekat sini je. Semoga menjadi asbab saham akhirat mommy eez dan juga pahala yang berterusan buat arwah Ayah dan arwah Along insha Allah. Mommy eez minta jasa baik anda semua untuk tolong doakan dan bacakan surah Al-Fatihah buat mereka berdua ye. Terima kasih.


Tanpa membebel lebih panjang, jom kita baca ringkasan apa yang ada dalam Juzuk 1 Al-Quran.


RINGKASAN JUZUK 1

disampaikan oleh

Ustaz Syaari Abdul Rahman (Tadabbur Centre)



- Secara keseluruhan, juzuk 1 ini menerangkan tentang adab2 dalam mencari hidayah Allah SWT dan adab2 sebelum membaca Al-Quran. Merangkumi 2 surah iaitu

    i. Surah Al-Fatihah dan 

    ii. Surah Al-Baqarah.


- Juzuk 1 ini dimulai dengan Surah Al-Fatihah iaitu surah pembukaan yang menjadi teras dalam 113 baki surah dalam Al-Quran. Surah Al-Fatihah ini juga dipanggil Ummul-Quran (ibu kepada Al-Quran) dan juga disebut sebagai Sab'ul Mathani yang mempunyai 7 ayat yang diulang2 bacaannya di dalam solat. Tidak sah solat seseorang itu jika tidak membaca Surah Al-Fatihah ini.


- Surah Al-Fatihah menerangkan adab untuk mendapatkan petunjuk/hidayah dari Allah SWT di mana surah ini terbahagi kepada 2 bahagian:

  • Bahagian pertama bermula dari ayat 1 sehingga separuh dari ayat 4 menerangkan tentang puji2an kepada Allah SWT;
  • Bahagian kedua yang dimulai dari sebahagian akhir ayat 4 sehingga ayat 7 menerangkan tentang kelemahan hamba2nya yang bergantung sepenuhnya kepada Allah SWT dengan meminta pertolongan/kekuatan dari Allah SWT dan juga memohon diberi petunjuk yang benar dalam hidup ini iaitu melalui Al-Quran.

- Rumusan Surah Al-Fatihah:
  • Membicarakan tentang siapakah Allah SWT yang Maha Terpuji. Surah ini dimulakan dengan nama Allah SWT supaya dalam setiap aktiviti harian kita dimulakan dengan namaNya. Ini merupakan aqidah dan pasak bagi seseorang muslim. (TAUHID - MengEsakan Allah SWT)
  • Menerangkan sifat2 Allah SWT yang Ar-Rahman (Maha Mengasihani) dan Ar-Rahim (Maha Penyayang). Dengan sifat2 Allah SWT ini, kita akan merenung dan berfikir tentang kejadian alam di sekeliling kita, betapa Allah SWT telah menundukkan sebahagian makhluknya yang lain supaya berbakti kepada manusia seperti haiwan dan tumbuh2an. Hanya manusia yang benar2 berfikir pasti akan tunduk dengan kekuasaan dan keagungan Allah SWT. (KAUNIYYAH - Tentang ciptaan alam)
  • Allah SWT ingin memberitahu adanya syurga dan neraka di hari pembalasan nanti. (AKHIRAT)
  • Al-Quran menerangkan cara ibadah yang betul kepada Allah SWT (IBADAH)
  • Memohon cara hidup yang betul dan lurus menuju ke syurga di mana syariah Islam telah diatur berdasarkan Al-Quran (SYARIAH)
  • Memberi motivasi dari kisah orang2 yang Allah SWT telah berikan nikmat ke atas mereka kerana patuh dan beriman kepada Allah SWT dan rasulnya. (TARGHIB - motivasi dan galakan yang positif)
  • Memberi pengajaran dari kisah orang2 kafir yang telah Allah berikan hukuman seperti di dalam kisah Firaun (TARHIB - menggentarkan dan memberi ancaman)

- Selepas Surah Al-Fatihah disambung pula dengan surah ke-2 iaitu Surah Al-Baqarah (Lembu Betina) yang diakhiri sehingga ayat 141 untuk Juzuk 1. Surah Al-Baqarah merupakan surah yang terpanjang di dalam Al-Quran iaitu sebanyak 286 ayat (Ayat Madaniyyah).


- Rumusan Surah Al-Baqarah:
  • Menceritakan tentang pertembungan antara orang2 yang dikurniakan nikmat oleh Allah SWT (orang2 muslimin) dengan orang2 yang sesat dan orang2 yang Allah SWT murka (orang2 musyrikin Mekah dan ahlul-bait/penduduk di Madinah)
  • Dalam 5 ayat pertama menerangkan tentang kualiti orang yang diberi nikmat oleh Allah SWT iaitu orang2 beriman
  • Ayat 6 hingga 7 menceritakan tentang orang kafir
  • Ayat 8 dan seterusnya menceritakan tentang perihal orang2 munafik yang mengaku beriman tapi sebenarnya mereka kafir
  • Menceritakan golongan yang diberikan al-kitab, tetapi masih lagi tidak mahu beriman kepada Nabi Musa A.S.
  • Menerangkan tentang kerenah Bani Israel terhadap Nabi Musa A.S. di mana mereka tidak beriman, tidak berlapang dada, tidak taat kepada perintah Nabi Musa A.S. dan lain2.

- Terdapat 3 kisah utama dalam Juzuk 1 ini iaitu:
  • Kisah pertama - tentang pertembungan antara orang2 yang beriman kepada Allah SWT bermula dari zaman Nabi Adam A.S. dengan orang/makhluk kafir (ingkar) kepada Allah SWT seperti Iblis/syaitan (kaum kerabat Iblis). Nabi Adam A.S. ialah simbolik kepada mereka yang mentaati Allah SWT, yang diberi nikmat serta disambung dengan keturunan Nabi Musa A.S. yang diberikan kitab Taurat untuk mendidik generasinya yang sangat mencabar ketika itu iaitu Bani Israel. Ada di kalangan Bani Israel ini secara zahirnya ialah muslim tetapi hati mereka ada kekufuran disebabkan sudah terlalu lama dijajahi oleh Firaun. Mereka juga tidak bersyukur dengan kurniaan Allah SWT seperti manna dan salwa, awan yang memayungi mereka sepanjang perjalanan dan juga nikmat pembebasaan daripada ditindas oleh Firaun
  • Kisah kedua - Iblis menyimpan dendam kesumatnya bermula dari generasi manusia pertama iaitu Nabi Adam A.S. sehinggalah ke Nabi Musa A.S. dan seterus2nya. Syaitan berjaya membenihkan kekufuran ini sehingga mempengaruhi Bani Israel. Kemuncaknya disambung oleh orang Yahudi di Madinah yang melawan para rasul dan terus-menerus melakukan amalan nenek moyang mereka yang jauh dari agama Islam. Ada juga kisah tentang Harut dan Marut (malaikat) yang dihantar oleh Allah SWT untuk menguji Bani Israel namun mereka gagal kerana ilmu sihir yang diajarkan kepada mereka itu disalahgunakan untuk tujuan kepentingan mereka sendiri lalu meninggalkan ajaran Nabi Musa A.S.
  • Kisah ketiga - Pengalihan arah kiblat dari Baitulmaqdis kepada Kaabah di Mekah. Ianya juga menceritakan tentang Nabi Ibrahim A.S. yang membina semula Kaabah setelah musnah akibat banjir besar pada zaman Nabi Nuh A.S. Nabi Ibrahim juga merupakan seorang Nabi yang sangat taat kerana beliau lulus dalam semua ujian ketaatan kepada Allah SWT dan langsung tidak terpengaruh dengan pujukan dari syaitan. Beliau tidak pernah menyoal apa saja suruhan Allah SWT sekalipun terpaksa mengorbankan anaknya, Nabi Ismail A.S.


Sikap Bani Israel yang diceritakan di dalam Al-Quran ini sepatutnya dijadikan teladan buat kita semua. Sekalipun peristiwa2 tersebut berlaku pada zaman beribu tahun dahulu, namun sikap Bani Israel pada zaman itu, masih lagi diulangi oleh kita pada zaman sekarang.


Alhamdulillah, itu saja ringkasan yang mommy eez dapat. Jika ada salah silap dalam nota ringkasan ni, mohon highlight di ruangan komen ye. Sehingga berjumpa lagi.


Assalamualaikum.


Lavvv,

Mommy EEZ

www.kiddieoasis.com.my

No comments:

Post a Comment

Popular Posts