My #QuranTime 1.0 : Halaman 5 Surah Al-Baqarah Ayat 25-29

Post pertama untuk Tahun 2021...
..........
.....
..

Mommy eez tak tahu nak mulakan macam mana. Lepas Along pergi tinggalkan kami, Ayah mommy eez pula menyusul dijemput Ilahi pada 27 September tahun lepas. Perit kehilangan Along belum habis lagi, tapi Allah SWT uji dengan kehilangan Ayah pula. Tahun 2020 memang UJIAN yang SANGAT BESAR buat mommy eez dan famili.
 
 
Birthday Ayah pada 6 Januari yang lepas pun sangat2 terasa. Mommy eez terbayangkan macam mana kami nak sambut eidulfitri tahun ni. Sekali 2 orang dah tak ada. Famili mommy eez bukannya ramai sangat pun. Namun, apa yang terjadi ni semuanya ketentuan Allah SWT. Mommy eez kena redha. Semoga pembukaan Tahun 2021 ni membawa rahmat kebaikan buat kita semua insha Allah (tidak kira sama ada perkara baik atau buruk, semuanya atas izin Allah SWT dan ada hikmah di sebaliknya).


Niat nak sambung buat nota My Quran Time Halaman 5 Surah Al-Baqarah kenalah diteruskan. Sebelum ni niat pahala belajar My Quran Time ni nak bagi pada Along je, tapi sekarang nak niat untuk diberi pada Ayah juga. Semoga dapat membantu mereka serba sikit di alam sana dan juga sebagai tanda kasih sayang mommy eez buat mereka berdua. So, mommy eez tak nak merepek panjang2. Perkara yang lepas jangan dikenang. Setakat kenang kejap2 bolehlah takut nanti banjir pula depan laptop ni.
 
 
Seperti biasa mommy eez akan minta jasa baik semua pembaca untuk bacakan Surah Al-Fatihah buat Along dan Ayah mommy eez. Semoga Allah SWT jaga mereka di sana dan ditempatkan di kalangan orang2 yang soleh. Aaaaminn.

Jom, kita start.
 
Episod 7 ini disampaikan oleh:
Ustaz Fazrul Ismail
Ustaz Ahmad Tirmizi Hj. Ali


- Al-Baqarah membawa maksud 'Lembu Betina' di mana kita akan bertemu dengan kisahnya pada ayat 60 dan ke atas.
 
 
- Sinopsis bagi Surah Al-Baqarah ayat 25-29:


- Surah ini menceritakan tentang umat terdahulu yang pernah dilantik menjadi pemimpin dunia, tetapi mereka tidak mematuhi apa yang telah ditetapkan di dalam Al-Quran. Lalu, Allah SWT menggantikan mereka dengan umat yang lain. Semoga kita semua dapat menjadi pemimpin dunia yang dipilih oleh Allah SWT berdasarkan hidayah yang Allah SWT kurniakan kepada kita insha Allah. Aaaminnn.
 
 
- Ayat 25



Allah SWT menyampaikan khabar gembira kepada semua orang yang beriman (termasuk mereka yang munafiq ataupun yang benar2 beriman dan beramal soleh). Allah SWT menggunakan perkataanوَبَشِّرِ iaitu seruan khabar gembira buat Nabi Muhammad SAW supaya seruan ini sampai kepada orang yang benar2 mengikut ajaran Nabi Muhammad SAW (menerima/mengaku Rasulullah sebagai utusan Allah SWT yang benar dan terakhir).
 
Tidak seperti Bani Israel yang hanya mahu menerima Nabi dari keturunan mereka saja seperti Nabi Musa A.S.
 
Seruan khabar gembira ini meliputi semua orang yang beriman tidak kira sama ada mereka munafik/sangat2 lemah atau kuat iman dan juga mereka yang beriman dan beramal soleh. Contoh orang yang munafik seperti Abdullah bin Ubay yang mengaku dirinya beriman tapi tak tunaikan solat kerana orang tak nampak. Berbeza dengan kedudukannya dengan orang yang beriman dan beramal soleh ini di mana tahap mereka lebih tinggi disebabkan tahap taqwa mereka dan mengamalkan apa yang mereka percaya.
 
Allah SWT menyebutkan ganjaran bagi orang2 yang beriman dan beramal soleh ini ialah Syurga (Jannati - kebun/taman) yang di bawahnya ada sungai2 yang mengalir. Allah SWT selalu menggambarkan syurga itu beserta dengan sungai kerana air itu melambangkan kedamaian dan kekayaan. Contoh macam bila kita tengok ada rumah orang yang lengkap ada kolam renang, mesti kita fikir yang tuan rumah ini seorang yang kaya. Betul tak? Allah SWT nak beritahu pada kita betapa EKSKLUSIF nya tempat tinggal di Syurga kelak dan menjadi tempat tinggal selama-lamanya untuk mereka.
 
Selain sungai, Allah SWT mengatakan orang2 yang beriman dan beramal soleh ini diberikan rezeki buah2an seperti mana yang pernah mereka dapat di dunia dulu. Tapi mestilah rasanya beribu2 kali ganda sedap kan. Tambah pula, makan di Syurga itu bukan makan disebabkan lapar tapi hanya untuk suka2. Umpama kita nak makan buah durian yang isinya sedap dan lemak berkrim tu. Ianya lebih kepada untuk menghiburkan diri daripada mengisi perut yang lapar.
 
Penghuni di Syurga juga akan mendapat pasangan2 dan isteri yang suci, handsome, cantik selama2nya di sana. Jadi, kalau kita sayangkan pasangan kita, kita kena pastikan pasangan kita pun sama2 beriman dan mengerjakan amal soleh supaya dapat berjumpa semula di Syurga nanti.
 
 
- Ayat 26



Allah SWT membuat perumpamaan supaya manusia berfikir. Allah SWT tak kisah pun nak buat perbandingan dengan apa saja. Contoh seperti nyamuk (makhluk yang kecil, kotor dan hisap darah) yang mampu menumbangkan Raja Namrud pada zaman Nabi Ibrahim dulu. Malah pada masa sekarang, Allah SWT menjadikan sekecil2 virus COVID-19 (jauh lebih kecil dari nyamuk) mampu untuk menumbangkan ekonomi China, US dan lain2 negara besar dunia.
 
Bagi orang yang benar2 beriman, mereka akan mengambil iktibar daripada musibah ini dan berusaha untuk menjadi lebih dekat dengan Allah SWT. Sekalipun mereka faham atau tidak perumpamaan yang Allah SWT berikan ini, mereka tetap yakin dengan perumpamaan/kebenaran yang ada di dalam Al-Quran untuk dijadikan sebagai pelajaran buat mereka.
 
Bagi orang yang kufur, mereka mempersoalkan perumpamaan yang Allah SWT sampaikan. Mereka tidak faham dan tidak mahu mengambil pelajaran dari perumpamaan tersebut. Orang yang kufur ini sesat sehingga mereka melakukan kerosakan di atas muka bumi ini. Kerosakan yang dimaksudkan contoh seperti peperangan, mengaut hasil bumi dengan berlebihan, mencemarkan alam sekitar dan sebagainya.
 
 
- Perkataan pilihan dari halaman ini ialah:


Maksud asal بَشِّرِ (bashara) ialah kulit luar. Ini juga ada kaitan dengan perkataan 'bashar' (manusia) dan 'bashir' (khabar gembira). Allah SWT memberi khabar gembira dalam bentuk fizikal. Kaitannya dengan kulit luar ialah, apabila kita mendapat satu berita gembira, lapisan kulit kita akan terbuka (meremang). Badan kita akan merembeskan hormon dopamine dan serotonine yang menjadikan kita rasa seronok dan gembira.

 
 
Ayat 27

Allah SWT menceritakan tentang orang2 yang fasiq. Orang yang fasiq tidak mahu menyerahkan hatinya kepada Allah SWT atau dengan kata lain, derhaka kepada Allah SWT. 

Ciri2 orang yang fasiq ialah:

1. Melanggar perjanjian berat yang telah dibuat depan Allah SWT di mana perjanjian itu ialah untuk taat kepada Allah SWT. Semua manusia sudah pun bersumpah semasa di alam roh bahawa Allah SWT ialah Tuhan yang satu namun manusia tidak dapat mengingati perjanjian itu (dinyatakan dalam Surah Al-A'raf ayat 172)

2. Mereka memutuskan syariat Nabi/silaturahim sesama manusia yang sepatutnya dihubungkan. Contoh seperti orang Yahudi sepatutnya menyambung apa yang dibawa oleh Nabi Musa A.S. , namun disebabkan sikap hasad dengki, mereka menutup/menyembunyikan kebenaran yang ada di dalam kitab Taurat. Mereka bersifat demikian kerana tidak dapat menerima Nabi Muhammad SAW yang berketurunan Arab dipilih menjadi Rasul terakhir oleh Allah SWT.
 
3. Mereka membuat kerosakan di muka bumi. Contohnya seperti peperangan, pencemaran alam sekitar dan lain-lain lagi.
 
Orang yang fasiq ini dikira sebagai 'TOTAL LOSS' iaitu orang yang benar2 rugi di sisi Allah SWT. Maksudnya di sini, orang yang fasiq akan kekal rugi dari dunia sehinggalah di akhirat kelak.
 
 
- Ayat 28


Allah SWT menerangkan ada
2 kali mati dan 2 kali hidup dalam kitaran hidup manusia:

1. Bermula dengan tiada/mati semasa di alam roh
2. Kemudian ada/hidup semasa dilahirkan ke dunia (kitaran pertama)
3. Seterusnya tiada/mati apabila manusia meninggal dunia mengikut usia dan ajal
4. Akhirnya hidup kembali semasa Hari Kebangkitan/Hari Kiamat buat selama-lamanya untuk dihisab dan ditentukan untuk masuk ke syurga ataupun ke neraka (kitaran kedua)
 
Bagaimana manusia sanggup untuk memilih menjadi kufur sedangkan dahulunya manusia mati kemudian dihidupkan. Belum cukupkah bukti yang telah Allah SWT tunjukkan di atas muka bumi ini untuk meyakinkan hati2 mereka?
 
Kita harus membuat persediaan yang lebih baik kerana diberi peluang untuk hidup di dunia dengan dipandu oleh Allah SWT supaya hidup di negara ABADI itu lebih bahagia dan selama-lamanya berbanding di dunia ini. Bak kata pepatah, biar bersusah2 dulu, bersenang2 kemudian.
 
 
- Ayat 29


Allah SWT memberitahu kita kenapa perlu sembah Dia yang Maha Esa? Allah SWT lah yang menjadikan segala yang ada di muka bumi ini untuk manusia, bukannya untuk haiwan. Perkataan
لَكُم bermaksud 'untuk kamu semua' termasuk orang yang bukan Islam. Allah SWT berhak disembah kerana Dia telah menjadikan 7 lapisan langit dengan sempurna. Jadi, apa saja ayat2 di dalam Al-Quran sama ada ayat2 Muhkamat atau Mutasyabihat, kita perlu menerima tanpa banyak soal kerana pemikiran manusia yang terhad. Kita harus lebih berusaha dalam amal kebajikan kita berbanding dari nak sibuk2 memikirkan perkara yang di luar batas pengetahuan kita. Orang yang tidak beriman tidak akan faham segala perumpamaan Allah SWT berikan di dalam Al-Quran dan mereka juga tidak mahu mengambil iktibar dari kejadian alam yang menunjukkan betapa berkuasanya Allah SWT sebagai Maha Pencipta alam ini.


- Segmen Tajwid:

Resam Uthmani merujuk kepada batang tubuh huruf Arab contoh seperti huruf م ب , ن dan tidak merujuk kepada baris bacaan. Ianya dipersetujui oleh Saidina Uthman bin Affan untuk mengelakkan kekeliruan dalam bacaan Al-Quran. Pada zaman itu, baris pada huruf2 Arab ini belum diletakkan lagi, jadi para ulama menambahkan baris2 bacaan untuk memudahkan lagi bacaan kita.


- Kesimpulan dari Halaman 5 ini ialah:



- Pengajaran yang mommy eez dapat di sini ialah:

1. Jika mahu mengejar nikmat dari Allah SWT, kita perlu menjadi orang yang beriman yang melakukan amal soleh.

2. Jangan ambil endah dengan perumpamaan yang Allah SWT katakan di dalam Al-Quran.

3. Jangan jadi seperti Bani Israel yang memungkiri janji mereka dengan Allah SWT dan suka merendah2kan manusia lain dengan panggilan 'anjing'. 

4. Perbaiki diri sendiri untuk mengelakkan diri ini menjadi orang yang fasiq

5. Peluang hidup ini haruslah digunakan untuk beribadah dengan sebaik2nya kerana tiada lagi peluang kedua selepas kematian di dunia ini melainkan atas izin Allah SWT. Wallahualam.


Itu saja coretan nota untuk kali ni. Terima kasih sudi meluangkan masa untuk membaca nota mommy eez yang mungkin serba serbi kurang lengkap. Kalau ada pembetulan, boleh drop komen di bawah ye. #kitasamasamabelajar . Macam biasa, mommy eez sediakan link terus ke siaran ulangan episod untuk rujukan pembaca semua.



Episod 8 seterusnya boleh tekan pada link ni ---> Episod 8

Semoga Allah SWT menetapkan hati kita untuk sentiasa istiqamah untuk terus belajar dan belajar tentang ilmu Al-Quran ini insha Allah.


#myqurantime #qurandisisibacasetiaphari #tadabburquran #bacafahamamal


Lavvv,

Mommy EEZ

www.kiddieoasis.com.my

My #QuranTime 1.0 : Halaman 4 Surah Al-Baqarah Ayat 17-24

Assalamualaikum semua para2 pencinta Al-Quran.

Bertemu lagi dalam #notamyqurantime oleh mommy eez. Nota mommy eez ni tak adalah lengkap sangat tapi dibuat untuk kefahaman mommy eez sendiri dan mungkin membantu orang2 di luar sana yang tak sempat nak menonton siri My Quran Time di TV Al-Hijrah. Ada yang mommy eez tengok nota2 orang lain yang lebih organized dan padat. Tapi approach yang mommy eez guna lebih kepada penceritaan la. Kepada yang suka nak baca cepat, ringkas dan padat bolehla refer pada nota2 sedemikian. Untuk mommy eez ni lebih suka nota yang macam cerita sebab lebih menusuk ke jiwa haaaa gittew!

Disclaimer: Mommy eez bukan ustazah atau pensyarah. Mommy eez hanya orang biasa yang baru terkedek2 nak belajar tentang Al-Quran. Jadi, istilah2 yang mommy eez gunakan lebih kepada bahasa santai/pasar. Manalah tahu kot2 ada ayat2 yang mommy eez guna tu macam tak sesuai ke dan ada ayat2 lain yang lebih elok, boleh drop komen di bawah untuk tegur hokey. #kitasama2belajar

Ehhh panjang beno membebel kali ni. Tak nak membuang masa, jom kita start~

(Sudilah kiranya tuan/puan membacakan Al-Fatihah buat kakak mommy eez yang dah dua bulan lebih tinggalkan mommy eez and family due to sudden death. Peritnya masih terasa sehingga mommy eez agak kemurungan akibat kehilangan beliau. Tapi mommy eez sedaya upaya untuk move on dan harap penyakit ni akan sembuh, insya Allah. Salah satu caranya ialah dengan belajar bersama My Quran Time 😊)


Episod 4 ini disampaikan oleh:

Ustaz Fazrul Ismail
Ustaz Ahmad Tirmizi Hj. Ali

- Dimulakan dengan bacaan doa dari ayat 32, surah Al-Baqarah dan juga doa di bawah:


- Perbezaan perkataan ٱلحَمدُ  dengan perkataan 'madah' ialah  ٱلحَمدُ bermaksud puji dan syukur dari hati yang mulus kepada Allah SWT, manakala madah ialah dari Bahasa Arab bermaksud memuji dari mulut saja. 
 

- Ciri2 orang  yang munafik dalam ayat 17 sehingga ayat 20:
 
    1. Hatinya sakit (melihat orang lain membuat kebaikan, orang beriman dan etc.)
    2. Mereka tidak sedar yang mereka tergolong dalam golongan munafik
 
KIta perlu risau dan kena selalu berdoa kepada Allah SWT supaya kita tidak terjerumus ke dalam golongan orang munafik ini. 
 
- Ayat 17-18


Allah SWT membuat perumpamaan pertama bagi golongan orang2 munafik ini:
  • Seperti orang yang menyalakan api, apabila api menerangi di sekelilingnya, Allah lenyapkan cahaya itu dari mereka dan membiarkan mereka dalam kegelapan. Lalu orang munafik ini menjadi  صُمُّۢ (pekak), بُكمٌ (bisu) dan عُمىٌ (buta).
 
Pada ayat 17, perkataan حَولَهُ (di sekelilingnya) merupakan perkataan singular yang merujuk kepada Nabi. Untuk Bani Israel, mereka semua diterangi oleh Nabi yang membawa wahyu Allah pada ketika itu. Manakala perkataan بِنُورِهِم (dengan cahaya mereka) merujuk kepada cahaya yang ditarik oleh Allah SWT ke atas orang2 munafik ini dan membiarkan mereka di dalam ظُلُمَـٰتٍ (kegelapan demi kegelapan - perkataan plural. Tahap level kegelapan seperti yang Allah beri pada Abu Jahal, Abu Sufian (sebelum beliau masuk Islam) dan juga Firaun).
 
Penjelasan ayat ini merujuk kepada Nabi Musa A.S. datang membawa cahaya iaitu kitab Taurat sebagai jalan yang lurus tetapi Bani Israel tidak mahu ikut. Sekalipun Allah telah berikan pelbagai nikmat termasuklah mann dan salwa, terselamat dari Firaun tetapi mereka tetap berdegil. Mereka cuba untuk menipu Tuhan dengan mengatakan mereka membuat kebaikan tetapi sebenarnya mereka membuat kerosakan. Mereka juga tahu tentang isi kandungan kitab Taurat itu, tetapi mereka sembunyikan dari pengetahuan orang Islam. Orang munafik ini mendapat kitab Taurat (cahaya) tetapi mereka tidak mahu menghargainya. Lalu Allah SWT menjadikan mereka ini sesat dan tiada arah tuju.  


- Ayat 19-20



Perumpamaan yang ke-2 yang Allah SWT katakan pada golongan munafik ini:

  • Seperti orang yang ditimpa hujan lebat lalu menyumbat jari mereka ke dalam telinga masing2 dari mendengar suara petir kerana mereka takut mati. Kilat/petir itu pula hampir menyambar penglihatan mereka setiap kali mereka berjalan dalam cahayanya. Dan apabila gelap, mereka berhenti. Jika Allah berkehendak, Allah mampu untuk hilangkan pendengaran dan penglihatan mereka.


Hujan lebat di sini merujuk kepada wahyu Allah SWT. Bani Israel ini tidak mahu mendengar wahyu Allah dengan menutup telinga dengan anak jari mereka kerana takut terpengaruh dengan dakwah Nabi Musa A.S. Mereka juga takut mati dan tidak suka mendengarkan bacaan Al-Quran kerana hati mereka sakit. Hati yang normal akan merasa aman dan tenteram apabila mendengar alunan ayat2 Al-Quran.
 
Orang2 munafik ini hanya beriman pada sesuatu perkara yang memberi keuntungan kepada mereka sahaja. Namun, jika perkara itu tidak membawa apa2 keuntungan/kepentingan pada mereka, mereka tak mahu patuhi sedangkan ianya tertulis di dalam al-kitab. Sedangkan Allah itu mampu untuk menghapuskan pancaindera mereka jika Allah berkehendak.
 
Ada juga pendapat lain yang mentafsirkan bahawa Allah mengibaratkan Bani Israel ini umpama api dan air (مَثَلُهُم كَمَثَلِ ٱلَّذِى). Api sifatnya mementingkan diri sendiri. Manakala air pula bila ada kepentingan, di situlah hala tujunya, bila tak ada kepentingan, mereka menghilang.
 
- Ayat 21

Ayat ini merupakan seruan kepada seluruh umat manusia tidak kira muslim ataupun bukan muslim supaya menyembah (اعْبُدُو) Allah SWT yang menciptakan sekalian manusia dengan menjadi orang yang bertaqwa.
 
Perkataan اعْبُدُو ini juga membawa maksud merendah diri dan mengaku diri ini penuh dengan kelemahan. Jadi kita perlu ada sifat taqwa iaitu melindungi diri kita daripada masalah dengan meminta bantuan daripada Allah SWT dan menjadi taat untuk menjauhi perkara2 yang haram.
 
Perkataan خَلَقَكُم bermaksud menciptakan dari kosong/tiada apa sehingga menjadi sesuatu. Contohnya, Allah mencipta manusia dan tidak ada seorang manusia pun tahu caranya melainkan Allah SWT.


- Ayat 22


Menyambung mesej di dalam ayat 21. Allah SWT menjadikan bumi ini sebagai hamparan/katil (
فِرٰشًا ). Allah SWT menurunkan air dari langit dengan menumbuhkan pelbagai jenis buah-buahan dan tumbuh-tumbuhan. Maka, janganlah kamu menyekutukan Allah SWT yang mengurniakan segala nikmat di atas muka bumi ini. 
 
Bumi yang Allah jadikan ini lembut dan tidak panas. Sesuai untuk semua hidupan dan Allah SWT memberikannya secara percuma kepada kita. Segala nikmat makanan, tempat tinggal, pakaian dan macam2 lagi merupakan rezeki dari Allah SWT. Allah ingin kita beribadah/tunduk kepada Dia yang Maha Pencipta yang menjadikan alam ini.
 
Orang yang berilmu dan berfikir pasti sedar akan maksud ayat 21 dan 22 ini. Namun bagi orang yang tidak ada ilmu, mereka tidak sedar akan segala nikmat yang Allah SWT berikan kepada mereka. Mereka tidak nampak manfaat dapat makan makanan sedap, dapat rezeki yang baik, dapat lihat pemandangan yang indah dan bagi mereka itu sememangnya untuk mereka yang bernasib baik. Mereka langsung tidak berfikir siapa yang mengurniakan semua nikmat itu. Itulah sebabnya mereka rasa tak bersyukur. 
 
Perkataan أَندادًا merujuk kepada seteru Allah. Bani Israel menyekutukan Allah dengan patung2 berhala mereka. Bila kita reflect pada zaman sekarang, kebanyakan kita beribadah kepada Allah tetapi masih obsessed dengan benda2 lain. Contoh seperti kita sedang solat, tapi otak fikir perkara duniawi.

- Perkataan pilihan episod kali ini ialah:    .
 

 
Maksud جَعَلَ ialah menjadikan/menciptakan sesuatu yang ada fungsinya.

- Ayat 23


Dalam ayat ini, Allah SWT mencabar orang2 Yahudi supaya membuat 1 surah yang sama dengan Al-Quran. Perkataan
دونِ bermaksud selain dari Allah atau sesuatu yang rendah seperti patung berhala yang kononnya mampu untuk menolong mereka membuat surah setara dengan apa yang ada di dalam Al-Quran. 
 
Ketika Rasulullah berada di Madinah, terdapat seorang dari Bani Hanifah bernama Musailamah bin Habib mengaku dirinya seorang nabi. Beliau merupakan pakar dalam bidang syair jadi beliau cuba mencipta Surah Ad-Difda (Katak) yang hanya menceritakan tentang habitat katak di dalam air. Namun gaya bahasa surah tersebut sangat aneh dan maksudnya pun janggal lalu diketawakan oleh orang ramai. 
 
- Ayat 24



Allah bermaksud untuk menakutkan manusia dengan balasan azab di akhirat kelak. Kepada mereka yang tidak yakin dengan wahyu Allah, mereka sepatutnya mengambil iktibar daripada umat sebelum ini dan akan datang yang tidak beriman kepada Allah tidak akan berjaya selama-lamanya. Sekalipun mereka tidak takut kepada Allah, mereka perlu takut pada neraka yang bahan bakarnya ialah batu dan manusia.
 
Jangan jadi seperti orang Yahudi umpama batu yang bising, kufur, sombong dan degil.

- Hukum mempelajari hukum tajwid:


- Mukallaf bermaksud orang yang baligh, berakal dan yang telah sampai dakwah Islam kepadanya.
 
-  3 pelajaran daripada Halaman 4 ini ialah:
 

Kesimpulannya, pengajaran yang mommy eez dapat dari Halaman 4 ini ialah:

1. Allah menyambung untuk menerangkan ciri2 orang munafik dari Halaman 3. Semoga Allah SWT menjauhkan kita dari ciri2 ini:
  • orang munafik bersifat bermuka2. Depan2 cakap lain, tapi dalam hatinya lain.
  • orang munafik mensia2kan nikmat agama Islam dan sanggup memilih jalan yang sesat berbanding kebenaran
  • orang munafik ini ragu2/was2 dengan kebenaran wahyu yang Nabi Muhammad SAW bawakan
  • hati orang munafik selalunya sakit disebabkan cemburu, tak puas hati, tak bersyukur, suka berdendam dan penuh hasad dengki
  • orang munafik ini selalunya tidak berpegang kepada janji, tidak amanah dan suka berbohong

2. Allah SWT menyeru untuk kita menyembahNya dan menjadi orang yang bertaqwa.

3. Allah memberikan segala nikmat yang ada di bumi dan di langit buat semua makhluknya. Namun ada manusia yang berfikir segala nikmat itu adalah hak mereka dan tak perlu ada rasa bersyukur pun atau berterima kasih. Mereka tidak mahu menyedari siapa yang memberikan segala kemudahan dan kesenangan di atas dunia ini. 

4. Allah SWT mencabar orang2 munafik dan orang kafir untuk membuat ayat yang setara dengan ayat2 Al-Quran dan pastinya mereka tidak dapat membuatnya.


Itu saja nota yang mommy eez dapat siapkan. Kalau ada info lain, mommy eez akan update ya. Terima kasih sudi membaca Nota My #qurantime Episod 4 ini. Untuk menonton terus ke siaran ulangan episod ini ada di link di bawah ye:
 
 
Kalau mahu sambung baca nota seterusnya, sila tekan link di sini ---> Episod 5 

Semoga Allah SWT memelihara hati2 kita dalam mendapatkan hidayah dalam hidup ini Insha Allah
 
#myqurantime #qurandisisibacasetiaphari #tadabburquran #bacafahamamal
 
 
Lavvv,
Mommy Eez


Popular Posts