Side Effect VACCINE ASTRAZENECA Second Dose | Kesan sampingan vaksin AZ dos kedua

 Hi Assalamualaikum semua,


Post ni dah kira lambek bona sebab hari kejadian yang berlaku ialah pada sebulan yang lepas. Baru hari ni nak tulis sebab mood saka menulis baru nak datang 😆 . Kes pasal vaksin tak vaksin ni memang sentiasa hangat diperkatakan sebab sekarang ni kebanyakan yang anti-vaksin terasa dianak-tirikan. Mommy eez tak nak komen apa2 sebab.... memang tak ada apa nak komen sebab pilihan masing2 kan 😁


Tingtong plak hari ni. Hokey jom kita throwback sebulan yang lepas....


Perasaan nak amik 2nd dose vaccine Astrazeneca (AZ) pun macam dah tak berapa nak excited macam yang 1st dose sebab ramai yang kata side effect pun tak sekuat macam 1st dose. Tapi masih lagi risau juga untuk bagi complete dos vaksin tu sebab masa tu kes positif covid-19 tengah menggila sampai 20,000 kes SEHARI dalam Malaysia! Walaupun KKM kata, tiada guarantee bagi yang dah complete dos akan bebas atau KEBAL dari wabak covid-19 ni, tapi bagi mommy eez, kita ikhtiar je la. Alhamdulillah sekarang dah nampak hasilnya bila kes dah cecah bawah 10,000 kes sehari sebabnya negara kita dah capai 90% kadar vaksinasi untuk orang dewasa 😊


Cuma mommy eez kasihan pada mereka yang ada AEFI (Adverse Events Following Immunisation). Mereka memang betul2 dalam dilema sama ada nak terima vaksin atau tak... mommy eez dulu masa awal2 pun macam takut2 juga tapi bila tengok BFF, Cikgu Sharmi Letops dah settle dos vaksin Pfizer, jadi lebih yakin. Alhamdulillah.


Masa mommy eez dan Abg Ham sampai di PPV AZ di UM, kali ni ramai plak orang. Terpaksa beratur kejap untuk tunggu giliran berbanding masa 1st dose sebelum tu, tak sampai 5 minit dah settle. Mommy eez siap terlepas nombor giliran sebab duk berangan tengok orang sekeliling~~~ alih2 nombor dah terlepas! Padan muka! Tergopoh2 la mommy eez tanya pada pegawai bertugas. 



Sibuk nak posing 'peace' tu 😂


Tapi kira ok lah berbanding mereka yang kena beratur dekat luar dan berdiri tengah panas. Masih lagi bersyukur sebab beratur dalam bangunan yang ber-aircond dan siap dapat duduk lagi. Alhamdulillah.

Lepas dah habis dicocok, kami pun terus keluar dan bergambar...



Kali ni bergambar acah2 ganas gittew sebab dah dapat lengkap 2 dose! Yeayyy! 

Budget lepas ni badan dah bermutasi boleh jadi sekuat Superman, Ironman, Batman dan segala macam superhero. Tapi itu hanya dalam angan2 saja. Realitinya, masih lagi kena jaga penjarakan fizikal, pakai mask dan basuh tangan dengan kerap.


Here comes the side effect. Kesan lepas 2nd dose tu, apa yang terjadi...

1. Kepala sakit tapi tak seteruk sebelum ni.

2. Badan ada sikit lemah tapi masih lagi boleh buat kerja2 rumah.

3. Bahagian tangan yang kena cucuk tu rasa lenguh dan sakit.

Semua kesan ni mommy eez rasa tak lama pun dalam 2-3 hari macam tu. Alhamdulillah. Lepas tu tempoh 'berhibernasi' dalam 2 minggu terpaksa dilalui bagi memberi ruang kepada badan untuk 'berasimilasi' dengan vaksin AZ tu. Mati kutu leee duduk rumah saje.


Itu saja yang mommy eez nak kongsikan dalam post kali ni. Sekalipun ada juga mangsa2 covid-19 yang dah fully vaccinated 2 dose tapi meninggal dunia, mommy eez rasa tak seramai mereka yang belum vaksin. Wallahua'lam.


Ada juga yang mempertikaikan tentang jenis2 vaksin. Yang vaksin Pfizer tu untuk golongan kayangan je. Yang vaksin AZ dan Sinovac untuk rakyat marhaen je. Bila dapat vaksin Sinovac dah boleh cakap cina. Eh? Hahahha... itu troll je.


Bagi mommy eez, apa saja yang Allah SWT tentukan itulah yang terbaik. Kita ikhtiar untuk beratur dapatkan vaksin, dan berdoa supaya vaksin yang kita dapat tu mampu untuk berikan manfaat buat badan kita. Kalau perkara sebaliknya berlaku, percayalah.. vaksin itu hanya asbab, ajal maut manusia Allah SWT yang tentukan. Ajal ni tak cepat dan tak lambat. Tepat pada masanya. Yang pasti, kita berdoa supaya Allah SWT kurniakan husnul khotimah buat kita insha Allah.


Semoga berjumpa lagi dalam post yang seterusnya selagi hayat dikandung badan.



Lavvv,

Mommy EEZ

www.kiddieoasis.com.my

Tadabbur Quran 30 Juzuk : Kompas Juzuk 3 oleh Ustaz Syahmi Syazeril Azmi

Salam Jumaat buat semua penghuni di bumi. 

Perghhh~~~ suci sangat bunyinya 😆


Assalamualaikum dan Salam Jumaat yang penuh barokah. Semoga hari Jumaat yang kita lalui hari ni penuh dengan kebaikan dan keberkatan dari Allah SWT. Seperti biasa sebelum kita mula, mommy eez nak para pembaca sedekahkan bacaan Al-Fatihah buat 2 orang kesayangan mommy eez iaitu arwah Ayah dan juga arwah Along yang telah meninggalkan mommy eez dan famili pada tahun lepas. Semoga pahala ilmu yang anda semua baca dari post ni sampai kepada mereka insha Allah 💚


Al-Fatihah.


Hokey jom kita mula dengan menyebut nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...


RINGKASAN JUZUK 3

disampaikan oleh

Ustaz Syahmi Syazeril Azmi (Tadabbur Centre)

 


 

- Juzuk 3 mencakupi 2 surah iaitu bermula pada penghujung surah Al-Baqarah ayat 253 dan diakhiri pada ayat 91 surah Ali-Imran.


- Seperti yang kita ketahui pada permulaan surah Al-Baqarah, Allah SWT menceritakan tentang orang yang beriman percaya kepada perkara ghaib, menunaikan solat dan menunaikan zakat/menginfakkan harta mereka ke jalan Allah. Maka, pada penutup surah Al-Baqarah pada ayat ke-285, Allah SWT MEMUJI orang2 yang beriman ini atas sebab2 apa yang mereka lakukan seperti yang dinyatakan pada awal surah Al-Baqarah. Jadi, ini menunjukkan Allah ingin menunjukkan siapakah orang yang diberikan nikmat seperti yang dinyatakan di dalam ayat 7, surah Al-Fatihah. 

 

- Pada permulaan surah Al-Baqarah juga ada menceritakan tentang orang2 kafir. Kemudian, di fasa terakhir surah al-Baqarah, Allah SWT mengajarkan doa buat orang2 mukmin supaya dapat melindungi diri daripada ancaman orang2 kafir ini. Menarik kan?


- Seterusnya, pada bahagian awal surah Ali-Imran, Allah SWT mengajarkan kita bagaimana nak menjadi orang yang mulia seperti mana Allah memuliakan keluarga Ali-Imran. Caranya ialah dengan berpegang teguh kepada keimanan terhadap Allah SWT dan juga al-kitab. Maka, untuk menjadi muslim yang berjaya perlulah persiapkan kekuatan emosi dan rohani seperti yang dinyatakan di dalam ayat 1 hingga ayat 30 dalam surah Ali-Imran ini. Kemudian, 30 ayat seterusnya sehingga ayat 91 surah Ali-Imran, Allah SWT mengajar kita bagaimana nak menguruskan kemenangan bukan setakat mahu mengejar kemenangan semata2.

 

- Allah SWT juga meminta kita supaya melazimi hidup kita dengan doa2 supaya Allah SWT mengukuhkan lagi iman kita seperti yang dinyatakan di dalam ayat 8 surah Ali-Imran.


- Dalam Juzuk 3 juga ada 1 ayat yang SANGAT HEBAT iaitu Ayatul Kursi pada ayat 255 surah Al-Baqarah. Dalam 1 ayat ini terdapat 9 waqaf kecil:

○ Ayat ini selalunya dibaca selepas solat, sebelum tidur dan kalau jumpa hantu kikikiki~

○ Ayatul Kursi sangat ajaib dan indah. Lihat perkaitan antara ayat 1 dan 9, 2 dan 8, 3 dan 7, 4 dan 6 serta akhir sekali ayat 5

○ Ayat 1: Allah SWT menceritakan tentang ciri2 namaNya, iaitu Al-Haiy (Maha Hidup) dan Al-Qayyum (Maha Berdiri Sendiri) yang sentiasa mentadbir alam ini. Ayat 9: Allah SWT menambahkan lagi ciri2 namanya iaitu Al-A'liy (Maha Tinggi) dan Al-A'zim (Maha Besar/Agung)

○ Ayat 2: Allah SWT tidak berasa mengantuk dan tidak tidur. Ayat 8: tidak menjadi keberatan bagi Allah SWT untuk memelihara kedua2 langit dan bumi. Ini menunjukkan tak mustahil untuk Allah SWT menjaga alam ini kerana Dia tidak akan leka tentang sezarah pun yang berlaku di atas langit dan bumi kerana Dia tidak mengantuk mahupun tidur. Betapa lemahnya manusia walau macam mana tak tidur beberapa hari pun pasti memerlukan tidur juga untuk berehat.

○ Ayat 3: Allah SWT yang memiliki segala yang ada di langit dan di bumi. Allah SWT nak menunjukkan di sini bahawa DIA yang MEMILIKI/OWN (Al-Maalik, ada alif selepas mim) seluruh alam ini. Ayat 7: Luasnya kursi Allah SWT meliputi segala langit dan bumi.  Allah SWT menceritakan tentang kekuasaannya bahawa Dia ialah Raja bagi segala makhluk (Al-Malik)

○ Ayat 4: Tiada siapa yang dapat memberi syafaat/pertolongan selain dari izin Allah SWT. Ayat 6: Sedangkan mereka tidak mengetahui sesuatu ilmu melainkan Allah berkehendak untuk memberitahu ilmu itu kepada kita. Allah SWT ingin menunjukkan betapa berkuasanya untuk Dia tentukan atas kehendakNya (kaitan pada ayat 32 surah Al-Baqarah)

○ Ayat 5: Allah SWT mengetahui apa yang ada di hadapan dan juga di belakang mereka. Dipertemukan ayat awal dan ayat belakang untuk menunjukkan apa saja yang ada di depan dan juga di belakang kita takkan pernah terlepas di dalam pengetahuan Allah SWT. Itulah sebabnya Ayat Kursi ini menjadi ayat pelindung bagi kita.


Betapa hebatnya Allah SWT mengatur ayat2 di dalam Al-Quran dan yang pasti, tidak ada seorang manusia pun yang mampu membuat ayat2 seperti ini. Masha Allah Subhanallah!

Sekian itu saja ringkasan Juzuk 3 yang mommy eez dapat dari siri kali ini. Diharap jika ada pembetulan, salah silap dalam nota ini harap dapat memberitahu mommy eez di ruangan komen di bawah ye.

Sehingga bertemu lagi dalam post yang akan datang insha Allah.


Lavvv,

Mommy EEZ




Review Kek Mamasab : Kek Pandan Gula Melaka

Intro...

Mommy eez pun tak tau macam mana boleh terjebak nak join #mamasabtroopers ni. Tujuan asal nak memenuhi nafsu makan cheese kek je. Entah macam mana, bila dah rasa sekali asyik nak repeat je. 

Secara jujurnya, mula2 mommy eez skeptikal juga dengan kek dari MAMASAB ni. 1st thing sebab rupa kek dia sangat...hmmm...tak berapa smooth dan nampak gemuk. Too simple. Tak nampak rich macam Secret Recipe. Tak nampak kool macam kek Coffee Bean. Mungkin sebab packaging sangat meriah dengan warna pink yang agak terang.

Tapi....

Jangan disangka rupa yang gemuk dan selekeh itu tak sedap. Hahahaha~~~ Haaaa ameeekk kau dah rasa sekali terus join jadi EJEN SAH MAMASAB DI SHAH ALAM! 😆 🤣 😄 

Maka bermulalah journey mommy eez dengan MAMASAB BAKERY ni. Tergendala juga la sikit Kiddie Oasis Online Store bila dah mula ambil order untuk MAMASAB. Takpe yg penting biz kena diversified. Chewah...budget diversified la sangat. Setakat one man show dengan ditemani 2 orang assistant bahagian operasi... but still way much better than before Alhamdulillah. 

Hokey jom mommy eez nak bagi 1st review on kek MAMASAB ni. Here goes..


- PANDAN GULA MELAKA CAKE BY MAMASAB -


Selain daripada cheese kek, mommy eez juga peminat tegar kek pandan. Semua kek pandan mommy eez suka sama ada yg dkt Speedmart, kek pandan chiffon dkt Giant, kek pandan gulung dkt kedai bakery dan byk lagi. Bagi peminat kek pandan, KEK PANDAN GULA MELAKA MAMASAB IS A MUST TRY. Not too sweet dan tak terlalu lemak. Base kek tu ialah butter kek yang moist bersama topping krim hijau (Swiss Meringue Butter Cream) di atasnya. Atas topping krim ditabur dgn coconut flakes dan juga drizzle gula melaka. Gula melaka tu yg menaikkan lagi rasa manis gula yg lemak bersama pandan flavour dan memang SEDAPLAH! Bukan setakat manis gula semata. 




Cuma mommy eez suggest kena habiskan kek ni dlm masa 2-3 hari dikhuatiri base kek tu akan jadi agak kering bila dah disimpan beberapa hari. Tapi selalunya kek ni tak sampai 2 hari pun boleh habis bagi peminat tegar kek pandan hihihi~

Walaupun topping cream tu melimpah ruah, tapi serius tak manis sgt berbanding standard kek yang ada di pasaran.

Sekian saja honest review dari mommy eez 😎🍰

Teringin nak rasa? Berbekalkan RM40 dan juga caj delivery ke seluruh Malaysia insha Allah boleh whatsApp terus mommy eez di +6017.6564.769. 🤗 . Ataupun terus je tekan link di bawah ni:



Kalau nak tengok pilihan kek2 lain dari Mamasab boleh terus tengok katalog di sini:




Semoga mommy eez berjaya menceburkan diri dalam bidang F&B ni dan menjadi peniaga yang berjaya dan solehah. Waaaahhh gittew!

Jumpa lagi in the next post!


Lavvv,

Mommy EEZ

Side Effect VACCINE ASTRAZENECA First Dose | Kesan sampingan dos pertama vaksin

 Hi, Assalamualaikum semua.


Hari ni mommy eez nak share apa yang terjadi lepas dapat jab vaksin Astrazeneca untuk dos yang pertama. Sebelum tu, mommy eez nak throwback cerita detik2 masa dapat appointment vaksin pada 9hb Julai 2021 yang lepas.


Di pagi Jumaat yang mulia itu...


Mommy eez memang boleh kata hari2 check app MySejahtera tu dengan harapan kena panggil untuk vaccination. Sekali pagi Jumaat tu, Alhamdulillah dapat notification. Kebetulan Incik Boss pun dapat sekali, kemain seronoklah dapat masa untuk pergi ber'dating'. Sedih kan... nak dating pun sekadar sebab nak pergi vaksin je. Hahaha~ Kalau dulu pergi dating layan tengok wayang, dating makan2 tempat best, jalan2 cuci mata.. haih.. sejak covid-19 ni dah bermutasi jadi delta varian ni, memang tak nampak langsung peluang untuk dapatkan semua memori tu balik...


Ok, kita fast forward, mommy eez dan Incik Boss dapat vaksin dos pertama dekat Univerisiti  Malaya (UM). Masa tu cuak juga sebab rasa anxious apa jenis vaksin yang kitorg akan dapat nanti. Bila nampak papan tanda 'PPV AZ" barulah tahu yang kitorang akan dapat vaksin Astrazeneca (AZ). Proses ambil vaksin tu tersangatlah smooth. Punggung pun tak sempat panas dah kena panggil ikut stesen2 yang dah disediakan. Blur juga masa tu. Tau2 dah kena cucuk je. Tak sempat nak belek2 ambil gambar ke apa, tau2 dah selesai.


Gigih beratur semata2 nak bergambo hihihi~~~



Alhamdulillah tak ada apa2 perasaan dalam masa 30 minit selepas dicucuk.



Mommy eez tak pakai face shield sebab masa tu pakai spek mata. Tapi nak ambil gambar punya pasal, sanggup buka spek mata 😜




UM - Serving the Nation, Impacting the World.. Tag BFF sendiri, Sharmi Fateh yang pernah belajar di sini suatu ketika dulu~~~


Masa di hari kejadian, mommy eez tak rasa apa2 lagi tapi Incik Boss dah start rasa tak sedap badan. Keesokan harinya, kitorang berdua terus lepek. Bawah ni simptom2 yang mommy eez rasa:


1. Demam on-off sepanjang 1-2 hari

2. Rasa loya

3. Rasa nak pitam

4. Telinga berdengung

5. Badan rasa seram sejuk

6. Tangan pula lenguh dan sakit terutama dekat tempat yang kena cucuk tu. Boleh kata kalau ada sesiapa tepuk atau terlanggar tangan yang kena cucuk tu, umpama menempah tiket kena maki. Hahaha~ memang out sangat. 


DAAAANNN... mommy eez ingatkan 2-3 hari je simptom ni. Tapi untuk mommy eez makan masa dalam 1 minggu lebih! Uwaaaaa! Walaupun beransur2 makin pulih tapi rasa macam nak pitam dan loya tu tetap ada. Sehinggakan ke hari ni pun, ada masa2nya mommy eez akan rasa weng nak pitam macam ala2 roh terkeluar dari badan sekejap. Hahaha~ Tak selesa betul.


Side effect vaksin ni semuanya bergantung kepada badan setiap individu. Macam mommy eez so far, tak ada apa2 penyakit kronik. Cuma pernah ada asma dan masih ada simptom anxiety disorder (kena makan ubat bila perlu je). Family mommy eez semua dapat vaksin AZ. Macam mama mommy eez, pesakit buah pinggang stage 5 yang memerlukan dialisis 3 kali semingguSelain penyakit tu, beliau juga ada 5 lagi penyakit kronik. Adik-beradik mommy eez ada juga penyakit darah tinggi, gout dan pre-diabetic. So far, Alhamdulillah tak ada kesan sampingan yang ketara lepas ambil vaksin AZ ni. Setakat demam 1 hari dan sakit/lenguh di bahagian tangan yang kena cucuk tu.


Lagi satu, ada pendapat kata vaksin ni agenda Freemason/Illuminati/Yahudi/Dajjal. Pada pendapatan mommy eez yang tak seberapa ni, kita semua ni memang dah lama pun terperangkap dalam sistem Dajjal yang lahanat ni. Yang penting cara kita adapt dan berusaha untuk tak terlalu taksub dengan agenda2 akhir zaman ni. Kalau kita beriye2 taksub pun, amalan entah ke mana, apa guna juga kan. Yang penting guna ilmu yang ada sebaik mungkin dengan hati yang ikhlas kerana Allah SWT. Mommy eez pun suka je follow ahli2 fikir/agama yang banyak cerita tentang keadaan akhir zaman, tapi kita kena utamakan keadaan yang ada pada kita dulu. Hari Kiamat itu pasti terjadi tapi hari kiamat pada diri sendiri iaitu MATI mungkin akan terjadi terlebih dulu, wallahualam. 


Ok jom balik pada cerita vaksin tadi. Bagi mommy eez, vaksin tu PERLU sebab salah satu ikhtiar untuk kurangkan probability kita terkena jangkitan atau suffer lagi teruk dari penyakit/wabak sekarang. Selain itu, insha Allah kita juga boleh kurangkan risiko untuk jangkitkan penyakit tu kepada orang lain. Banyak lagi nak terangkan tapi mommy eez bukan pakar. Nanti makin panjang plak post ni.


Selepas kejadian vaksinasi tu, keesokan harinya mommy eez terus dapat appointment untuk dos kedua; jenis yang sama Astrazeneca dan di tempat PPV yang sama iaitu di UM. 


Alhamdulillah.. jom tunggu untuk 2nd dose pula bulan 9 nanti insha Allah. Sebelum pen-off, mommy eez doakan bagi yang belum dapat vaksin, akan segera dapat dalam masa terdekat ni insha Allah 💓



Lavvv,

Mommy EEZ

www.kiddieoasis.com.my

Ada apa dengan ANXIETY DISORDER? | Do you think you have ANXIENTY DISORDER?

Hi, Assalamualaikum semuanya.


SALAM 13K!!!


Sempena kes covid-19 di Malaysia yang dah hit sampai 13,215 hari ni, mommy eez ada satu benda nak cerita pasal salah satu penyakit psikiatri yang semakin menular semenjak kita kena lockdown dah setahun lebih ni.

Ramai yang kata penyakit ANXIETY ni, penyakit mengada2. Sikit2 nak risau. Sikit2 nak fikir buruk. Sikit2 serabut dan cepat kelam kabut. Kalau keadaan ni tak terkawal akan menjurus kepada ANXIETY DISORDER. Apetah lagi bila dah kena kurung lama di rumah, bila nak keluar jadi sangat takut sampai tak boleh nak drive kereta, tak boleh nak jumpa orang ramai, tak boleh itu la ini la... Anxiety ni merupakan salah satu penyakit DEPRESSI dan ada beberapa jenis:


1. Generalised Anxiety Disorder
Seseorang itu selalu berasa risau sepanjang hari atas sebab macam2 perkara yang melibatkan rutin harian e.g. takut lambat makan nanti kena gastrik, tak boleh buat salah nanti kena maki, tak boleh rumah serabut nanti kena marah, tak boleh lambat nanti kena bebel etc. Simptom ni terjadi dalam jangka masa 6 bulan atau lebih.


2. Social Anxiety
Takut nak bersosial dengan orang luar. Takut kena reject. Tak pandai bergaul. Takut nak berdepan dengan public dan sebagainya. Salah satu punca utama mungkin disebabkan inferiority complex (perasaan rendah diri yang melampau)


3. Specific phobias
Fobia yang melampau terhadap sesuatu. Fobia gelap. Fobia cicak. Fobia lipas. Fobia tempat sempit dan macam2 lagi.


4. PANIC DISORDER
Inilah yang mommy eez kena tahun lepas. I had series of panic attacks due to unfortunate events that happened in my life where I lost my sister and father within a short time of period. 

Apa yang terjadi masa kena 'panic attack' ni? Jantung berdegup dengan sangat laju, berpeluh, menggigil seram sejuk, rasa sesak nafas, sakit dada, rasa macam nak tercekik, rasa nak muntah, rasa lost control pada badan, rasa takut yang amat sangat sampai rasa nak mati dan macam2 lah perasaan yang horror bercampur baur. Simptom untuk Panic Disorder ni sangat SEVERE jika tidak dirawat.


5. Obsessive Compulsive Disorder (OCD)
Yang ni ramai bangga dan suka nak claim diorang ada OCD. Sebenarnya OCD ni ialah seseorang itu sangat obses kepada sesuatu perbuatan atau susunan dalam hidup diorang. Kalau setakat suka kemas, barang2 kena teratur, pakai elok cantik semua, itu belum dalam kategori OCD. 

Orang yang ada OCD ni SANGAT ANNOYING. Mereka suka buat kerja berulang2 sehingga mereka sendiri berpuas hati. They don't easily trust people. Sampaikan sanggup kira secara manual berbanding nak guna kalkulator. 

Mommy eez suffer from OCD too and it made me a SUPER SLOW worker. Too detailed person and so perfectionist. Guna Excel pun nak kena double check with manual calculation sedangkan dah siap2 masukkan formula. Sooo iritating!


6. Post-traumatic Stress Disorder (PTSD)
PTSD ni melibatkan mereka yang pernah melalui trauma yang ngeri macam terlibat dalam perang, kena sexual abuse, kena bencana alam yang melibatkan kematian, kemalangan jiwa dan sebagainya.


7. Separation anxiety
Ini selalunya berlaku antara anak dan ibu bapa. Anak2 terpisah dengan ibu bapa kemudian selalu tantrum dan buat hal. 


What makes me to confess that I suffered from anxiety disorder is because I want to help other people out there to overcome this illness. YES! Anxiety Disorder is a type of mental health condition that YOU cannot control by yourself. You need a specific and controlled medication to control the symptom as advised by the Psychiatrist.

Since most people's emotions are getting out of control towards their fear of this pandemic lately, the anxiety symptom can be worsen. 

Mommy eez bukan pakar cuma mommy eez percaya dengan sharing post di sini, anda ada tempat untuk berkongsi pendapat, meluahkan kerisauan, nak tanya apa2 yang berkaitan dengan anxiety disorder dan juga tak perlu lagi nak PENDAM/SIMPAN apa yang anda sedang lalui. 

Mommy eez akan cerita macam mana mommy eez kena panic attack tahun lepas pada next post. Agak horror sebab masa serangan tu berlaku, mommy eez tengah drive di lane paling kanan dekat Federal Highway. Syukur, semuanya selamat Alhamdulillah, Allah SWT masih sayangkan mommy eez. Cuma selepas kejadian tu, mommy eez struggle to live with the symptoms while most of the people around me are so skeptical with the illness. Dahlah nak recover tapi tekanan dari pelbagai manusia tidak henti2, malah bagi mereka APA ADA DENGAN ANXIETY DISORDER NI?


Ok sekian, insha Allah ada rezeki lain, mommy eez sambung bercerita dalam post lain hokey.



Salam lalok.

Mommy EEZ

www.kiddieoasis.com.my

Tadabbur Quran 30 Juzuk : Kompas Juzuk 2 oleh Ustaz Hafizul Faiz

 Assalamualaikum semua para pembaca yang dirahmati Allah SWT.


Siang tadi kami dapat perkhabaran yang kawasan Petaling akan dikenakan PKPD (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan) disebabkan kes Covid-19 di Selangor semakin naik mencanak2 sehingga hampir mencecah 3000 kes... mommy eez dah tak mampu nak komen lebih2. Nak pasrah pun dah rasa macam tepu sangat.


Lebih elok kita kembali untuk mengumpul harta di akhirat sana selain dapat membantu kedua2 kesayangans mommy eez yang dah terlebih dahulu meninggalkan kami sekeluarga, arwah Along dan Ayah. Semoga nota ringkas Taddabur 30 Juzuk 2 ini dapat memberi manfaat buat yang membacanya dan juga dihadiahkan pahalanya buat arwah Along dan Ayah insha Allah. Al-Fatihah buat mereka berdua...


Jom kita mulai dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang...


RINGKASAN JUZUK 2 

disampaikan oleh

Ustaz Hafizul Faiz (Tadabbur Centre)



- Juzuk 2 bermula dari ayat 142 sehingga ayat 252 Surah Al-Baqarah. Surah Al-Baqarah ini merangkumi 3 juzuk dalam Al-Quran dan kebanyakan ayat2 di dalam surah ini terdiri daripada ayat2 yang sangat panjang.


- Antara perkara yang menarik di dalam Juzuk 2 ini ialah, ayat 143 menerangkan tentang "Allah menjadikan kamu umat pertengahan" di mana ayat ini betul2 berada di pertengahan Surah Al-Baqarah di mana jumlah ayat dalam surah ini ialah sebanyak 286 ayat (Madaniyyah). 


-  Juzuk 2 ini mengisahkan tentang Allah SWT memerintahkan Nabi Muhammad SAW untuk memindahkan arah kiblat dari Baitulmaqdis (Jerusalem) kepada Kaabah di Mekah. Mengapa? Setiap suruhan Allah SWT itu pasti ada hikmahnya.

  • Membezakan antara orang yang munafiq dan orang yang benar2 beriman kepada Nabi Muhammad SAW dengan penuh keikhlasan dan ketaatan.

  • Allah SWT mahu umat Islam fokus kepada pembinaan cara fikir manusia yang baru kerana orang Mekah pada asalnya sangat bergantung kepada orang Yahudi. Pada masa itu, orang2 Yahudi dikenali sebagai orang bijak pandai di kalangan orang Arab Musyrikin Mekah. Ramai di kalangan orang Yahudi digelar sebagai pakar rujuk, pendeta, pakar motivasi dan juga orang2 Yahudi mengetahui hal2 yang terjadi pada zaman dahulu dan juga perkara2 yang tidak diketahui oleh orang Arab Musyrikin. Mereka sanggup merujuk kepada orang2 Yahudi ini bagi ingin mematahkan hujah2 dari Nabi Muhammad SAW. Sedangkan, mereka tidak tahu bahawa orang2 Yahudi ini kerjanya memecah belahkan orang seperti mana yang berlaku pergaduhan antara Kaum Aus dan Khazraj. Kedua2 kaum ini sudah lama berperang sesama mereka di Madinah berpunca dari satu polemik yang direka oleh orang2 Yahudi supaya mereka terus bertelagah untuk meraih wang daripada mereka kerana orang2 Yahudi ni mahir membuat dan menjual senjata. Oleh sebab itu, orang Yahudi menjadi dominant dan menjadi rujukan dalam banyak perkara.

  • Islam datang untuk tidak mengiktirafkan perkara salah yang bertentangan dengan kebenaran. Maka pemindahan kiblat ini bermaksud untuk memindahkan dari ber'kiblat'kan Bani Yahudi kepada ber'kiblat'kan kepada Bani Ismail (keturunan Nabi Muhammad SAW). Ini menunjukkan bahawa Islam bukan bergantung kepada keturunan sesuatu kaum yang dianggap elite/berilmu tetapi bergantung kepada Allah SWT. Ini mengingatkan kepada kisah yang terdapat dalam Surah Al-Kahfi di mana orang Musyrikin Mekah sanggup travel untuk mendapatkan nasihat daripada agamawan Yahudi untuk mencabar kenabian Nabi Muhammad SAW (ada 3 soalan yang ditanyakan oleh orang Yahudi kepada Nabi Muhammad SAW)

  • Orang Arab Mekah sangat terkejut mengapa kiblat agama Islam ditukarkan menghala ke Kaabah yang selama ini menjadi tempat menyembah berhala bagi agama jahiliyah. Allah SWT membawa mesej kepada orang2 kafir Mekah bahawa Islam bukan agama sebarangan setakat nak tunjuk cara ibadah yang baru tetapi ianya datang bertujuan untuk memuliakan Kaabah dan menjadikannya sebuah tempat yang suci dan bersih dari kesesatan. Ini merupakan mesej yang baik bagi penduduk di Mekah. 

  • Selain itu, perpindahan kiblat ini membawa erti betapa besarnya keikhlasan seseorang itu beriman dan beribadah kepada Allah SWT sekalipun arah kiblat sudah bertukar. Jadi ini memberikan tamparan hebat kepada orang Yahudi  dan orang Musyrikin Mekah yang sangat mengutamakan kuantiti berbanding kualiti. 

- Terdapat beberapa hukum yang diturunkan di dalam Juzuk 2 ini iaitu:

  • Hukum Haji: walaupun arahan menunaikan Haji diturunkan awal oleh Allah SWT semasa Nabi Muhammad SAW di Madinah, tetapi masa untuk melaksanakannya agak lewat oleh Nabi Muhammad SAW dan para sahabat kerana bergantung kepada waktu dan situasi pada masa itu. Nabi Muhammad SAW tahu bahawa masa yang sesuai untuk melaksanakan perintah Haji ialah apabila mereka dapat masuk ke Mekah dengan cara yang paling mudah dan bukan melalui peperangan. Nabi Muhammad SAW juga mendapat vision bahawa orang2 Islam bakal menguasai Mekah Al-Mukarramah bila sampai masanya.

  • Hukum Jenayah

  • Hukum Ekonomi

  • Hukum Puasa

- Dalam Juzuk 2 ini memberi bukti mengapa orang muslim perlu berpuasa di bulan Ramadan. Allah SWT berfirman, "Wahai orang2 beriman, perlulah kamu berpuasa sepertimana kaum2 yang terdahulu". Allah SWT memisahkan 2 ayat iaitu; beruntunglah mereka yang berpuasa (ayat 180 Surah Al-Baqarah) dan beruntunglah mereka yang memasuki bulan Ramadan (ayat 183 Surah Al-Baqarah). Ayat 183 itu merujuk bukan sahaja pada mereka yang berpuasa tetapi kepada mereka yang uzur seperti perempuan haid, orang yang tidak sihat dan sebagainya. Mereka kesemuanya mendapat keberkatan dari bulan Ramadan. 


- Di dalam bulan Ramadan itu juga diturunkan Al-Quran yang menjadi petunjuk bagi seluruh manusia tidak kira yang beriman ataupun tidak serta menjadi penimbang tara antara yang baik/benar dan yang buruk/salah.


- Terdapat kisah mengenai peperangan di antara Thalut dan Jalut. Kisah ini memberikan teladan yang sangat penting di mana kuantiti ibadah tidak penting tetapi kualiti ibadah itulah yang paling utama. Allah lebih memandang kualiti iaitu sejauh mana ikhlas seseorang itu beribadah keranaNya berbanding kuantiti. Perkara ini digambarkan melalui kisah peperangan ini iaitu jumlah tentera Jalut (pada zaman Nabi Daud) yang sangat sedikit berbanding tentera Thalut, namun kemenangan berpihak kepada tentera Jalut.


Itu saja ringkasan yang mommy eez dapat dari video rakaman berdurasi 10:54 minit ini. Alhamdulillah. Sekalipun tidak dapat merangkumi semua (ilmu Allah SWT itu Maha Luas), tapi boleh dijadikan sebagai permulaan untuk mommy eez mendalami dan mentadabbur isi kandungan Juzuk 2 Al-Quran ini insha Allah. Jika ada salah silap dalam nota ini, sila berikan komen anda di bawah post ini, ok.


Alhamdulillah selesai juga. Masa untuk melabuhkan diri dan semoga ada rezeki umur panjang, mommy eez sambung dengan nota ringkasan Juzuk 3 nanti insha Allah.


Assalamualaikum.


Lavvv,


Mommy EEZ


Selamat Berehat, Ayah..

Dah hampir setahun mommy eez ambil masa nak tulis post ni...


Post ni sangat sangat sangat menyedihkan... So kepada yang tengah mood happy2 go lucky tu boleh KIV je nak baca post ni hahaha~ (macam ada je orang nak baca kan?). Mommy eez saja nak nukilkan segala memori yang masih ada dalam ingatan ni di sini takut2 dah semakin berumur dah tak berapa ingat detail peristiwa yang terjadi. 


Ayah mommy eez, Hj. Mohamad @ Zakaria bin Hj. Mohd Jana pergi tinggalkan kami sekeluarga pada pukul 5.12am hari Ahad, 27 September 2020. Arwah meninggal dunia di rumah mommy eez di Shah Alam. 3 bulan sebelum kejadian, Ayah memang dah tak berapa sihat. Sejak kakak mommy eez, Along meninggal dunia bulan Jun tahun lepas, kesihatan Ayah makin merosot. Dia mula ada asthma dan doktor pakar di hospital Jasin suspect Ayah ada COPD (penyakit peparu). Ayah jadi cepat penat dan senang tercungap2. Ayah pergi pada usia 74 tahun. Sekalipun Ayah ada kencing manis dan darah tinggi, tapi Ayah lebih kuat/physically fit berbanding Mama mommy eez yang suffer 6 penyakit kronik. Orang kata, selalunya orang yang menjaga orang sakit ni LEBIH BAHAYA daripada orang yang sakit sebab ada kemungkinan mereka boleh pergi dulu daripada orang yang sakit. 


Hmmm... itulah... 


Along pergi pun sehari selepas beliau sampai di Melaka sebab nak jaga dan bawa Mama mommy eez ke hospital untuk check-up... kebetulan masa tu beban kerja Along sangat banyak. Malam sebelum Along meninggal dunia, dia sempat hantar task report pada boss dia. Even 2 hari sebelum tu pun, Along ada call mommy eez dan beritahu yang dia tak larat nak balik Melaka awal2 sebab ada banyak kerja office kena buat. Tone suara Along bunyi macam orang yang sangat2 risau. Bila mommy eez tanya, bila Along nak balik kampung untuk jaga Mama, terus Along rasa sangat stress. Masa tu dah pesan dekat Along, kalau tak larat tak apa. Ambillah masa sendiri. Rehatlah dulu. Tapi suara Along sangat tertekan masa tu... Semoga Allah merahmati roh arwah Along selalu. Aaaminn.


Ayah pula memang jaga Mama setiap masa di Melaka. Tukang bawa Mama pergi dialisis. Tukang pergi pasar. Tukang mengemas rumah. Tukang siang ikan, udang, sotong dan ayam. Tukang repair paip rumah. Tukang repair kereta. Tukang sapu halaman luar rumah dari depan sampailah ke bahagian belakang rumah yang ada mini kebun ayah... Segalanya lah.. Ayah.



Gambar Mama Ayah dekat Turki. Masa ni Mama Ayah tengah seronok berjalan tapi malang tak berbau, Ayah jatuh sakit masa dekat sana dan terpaksa buat operation bila dah balik Malaysia...


Apa2 pun, ajal maut atas ketentuan Allah SWT kan. Kita tak berhak nak kata kebetulan sebab semuanya Allah dah tentukan. Yang pasti kehilangan 2 orang yang mommy eez sayang dalam masa 3 bulan tahun lepas sangat2 perit untuk mommy eez terima. 


Malam sebelum Ayah pergi, kami tak ada rasa apa2 yang pelik pun. Tapi bila dikenangkan semula, Ayah memang dah tunjuk tanda2 yang dia akan pergi dalam masa 3 bulan sebelum beliau meninggal. Masa di kampung (Melaka), mommy eez kerap nampak Ayah termenung jauh dekat sofa ruang tamu. Selalunya kalau Ayah duduk atas sofa, tak sampai 5 minit mesti dah "belayar sampai ke London Bridge" atau bahasa mudahnya tidur zzzZZZzzz. Tapi kali ni dia duduk termenung jauuuuh je. Lepas tu nampak air mata macam bergenang dan matanya merah macam baru lepas menangis. Mommy eez terfikir mungkin dia termenung jauh tu teringatkan arwah Along kot.


Mommy eez perasan Ayah mula jaga solat awal waktu. Lepas tu, dia ada tanya mommy eez macam mana cara nak solat duduk. Ayah mommy eez ni tak adalah orang yang kuat agama sangat. Tapi bila dia dah ada kesedaran tu, mommy eez rasa seronok. Alhamdulillah. Tapi tak tahu plak itu tanda2 dia dah nak pergi kan. Manalah nak tahu masa tu...


Ayah makin lama, makin kerap batuk. Jenis batuk yang sangat kuat dan menekan dada dia. Batuk dia tak baik2 langsung walaupun dah makan ubat. Mommy eez dan Abg Ham bawa Ayah pergi ke Hospital UiTM (1-2 minggu sebelum beliau meninggal dunia) untuk dapatkan 2nd opinion dari doktor pakar tentang sakit Ayah tapi test result yang kami dapat tak tunjukkan Ayah dalam keadaan serius pun. Hanya asthma biasa. Bila mommy eez bagitahu Ayah yang doktor cakap Ayah normal, Ayah jawab "Ayah tak rasa Ayah ni sihat..." Bila dengar dia cakap macam tu, mommy eez rasa sedih. Tapi terpaksa buat2 happy untuk tak nak bagi Ayah rasa down. Mommy eez cuba pujuk Ayah untuk terus sambung buat check-up di Hospital UiTM tu sebab fasiliti dekat situ sama macam private hospital. Nampak Ayah sangat selesa masa tu dan mommy eez masih ingat lagi masa doktor letak Ayah dekat wad pemerhatian, mommy eez kejap2 jenguk Ayah dalam tu sekalipun sebenarnya, pelawat tak dibenarkan masuk langsung dalam wad tu. Mommy eez tak nak Ayah risau dan nak bagi dia rasa yang Mommy eez sentiasa ada teman dia dekat luar wad tu...


Sehari sebelum Ayah pergi, dia nyaris tak jadi datang rumah mommy eez sebab pagi Sabtu tu (26/9/20), Ayah call bagitahu dia rasa tak sihat dan tak larat sangat. Tapi bila mommy eez sebut yang cucu Ayah dah tak sabar nak jumpa Nanny dan Tok Yah, Ayah gagahkan juga drive kereta dari Melaka ke Shah Alam dengan keadaan dia yang tak berapa stabil masa tu. Bila Mama Ayah dah sampai, mommy eez siapkan minum petang. Selalunya Ayah lebih suka buat air nescafe sendiri, tapi petang tu dia minta mommy eez yang buat. Masa tu memang dah terdetik "Ish, Ayah ni jarang minta haku buatkan air nescafe untuk dia..". So, itulah kali terakhir mommy eez buatkan air kopi kegemaran dia. Masa makan malam pun, nampak Ayah agak happy sebab dia seronok makan ikan cencaru goreng berlada yang mommy eez buat. Beriye2 betul dia makan waktu tu...


Tengah malam tu, Abg Ham kejutkan mommy eez sebab terdengar Mama mommy eez menangis dalam bilik air di bilik no. 2. Kami terus bergegas tengok apa yang berlaku. Mommy eez nampak Mama mommy eez tengah pangku Ayah mommy eez dalam bilik air yang dah tak mampu nak bergerak apa2 tapi matanya masih terbuka. Ayah mommy eez terjatuh dalam bilik air tapi sempat ditahan oleh Mama untuk elakkan kepala Ayah dari terhantuk terkena sinki. Masya Allah, Allah sayangkan Ayah... mommy eez dan Abg Ham sedaya upaya angkat Ayah yang berbadan agak sasa dan besar keluar dari bilik air dan terus baringkan dia di atas tilam. Nampak Ayah dah tak mampu untuk bernafas lagi. Mommy eez sangat panik dan cuba call ambulans dan hospital yang available tapi semuanya busy. Paling dekat pun hospital Klang. Tapi semuanya dah terlambat. By the time pegawai perubatan sampai, Ayah dah pun pergi buat selama2nya di pangkuan Abg Ham.


Urusan pengebumian Ayah sangat cepat dan mudah. Jenazah Ayah dimandikan di masjid Fastabiqul Khairat bersebelahan sekolah agama Raihan. Mommy eez sekali lagi terpaksa hadap untuk memandikan jenazah buat kali yang ke-2 selepas kali pertama masa Along meninggal. Perasaan takut dah tak ada lagi untuk uruskan jenazah Ayah. Malah berdoa semoga Allah SWT permudahkan segala urusan pengebumian Ayah. Selepas jenazah dimandikan, ahli keluarga lain terus memulakan solat jenazah sebelum masuknya waktu Zuhur. Ramai yang terkejut sebab terlalu pantas jenazah dah siap untuk disolatkan. Tanpa melengahkan masa, jenazah terus dibawa ke Tanah Perkuburan Seksyen 21, Shah Alam untuk disemadikan.




Tak pernah sangka dalam hidup ini yang mommy eez akan memandikan 2 jenazah keluarga mommy eez dalam tempoh sesingkat ini. Hati remuk berkecai melihatkan jasad yang terbujur kaku. Sangat2 terkesan dan sedar bahawa hidup di dunia ni hanyalah persinggahan dan sementara saja. Waktu tu mommy eez rasa umpama sedang mempersiapkan Ayah untuk menuju ke alam yang baru. Rasa sakit kehilangan ahli keluarga sangat perit sampai perasaan mommy eez jadi sangat numb. Rasa lost. Speechless. Diri ni hanya mampu memerhatikan segalanya yang terjadi di depan mata macam tu saja. 


Tinggallah mommy eez, Angah (kakak kedua), Abijad (abang mommy eez) dan juga Mama meneruskan hidup ni. 




Dengan pemergian Ayah, banyak yang kami perlu uruskan terutama sekali hal perubatan Mama. Mommy eez still rasa bersyukur sebab kes covid-19 agak rendah waktu tu. Jadi ramai juga yang hadir terutama family Abg Ham datang membantu untuk menguruskan anak2 kami, Raihan dan Wafa yang masih belum faham apa yang berlaku masa tu.  


Alhamdulillah, terima kasih atas bantuan Allah SWT dan juga semua ahli keluarga dan rakan2. Semoga Allah SWT membalas jasa anda semua dengan rahmat kebaikan dariNya aaaminnn.


Cita2 mommy eez buat Ayah tak kesampaian. Mommy eez sangat berharap dapat buat Ayah rasa bangga dan happy seperti mana dia pernah rasakan dulu. Tapi, Allah SWT Maha Mengetahui apa yang terbaik buat kita semua. Allah SWT dah pun bagi peluang untuk mommy eez berbakti pada mereka buat beberapa ketika masa di Perth dulu. Harapnya mereka enjoy waktu di sana sekalipun terpaksa melayan tantrum mak buyong masa tu.. huhuhu~





Suka tengok gambar ni. Kemain lagi Mama Ayah menikmati pemandangan di Penguin Island Rockingham di Perth. Sekalipun masa tu mommy eez preggy 4-5 bulan (kakak Raihan), Allah SWT izinkan untuk bawa Mama Ayah berjalan2 di Fremantle, Mandurah, Caversham Wildlife Park, AQWA, Victoria Park dan Barrack Square. We can never repeat these memories anymore... 😭




Terima kasih banyak Mama Ayah jaga Eda sepanjang dekat sana. Semoga Allah kurniakan tempat yang selesa, tenang dan dirahmati selalu buat Ayah dekat alam sana. Eda takkan jemu untuk doakan Ayah dan berdoa supaya Allah SWT memaafkan dan mengampunkan segala dosa Ayah insha Allah. Ayahlah ayah yang paling terbaik buat kami semua, anak2 Ayah. Sekalipun orang lain buat tak baik pada Ayah, tapi Ayah tak pernah membalas. Ayah sangat rajin membantu tak kira siapa. Ayah suka memudahkan urusan semua orang. Ayah sanggup buat apa saja demi kesenangan kami semua. Ayah tak pernah lupa makanan kegemaran setiap anak2 dan cucu2 nya sehinggakan setiap kali datang ke rumah kami, mesti akan bawa buah tangan dari Melaka. Tutur kata Ayah semuanya baik2 dan penuh sopan. Ayah tak pernah lokek untuk ucapkan 'Terima kasih' sekalipun untuk sekecil2 perkara...


Terima kasih Ayah atas segalanya...



Dah banjir sudah mommy eez depan laptop ni. It's time for me to pen off. Alhamdulillah dapat juga habiskan post yang sangat berat ni. Semoga memori ni terpahat di sini dan menjadi kenangan sampai bila2 insha Allah.


Assalamualaikum.



Lavvv,

Mommy EEZ

Lambaian Terakhir dari Pak Teh Abdul Fallah (Covid-19, when will you go away...?)


Lambaian terakhir Pak Teh mommy eez...


Sesungguhnya tempat kembali kita semua ialah di sisi Allah SWT. Pak Teh meninggalkan kami semua pada hari Jumaat yang mulia pada minggu lepas tepat pukul 3pm disebabkan #covid19 . Semasa gambar ni diambil, beliau kelihatan happy walaupun sudah tahu disahkan positif. Sangat ceria orangnya. Malah, beliau sempat memaafkan orang yang menyebarkan jangkitan covid19 ni kepada beliau. Sungguh hebat. Alhamdulillah, Allah SWT mengurniakan husnul khotimah buat beliau kerana pergi dengan tenang Masya Allah Subhanallah.. 

Ramai yang sangat senang dengan arwah Pak Teh. Mak Teh mommy eez cerita yang Pak Teh suka belanja makan nurse2 yang bekerja di Pusat Dialisis berdekatan rumah mereka. Ya, Pak Teh menghidap penyakit buat pinggang tahap 5 di mana memerlukan rawatan dialisis 3 kali setiap minggu dan pastinya orang yang paling berisiko tinggi bila terkena jangkitan covid-19 ni. Perkara yang paling mommy eez akan rindu ialah lemang Rembau Pak Teh. Sempat juga kami semua berjumpa beliau buat kali terakhir sebelum bulan puasa tahun ni. Pak Teh jamu kami makan di rumahnya dengan masakan beliau, lauk gulai itik. Lepas ni, tiada lagi menu yang rare untuk kami rasa lagi dari air tangan Pak Teh...

Susulan selepas pemergian beliau, mommy eez juga menerima khabar 2 orang lagi ahli keluarga jauh meninggal dunia disebabkan wabak ini...
.
Jagalah diri anda semua. This is the REAL BATTLE for all of us... Hasbunallah wani’mal wakeel .. kepada Allah SWT sajalah kita meminta perlindungan dan pertolongan. Tiada kuasa lain yang boleh menghapuskan wabak ini selain Tuhan yang Maha Mencipta dunia ini.. 😔😔😔
.
Semoga anda semua sudi membacakan surah Al-Fatihah buat Pak Teh mommy eez, Abdul Fallah bin Abdullah dan juga doakan semoga beliau dapat berehat dengan tenang selama-lamanya di bawah rahmat Allah SWT yang Maha Penyayang.. aaaminnn.



Lavvv,

Mommy EEZ

Tadabbur Quran 30 Juzuk : Kompas Juzuk 1 oleh Ustaz Syaari Abdul Rahman

 Assalamualaikum semua...


Dah terlambat sangat sebenarnya mommy eez nak up post ni. Dah niat dari awal sebelum Ramadhan tahun ni nak buat sinopsis untuk setiap juzuk dalam Al-Quran berdasarkan video2 dari Tadabbur Centre (walaupun nota my Quran Time pun terkedek2 nak buat 😅 ) Tapi sebab terlampau busy dan planning tak berapa nak menjadi, maka baru sekarang nak buat. Rangka semua dah siap tinggal nak bagi cantik dan post dekat sini je. Semoga menjadi asbab saham akhirat mommy eez dan juga pahala yang berterusan buat arwah Ayah dan arwah Along insha Allah. Mommy eez minta jasa baik anda semua untuk tolong doakan dan bacakan surah Al-Fatihah buat mereka berdua ye. Terima kasih.


Tanpa membebel lebih panjang, jom kita baca ringkasan apa yang ada dalam Juzuk 1 Al-Quran.


RINGKASAN JUZUK 1

disampaikan oleh

Ustaz Syaari Abdul Rahman (Tadabbur Centre)



- Secara keseluruhan, juzuk 1 ini menerangkan tentang adab2 dalam mencari hidayah Allah SWT dan adab2 sebelum membaca Al-Quran. Merangkumi 2 surah iaitu

    i. Surah Al-Fatihah dan 

    ii. Surah Al-Baqarah.


- Juzuk 1 ini dimulai dengan Surah Al-Fatihah iaitu surah pembukaan yang menjadi teras dalam 113 baki surah dalam Al-Quran. Surah Al-Fatihah ini juga dipanggil Ummul-Quran (ibu kepada Al-Quran) dan juga disebut sebagai Sab'ul Mathani yang mempunyai 7 ayat yang diulang2 bacaannya di dalam solat. Tidak sah solat seseorang itu jika tidak membaca Surah Al-Fatihah ini.


- Surah Al-Fatihah menerangkan adab untuk mendapatkan petunjuk/hidayah dari Allah SWT di mana surah ini terbahagi kepada 2 bahagian:

  • Bahagian pertama bermula dari ayat 1 sehingga separuh dari ayat 4 menerangkan tentang puji2an kepada Allah SWT;
  • Bahagian kedua yang dimulai dari sebahagian akhir ayat 4 sehingga ayat 7 menerangkan tentang kelemahan hamba2nya yang bergantung sepenuhnya kepada Allah SWT dengan meminta pertolongan/kekuatan dari Allah SWT dan juga memohon diberi petunjuk yang benar dalam hidup ini iaitu melalui Al-Quran.

- Rumusan Surah Al-Fatihah:
  • Membicarakan tentang siapakah Allah SWT yang Maha Terpuji. Surah ini dimulakan dengan nama Allah SWT supaya dalam setiap aktiviti harian kita dimulakan dengan namaNya. Ini merupakan aqidah dan pasak bagi seseorang muslim. (TAUHID - MengEsakan Allah SWT)
  • Menerangkan sifat2 Allah SWT yang Ar-Rahman (Maha Mengasihani) dan Ar-Rahim (Maha Penyayang). Dengan sifat2 Allah SWT ini, kita akan merenung dan berfikir tentang kejadian alam di sekeliling kita, betapa Allah SWT telah menundukkan sebahagian makhluknya yang lain supaya berbakti kepada manusia seperti haiwan dan tumbuh2an. Hanya manusia yang benar2 berfikir pasti akan tunduk dengan kekuasaan dan keagungan Allah SWT. (KAUNIYYAH - Tentang ciptaan alam)
  • Allah SWT ingin memberitahu adanya syurga dan neraka di hari pembalasan nanti. (AKHIRAT)
  • Al-Quran menerangkan cara ibadah yang betul kepada Allah SWT (IBADAH)
  • Memohon cara hidup yang betul dan lurus menuju ke syurga di mana syariah Islam telah diatur berdasarkan Al-Quran (SYARIAH)
  • Memberi motivasi dari kisah orang2 yang Allah SWT telah berikan nikmat ke atas mereka kerana patuh dan beriman kepada Allah SWT dan rasulnya. (TARGHIB - motivasi dan galakan yang positif)
  • Memberi pengajaran dari kisah orang2 kafir yang telah Allah berikan hukuman seperti di dalam kisah Firaun (TARHIB - menggentarkan dan memberi ancaman)

- Selepas Surah Al-Fatihah disambung pula dengan surah ke-2 iaitu Surah Al-Baqarah (Lembu Betina) yang diakhiri sehingga ayat 141 untuk Juzuk 1. Surah Al-Baqarah merupakan surah yang terpanjang di dalam Al-Quran iaitu sebanyak 286 ayat (Ayat Madaniyyah).


- Rumusan Surah Al-Baqarah:
  • Menceritakan tentang pertembungan antara orang2 yang dikurniakan nikmat oleh Allah SWT (orang2 muslimin) dengan orang2 yang sesat dan orang2 yang Allah SWT murka (orang2 musyrikin Mekah dan ahlul-bait/penduduk di Madinah)
  • Dalam 5 ayat pertama menerangkan tentang kualiti orang yang diberi nikmat oleh Allah SWT iaitu orang2 beriman
  • Ayat 6 hingga 7 menceritakan tentang orang kafir
  • Ayat 8 dan seterusnya menceritakan tentang perihal orang2 munafik yang mengaku beriman tapi sebenarnya mereka kafir
  • Menceritakan golongan yang diberikan al-kitab, tetapi masih lagi tidak mahu beriman kepada Nabi Musa A.S.
  • Menerangkan tentang kerenah Bani Israel terhadap Nabi Musa A.S. di mana mereka tidak beriman, tidak berlapang dada, tidak taat kepada perintah Nabi Musa A.S. dan lain2.

- Terdapat 3 kisah utama dalam Juzuk 1 ini iaitu:
  • Kisah pertama - tentang pertembungan antara orang2 yang beriman kepada Allah SWT bermula dari zaman Nabi Adam A.S. dengan orang/makhluk kafir (ingkar) kepada Allah SWT seperti Iblis/syaitan (kaum kerabat Iblis). Nabi Adam A.S. ialah simbolik kepada mereka yang mentaati Allah SWT, yang diberi nikmat serta disambung dengan keturunan Nabi Musa A.S. yang diberikan kitab Taurat untuk mendidik generasinya yang sangat mencabar ketika itu iaitu Bani Israel. Ada di kalangan Bani Israel ini secara zahirnya ialah muslim tetapi hati mereka ada kekufuran disebabkan sudah terlalu lama dijajahi oleh Firaun. Mereka juga tidak bersyukur dengan kurniaan Allah SWT seperti manna dan salwa, awan yang memayungi mereka sepanjang perjalanan dan juga nikmat pembebasaan daripada ditindas oleh Firaun
  • Kisah kedua - Iblis menyimpan dendam kesumatnya bermula dari generasi manusia pertama iaitu Nabi Adam A.S. sehinggalah ke Nabi Musa A.S. dan seterus2nya. Syaitan berjaya membenihkan kekufuran ini sehingga mempengaruhi Bani Israel. Kemuncaknya disambung oleh orang Yahudi di Madinah yang melawan para rasul dan terus-menerus melakukan amalan nenek moyang mereka yang jauh dari agama Islam. Ada juga kisah tentang Harut dan Marut (malaikat) yang dihantar oleh Allah SWT untuk menguji Bani Israel namun mereka gagal kerana ilmu sihir yang diajarkan kepada mereka itu disalahgunakan untuk tujuan kepentingan mereka sendiri lalu meninggalkan ajaran Nabi Musa A.S.
  • Kisah ketiga - Pengalihan arah kiblat dari Baitulmaqdis kepada Kaabah di Mekah. Ianya juga menceritakan tentang Nabi Ibrahim A.S. yang membina semula Kaabah setelah musnah akibat banjir besar pada zaman Nabi Nuh A.S. Nabi Ibrahim juga merupakan seorang Nabi yang sangat taat kerana beliau lulus dalam semua ujian ketaatan kepada Allah SWT dan langsung tidak terpengaruh dengan pujukan dari syaitan. Beliau tidak pernah menyoal apa saja suruhan Allah SWT sekalipun terpaksa mengorbankan anaknya, Nabi Ismail A.S.


Sikap Bani Israel yang diceritakan di dalam Al-Quran ini sepatutnya dijadikan teladan buat kita semua. Sekalipun peristiwa2 tersebut berlaku pada zaman beribu tahun dahulu, namun sikap Bani Israel pada zaman itu, masih lagi diulangi oleh kita pada zaman sekarang.


Alhamdulillah, itu saja ringkasan yang mommy eez dapat. Jika ada salah silap dalam nota ringkasan ni, mohon highlight di ruangan komen ye. Sehingga berjumpa lagi.


Assalamualaikum.


Lavvv,

Mommy EEZ

www.kiddieoasis.com.my

Popular Posts