My #QuranTime 1.0 : Halaman 5 Surah Al-Baqarah Ayat 25-29

Post pertama untuk Tahun 2021...
..........
.....
..

Mommy eez tak tahu nak mulakan macam mana. Lepas Along pergi tinggalkan kami, Ayah mommy eez pula menyusul dijemput Ilahi pada 27 September tahun lepas. Perit kehilangan Along belum habis lagi, tapi Allah SWT uji dengan kehilangan Ayah pula. Tahun 2020 memang UJIAN yang SANGAT BESAR buat mommy eez dan famili.
 
 
Birthday Ayah pada 6 Januari yang lepas pun sangat2 terasa. Mommy eez terbayangkan macam mana kami nak sambut eidulfitri tahun ni. Sekali 2 orang dah tak ada. Famili mommy eez bukannya ramai sangat pun. Namun, apa yang terjadi ni semuanya ketentuan Allah SWT. Mommy eez kena redha. Semoga pembukaan Tahun 2021 ni membawa rahmat kebaikan buat kita semua insha Allah (tidak kira sama ada perkara baik atau buruk, semuanya atas izin Allah SWT dan ada hikmah di sebaliknya).


Niat nak sambung buat nota My Quran Time Halaman 5 Surah Al-Baqarah kenalah diteruskan. Sebelum ni niat pahala belajar My Quran Time ni nak bagi pada Along je, tapi sekarang nak niat untuk diberi pada Ayah juga. Semoga dapat membantu mereka serba sikit di alam sana dan juga sebagai tanda kasih sayang mommy eez buat mereka berdua. So, mommy eez tak nak merepek panjang2. Perkara yang lepas jangan dikenang. Setakat kenang kejap2 bolehlah takut nanti banjir pula depan laptop ni.
 
 
Seperti biasa mommy eez akan minta jasa baik semua pembaca untuk bacakan Surah Al-Fatihah buat Along dan Ayah mommy eez. Semoga Allah SWT jaga mereka di sana dan ditempatkan di kalangan orang2 yang soleh. Aaaaminn.

Jom, kita start.
 
Episod 7 ini disampaikan oleh:
Ustaz Fazrul Ismail
Ustaz Ahmad Tirmizi Hj. Ali


- Al-Baqarah membawa maksud 'Lembu Betina' di mana kita akan bertemu dengan kisahnya pada ayat 60 dan ke atas.
 
 
- Sinopsis bagi Surah Al-Baqarah ayat 25-29:


- Surah ini menceritakan tentang umat terdahulu yang pernah dilantik menjadi pemimpin dunia, tetapi mereka tidak mematuhi apa yang telah ditetapkan di dalam Al-Quran. Lalu, Allah SWT menggantikan mereka dengan umat yang lain. Semoga kita semua dapat menjadi pemimpin dunia yang dipilih oleh Allah SWT berdasarkan hidayah yang Allah SWT kurniakan kepada kita insha Allah. Aaaminnn.
 
 
- Ayat 25



Allah SWT menyampaikan khabar gembira kepada semua orang yang beriman (termasuk mereka yang munafiq ataupun yang benar2 beriman dan beramal soleh). Allah SWT menggunakan perkataanوَبَشِّرِ iaitu seruan khabar gembira buat Nabi Muhammad SAW supaya seruan ini sampai kepada orang yang benar2 mengikut ajaran Nabi Muhammad SAW (menerima/mengaku Rasulullah sebagai utusan Allah SWT yang benar dan terakhir).
 
Tidak seperti Bani Israel yang hanya mahu menerima Nabi dari keturunan mereka saja seperti Nabi Musa A.S.
 
Seruan khabar gembira ini meliputi semua orang yang beriman tidak kira sama ada mereka munafik/sangat2 lemah atau kuat iman dan juga mereka yang beriman dan beramal soleh. Contoh orang yang munafik seperti Abdullah bin Ubay yang mengaku dirinya beriman tapi tak tunaikan solat kerana orang tak nampak. Berbeza dengan kedudukannya dengan orang yang beriman dan beramal soleh ini di mana tahap mereka lebih tinggi disebabkan tahap taqwa mereka dan mengamalkan apa yang mereka percaya.
 
Allah SWT menyebutkan ganjaran bagi orang2 yang beriman dan beramal soleh ini ialah Syurga (Jannati - kebun/taman) yang di bawahnya ada sungai2 yang mengalir. Allah SWT selalu menggambarkan syurga itu beserta dengan sungai kerana air itu melambangkan kedamaian dan kekayaan. Contoh macam bila kita tengok ada rumah orang yang lengkap ada kolam renang, mesti kita fikir yang tuan rumah ini seorang yang kaya. Betul tak? Allah SWT nak beritahu pada kita betapa EKSKLUSIF nya tempat tinggal di Syurga kelak dan menjadi tempat tinggal selama-lamanya untuk mereka.
 
Selain sungai, Allah SWT mengatakan orang2 yang beriman dan beramal soleh ini diberikan rezeki buah2an seperti mana yang pernah mereka dapat di dunia dulu. Tapi mestilah rasanya beribu2 kali ganda sedap kan. Tambah pula, makan di Syurga itu bukan makan disebabkan lapar tapi hanya untuk suka2. Umpama kita nak makan buah durian yang isinya sedap dan lemak berkrim tu. Ianya lebih kepada untuk menghiburkan diri daripada mengisi perut yang lapar.
 
Penghuni di Syurga juga akan mendapat pasangan2 dan isteri yang suci, handsome, cantik selama2nya di sana. Jadi, kalau kita sayangkan pasangan kita, kita kena pastikan pasangan kita pun sama2 beriman dan mengerjakan amal soleh supaya dapat berjumpa semula di Syurga nanti.
 
 
- Ayat 26



Allah SWT membuat perumpamaan supaya manusia berfikir. Allah SWT tak kisah pun nak buat perbandingan dengan apa saja. Contoh seperti nyamuk (makhluk yang kecil, kotor dan hisap darah) yang mampu menumbangkan Raja Namrud pada zaman Nabi Ibrahim dulu. Malah pada masa sekarang, Allah SWT menjadikan sekecil2 virus COVID-19 (jauh lebih kecil dari nyamuk) mampu untuk menumbangkan ekonomi China, US dan lain2 negara besar dunia.
 
Bagi orang yang benar2 beriman, mereka akan mengambil iktibar daripada musibah ini dan berusaha untuk menjadi lebih dekat dengan Allah SWT. Sekalipun mereka faham atau tidak perumpamaan yang Allah SWT berikan ini, mereka tetap yakin dengan perumpamaan/kebenaran yang ada di dalam Al-Quran untuk dijadikan sebagai pelajaran buat mereka.
 
Bagi orang yang kufur, mereka mempersoalkan perumpamaan yang Allah SWT sampaikan. Mereka tidak faham dan tidak mahu mengambil pelajaran dari perumpamaan tersebut. Orang yang kufur ini sesat sehingga mereka melakukan kerosakan di atas muka bumi ini. Kerosakan yang dimaksudkan contoh seperti peperangan, mengaut hasil bumi dengan berlebihan, mencemarkan alam sekitar dan sebagainya.
 
 
- Perkataan pilihan dari halaman ini ialah:


Maksud asal بَشِّرِ (bashara) ialah kulit luar. Ini juga ada kaitan dengan perkataan 'bashar' (manusia) dan 'bashir' (khabar gembira). Allah SWT memberi khabar gembira dalam bentuk fizikal. Kaitannya dengan kulit luar ialah, apabila kita mendapat satu berita gembira, lapisan kulit kita akan terbuka (meremang). Badan kita akan merembeskan hormon dopamine dan serotonine yang menjadikan kita rasa seronok dan gembira.

 
 
Ayat 27

Allah SWT menceritakan tentang orang2 yang fasiq. Orang yang fasiq tidak mahu menyerahkan hatinya kepada Allah SWT atau dengan kata lain, derhaka kepada Allah SWT. 

Ciri2 orang yang fasiq ialah:

1. Melanggar perjanjian berat yang telah dibuat depan Allah SWT di mana perjanjian itu ialah untuk taat kepada Allah SWT. Semua manusia sudah pun bersumpah semasa di alam roh bahawa Allah SWT ialah Tuhan yang satu namun manusia tidak dapat mengingati perjanjian itu (dinyatakan dalam Surah Al-A'raf ayat 172)

2. Mereka memutuskan syariat Nabi/silaturahim sesama manusia yang sepatutnya dihubungkan. Contoh seperti orang Yahudi sepatutnya menyambung apa yang dibawa oleh Nabi Musa A.S. , namun disebabkan sikap hasad dengki, mereka menutup/menyembunyikan kebenaran yang ada di dalam kitab Taurat. Mereka bersifat demikian kerana tidak dapat menerima Nabi Muhammad SAW yang berketurunan Arab dipilih menjadi Rasul terakhir oleh Allah SWT.
 
3. Mereka membuat kerosakan di muka bumi. Contohnya seperti peperangan, pencemaran alam sekitar dan lain-lain lagi.
 
Orang yang fasiq ini dikira sebagai 'TOTAL LOSS' iaitu orang yang benar2 rugi di sisi Allah SWT. Maksudnya di sini, orang yang fasiq akan kekal rugi dari dunia sehinggalah di akhirat kelak.
 
 
- Ayat 28


Allah SWT menerangkan ada
2 kali mati dan 2 kali hidup dalam kitaran hidup manusia:

1. Bermula dengan tiada/mati semasa di alam roh
2. Kemudian ada/hidup semasa dilahirkan ke dunia (kitaran pertama)
3. Seterusnya tiada/mati apabila manusia meninggal dunia mengikut usia dan ajal
4. Akhirnya hidup kembali semasa Hari Kebangkitan/Hari Kiamat buat selama-lamanya untuk dihisab dan ditentukan untuk masuk ke syurga ataupun ke neraka (kitaran kedua)
 
Bagaimana manusia sanggup untuk memilih menjadi kufur sedangkan dahulunya manusia mati kemudian dihidupkan. Belum cukupkah bukti yang telah Allah SWT tunjukkan di atas muka bumi ini untuk meyakinkan hati2 mereka?
 
Kita harus membuat persediaan yang lebih baik kerana diberi peluang untuk hidup di dunia dengan dipandu oleh Allah SWT supaya hidup di negara ABADI itu lebih bahagia dan selama-lamanya berbanding di dunia ini. Bak kata pepatah, biar bersusah2 dulu, bersenang2 kemudian.
 
 
- Ayat 29


Allah SWT memberitahu kita kenapa perlu sembah Dia yang Maha Esa? Allah SWT lah yang menjadikan segala yang ada di muka bumi ini untuk manusia, bukannya untuk haiwan. Perkataan
لَكُم bermaksud 'untuk kamu semua' termasuk orang yang bukan Islam. Allah SWT berhak disembah kerana Dia telah menjadikan 7 lapisan langit dengan sempurna. Jadi, apa saja ayat2 di dalam Al-Quran sama ada ayat2 Muhkamat atau Mutasyabihat, kita perlu menerima tanpa banyak soal kerana pemikiran manusia yang terhad. Kita harus lebih berusaha dalam amal kebajikan kita berbanding dari nak sibuk2 memikirkan perkara yang di luar batas pengetahuan kita. Orang yang tidak beriman tidak akan faham segala perumpamaan Allah SWT berikan di dalam Al-Quran dan mereka juga tidak mahu mengambil iktibar dari kejadian alam yang menunjukkan betapa berkuasanya Allah SWT sebagai Maha Pencipta alam ini.


- Segmen Tajwid:

Resam Uthmani merujuk kepada batang tubuh huruf Arab contoh seperti huruf م ب , ن dan tidak merujuk kepada baris bacaan. Ianya dipersetujui oleh Saidina Uthman bin Affan untuk mengelakkan kekeliruan dalam bacaan Al-Quran. Pada zaman itu, baris pada huruf2 Arab ini belum diletakkan lagi, jadi para ulama menambahkan baris2 bacaan untuk memudahkan lagi bacaan kita.


- Kesimpulan dari Halaman 5 ini ialah:



- Pengajaran yang mommy eez dapat di sini ialah:

1. Jika mahu mengejar nikmat dari Allah SWT, kita perlu menjadi orang yang beriman yang melakukan amal soleh.

2. Jangan ambil endah dengan perumpamaan yang Allah SWT katakan di dalam Al-Quran.

3. Jangan jadi seperti Bani Israel yang memungkiri janji mereka dengan Allah SWT dan suka merendah2kan manusia lain dengan panggilan 'anjing'. 

4. Perbaiki diri sendiri untuk mengelakkan diri ini menjadi orang yang fasiq

5. Peluang hidup ini haruslah digunakan untuk beribadah dengan sebaik2nya kerana tiada lagi peluang kedua selepas kematian di dunia ini melainkan atas izin Allah SWT. Wallahualam.


Itu saja coretan nota untuk kali ni. Terima kasih sudi meluangkan masa untuk membaca nota mommy eez yang mungkin serba serbi kurang lengkap. Kalau ada pembetulan, boleh drop komen di bawah ye. #kitasamasamabelajar . Macam biasa, mommy eez sediakan link terus ke siaran ulangan episod untuk rujukan pembaca semua.



Episod 8 seterusnya boleh tekan pada link ni ---> Episod 8

Semoga Allah SWT menetapkan hati kita untuk sentiasa istiqamah untuk terus belajar dan belajar tentang ilmu Al-Quran ini insha Allah.


#myqurantime #qurandisisibacasetiaphari #tadabburquran #bacafahamamal


Lavvv,

Mommy EEZ

www.kiddieoasis.com.my

Popular Posts